mattzzx Publish time 25-3-2024 04:49 PM

JIM serbu pusat beli-belah terkemuka, 46 Pati ditahan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/photo_2024-03-25_16-37-42_jim_salun_1711356291.jpg
OP Kutip dijalankan JIM di pusat beli-belah di ibu negara. FOTO Eizairi Shamsudin

Kuala Lumpur: Pekerja salun kecantikan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di sini, bertempiaran lari meninggalkan premis sebaik menyedari kehadiran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Dalam serbuan 2 petang itu, beberapa anggota yang menjalankan pemeriksaan mendapati premis berkenaan sedang beroperasi, namun tiada pekerja di dalamnya disyaki sudah melarikan diri.

Serbuan menerusi Op Kutip itu dijalankan hasil risikan sejak seminggu lalu selepas menerima maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata, seramai 53 warga asing diperiksa dan 46 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.


Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 20 lelaki dan 26 wanita berusia antara 20 hingga 45 tahun.

Beliau berkata, pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan itu membabitkan 16 warga Myanmar; India (10); masing-masing lapan warga Pakistan dan Bangladesh serta empat warga Indonesia.

"Antara kesalahan disyaki dilakukan tidak mempunyai pas atau permit sah, tinggal lebih masa dan gagal patuhi syarat pas.

"Kesemua mereka dibawa ke Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam sidang media selepas operasi di sini, hari ini.

Selain itu, Jafri berkata, pihaknya turut menahan empat majikan warga tempatan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit sah.

Katanya, pihaknya juga akan memanggil beberapa majikan kepada pekerja asing yang ditahan, untuk tindakan lanjut.

"Pusat beli-belah ini antara 20 lokasi 'hotspot' kepada JIM Kuala Lumpur selain beberapa lagi kawasan premis perniagaan dan penempatan," katanya.

Kata beliau, JIM tidak akan berkompromi terhadap pihak yang cuba melakukan apa-apa kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta mana-mana peraturan lain.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1073826/jim-serbu-pusat-beli-belah-terkemuka-46-pati-ditahan
Pages: [1]
View full version: JIM serbu pusat beli-belah terkemuka, 46 Pati ditahan


ADVERTISEMENT