mattzzx Publish time 25-3-2024 05:17 PM

Penduduk dihantui bau busuk hampas sawit

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/03/25/2589898.jpg

MELAKA - Lebih 400 penduduk membabitkan 100 buah rumah di Kampung Balik Batu Tanjung Kling dekat sini dihantui dengan masalah habuk dan pencemaran bau hampas kelapa sawit sejak Disember tahun lalu.

Penduduk mendakwa mereka bukan sahaja terpaksa menghidu bau yang kurang menyenangkan malah hampas yang berterbangan juga dikhuatiri mampu menjejaskan kesihatan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Balik Batu, Zainal Ahmad berkata, kewujudan pusat penyimpanan sementara hampas sawit telah meragut keharmonian penduduk sehinggakan penduduk terpaksa berkurung di dalam rumah.

Menurutnya, selain itu penduduk juga terpaksa menutup pintu dan tingkap setiap masa kerana hampas yang berterbangan membuatkan kawasan rumah mereka berhabuk tebal.

Jelasnya, situasi itu juga mengakibatkan kos sara hidup penduduk semakin meningkat bagi perbelanjaan kos rawatan dan penyelenggara pendingin hawa yang tinggi.

    "Kesihatan kami banyak yang terganggu disebabkan habuk yang semakin banyak, lebih-lebih lagi ketika musim panas dan angin sekarang ini.

"Habuk dan bau ini boleh sampai sehingga ke rumah saya yang jaraknya lebih 50 meter dari pusat itu," katanya pada Isnin.

Seorang penduduk yang ditemui, Azman Mohd Yatim, 59, berkata, masalah itu juga telah dipanjangkan kepada pihak berkenaan selepas kali kedua syarikat terbabit beroperasi di tepi jalan berdekatan rumah penduduk.

Bagaimanapun, katanya, sehingga sekarang syarikat itu belum menghentikan operasinya sedangkan mereka mendapatkan keuntungan tetapi penduduk dilanda pelbagai permasalahan.

"Sebelum ini mereka janji nak hentikan operasi pada 15 Mac lalu namun sehingga sekarang masih berjalan dan meresahkan penduduk.

"Lori-lori yang membawa muatan hampas pun pandai, mereka tak masuk pada waktu siang tapi waktu malam bagi mengelak aktiviti mereka dihidu penduduk," katanya.

Bagi suri rumah pula, Surianti Mohamad, 49, berkata, sejak wujudnya pusat tersebut kerja-kerja rumahnya semakin bertambah dan terpaksa membersihkan habuk dari dalam hingga ke luar rumah.

"Penat hari-hari nak kena mengelap habuk kalau tak.. kita kerap batuk dan selesema sudahlah sekarang bulan puasa dengan cuaca panas lagi memang letih.

"Malah anak-anak juga mengalami gatal-gatal apabila habuk berterbangan dan melekat di pakaian, harap dapat dihentikan segera operasi syarikat itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, syarikat berkenaan telah memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah bau busuk sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama syarikat berkenaan memohon diberikan tempoh masa untuk memindahkan kira-kira 2,000 tan hampas sawit ke tapak baru sebelum dieksport ke luar negara melalui Jeti Tanjung Bruas.

"Mereka minta tempoh sehingga 15 April depan untuk pindahkan hampas itu tapi dua hari lepas saya dah minta mereka percepatkan dan harap dapat selesai sebelum Aidilfitri," katanya.

https://www.sinarharian.com.my/article/656497/edisi/melaka-ns/penduduk-dihantui-bau-busuk-hampas-sawit
Pages: [1]
View full version: Penduduk dihantui bau busuk hampas sawit


ADVERTISEMENT