mattzzx Publish time 25-3-2024 03:47 PM

Wang RM500,000 belum sah milik syarikat teknologi maklumat

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0325rshussein_1711350593.jpg
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Peringatan Hari Polis Ke-217 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di IPK Selangor, hari ini. FOTO BERNAMA

Shah Alam: Polis belum dapat mengesahkan sama ada bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Damansara pada Rabu lalu adalah milik sebuah syarikat teknologi maklumat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, selagi pengarah syarikat terbabit tidak tampil memberi keterangan, pihaknya tidak boleh mengesahkan status wang itu dan ia tidak boleh dituntut atau diserahkan kepada mana-mana pihak.

"Kita ada terima laporan daripada seorang individu yang mengaku pengarah sebuah syarikat jenis teknologi maklumat dan mendakwa wang berkenaan milik syarikat itu, tetapi malangnya selepas beberapa hari, pengadu masih gagal hadir ke balai atas pelbagai alasan.

"Jadi kita masih belum dapat mengesahkan duit itu kepunyaan syarikat terbabit selagi pengadu tidak tampil memberi keterangan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.


Hussein berkata, wang itu tidak boleh dituntut begitu sahaja tanpa pihak berkenaan memberikan bukti dan rekod yang jelas kepada pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal keselamatan menemukan bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Semalam, pengawal keselamatan berusia 30-an itu membuat laporan polis mengenai penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana yang dijumpainya pada 8 pagi, 20 Mac lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1073792/wang-rm500000-belum-sah-milik-syarikat-teknologi-maklumat
Pages: [1]
View full version: Wang RM500,000 belum sah milik syarikat teknologi maklumat


ADVERTISEMENT