mattzzx Publish time 27-3-2024 05:00 PM

Sorok 568 kg minyak, gula, pemilik restoran mamak didenda RM15,000

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/03/WhatsApp-Image-2024-03-27-at-2.16.38-PM.jpeg
TERTUDUH (tengah) mengaku bersalah menyimpan minyak masak dan gula bersubsidi di restorannya 12 Disember tahun lalu.

MELAKA- Seorang pengarah syarikat rangkaian restoran mamak bergelar Datuk dijatuhi hukuman denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki barang berjadual iaitu minyak dan gula melebihi kuantiti yang dibenarkan.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Fadzil A. Bakar, 66, yang mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati ada dalam milikannya barang berjadual iaitu 267 unit minyak masak paket satu kilogram (1kg), 253 unit gula pasir kasar 1kg dan 48 unit gula pasir kasar (gula jernih) 1kg.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.45 pagi di premis perniagaan RB Bistro cawangan Jelatang di Pusat Perniagaan Jelatang dalam derah Alor Gajah, pada 12 Disember 2023.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu dalam perjalanan perniagaan, menggunakan barang berjadual yang dinyatakan dalam Bahagian IV Jadual melebihi kuantiti sepertimana Bahagian IV Jadual.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum di hukum dibawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Peguam Maligaa Radhakrishnan yang mewakili tertuduh merayu agar satu hukuman berbentuk denda dikenakan memandangkan tertuduh telah berusia 66 tahun dan mempunyai penyakit jantung.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Suhana. Mohd bagaimanapun mencadangkan hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan itu membabitkan barangan kawalan serta peningkatan kes melibatkan barangan subsidi.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM15,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. – KOSMO!ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03/27/sorok-568-kg-minyak-gula-pemilik-restoran-mamak-didenda-rm15000/
Pages: [1]
View full version: Sorok 568 kg minyak, gula, pemilik restoran mamak didenda RM15,000


ADVERTISEMENT