mattzzx Publish time 1-4-2024 03:25 PM

Suami isteri upah OKU promosi judi, Ah Long di bazar Ramadan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/01nt11ill_1711954759.jpg
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri. - Foto fail NSTP

IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki menjalankan aktiviti mempromosi pinjaman wang haram atau Ah Long serta judi atas talian di kawasan bazar Ramadan Stadium Perak, di sini yang rakaman mengenainya tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata lelaki dan wanita berusia 54 dan 53 tahun berasal dari Sitiawan di Manjung, itu dikenal pasti dalang kes tular berkenaan dengan mereka ditahan jam 12.45 tengah malam tadi di Sitiawan.

Katanya, polis mengesan video tular itu pada Jumaat lalu memaparkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang ditegur dan dinasihatkan oleh peniaga bazar Ramadan terbabit supaya beredar selepas lelaki itu didapati mempromosikan kegiatan judi dan Ah Long.

"Hasil soal siasat, lelaki itu mengaku mengunjungi bazar Ramadan berkenaan bersama dua lagi lelaki yang
diupahnya untuk menyebar dan mempromosikan perniagaan pinjaman Ah Long yang dijalankannya sejak tahun 2022.

"Dua lelaki yang bersama dengannya di bazar ketika hari kejadian itu adalah OKU yang diupah untuk mengedarkan kad promosi aktiviti haram berkenaan dengan bayaran RM30 seorang.

"Bertindak atas maklumat, suspek suami isteri yang juga dalang sebenar kes berjaya dikesan dan ditahan. Polis turut merampas telefon bimbit, buku catatan senarai peminjam wang, sebuah kereta serta 120 keping kad tertera iklan pinjaman wang dan judi atas talian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, semakan dibuat berdasarkan buku catatan yang dirampas mendapati 90 peratus peminjam wang daripada suspek adalah berbangsa Melayu yang berada sekitar daerah Manjung.

"Suspek dipercayai bertindak demikian bagi mengembangkan perniagaannya dengan mencari peminjam baharu.

"Suspek juga mengaku perniagaan pinjaman wang haram yang dilakukannya mengenakan jumlah bunga yang tinggi dan perlu dibayar secara harian. Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis mengesan tiga lelaki yang menjalankan aktiviti mempromosi pinjaman wang haram atau Ah Long serta judi atas talian di kawasan bazar Ramadan berkenaan berpandukan kepada video berdurasi 1.01 minit yang ditularkan seorang daripada peniaga di bazar itu.

Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Oppa Zuzu Kitchen yang dipercayai peniaga di bazar Ramadan Stadium Perak memuat naik hantaran video memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan mini plakad iklan judi dan Ah Long.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/04/1230376/suami-isteri-upah-oku-promosi-judi-ah-long-di-bazar-ramadan
Pages: [1]
View full version: Suami isteri upah OKU promosi judi, Ah Long di bazar Ramadan


ADVERTISEMENT