mattzzx Publish time 2-4-2024 01:44 PM

Juruteknik warga Amerika Syarikat didakwa sebabkan kematian perunding

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm02thomas_1712035644.jpg
Tertuduh, Thomas Joseph di bawa ke Mahkamah Sesyen hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

Petaling Jaya: Juruteknik warga Amerika Syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang perunding peralatan perubatan dalam insiden pergaduhan akibat terlanggar bahu di sebuah pusat hiburan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Thomas Joseph, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang memakai baju T berwarna putih, didakwa menyebabkan kematian K Chandra Bose, 58, iaitu niat hendak menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin mengakibatkan kematian.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bar pusat hiburan di The Square Jaya One, Jalan Prof Diraja Ungku Aziz, di sini pada jam 12.30 tengah malam, 23 Mac lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kesalahan itu sangat serius dan termasuk dalam kes yang tidak boleh dijamin.

"Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam dan fakta bahawa dia adalah warga asing.

"Jika jaminan diberi, terdapat risiko tertuduh untuk melarikan diri serta tidak hadir di prosiding akan datang," katanya.

Beliau mengulangi pendirian supaya mahkamah tidak menawarkan jaminan namun sekiranya mahkamah mengguna budi bicara untuk memberi ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan kadar itu ditetapkan pada jumlah yang tinggi.

Katanya, ia termasuk syarat tambahan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai sekali setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.

Bagaimanapun, peguam, Suraj Singh merayu supaya anak guamnya dilepas dengan jaminan kerana pertuduhan dibuat ialah mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan dan bukannya Seksyen 302 kanun sama.

"Kita tidak boleh menghukum seseorang hanya kerana dia seorang warga asing.

"Pembelaan turut tidak membantah jika mahkamah memerintahkan anak guamnya menyerahkan pasport sehingga kes itu selesai," katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Dr Syahliza berkata, selepas menimbangkan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung isu jaminan, mahkamah berpandangan tiada alasan yang munasabah bagi membenarkan jaminan bagi kes ini.

"Oleh itu, jaminan tidak dibenarkan," kata hakim berkenaan yang kemudiannya menetapkan 28 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 Mac lalu, Harian Metro melaporkan, seorang lelaki maut dipercayai ditumbuk lelaki warga asing, di sebuah pusat hiburan di Sea Park, di sini pada dua minggu lalu, gara-gara terlanggar bahu.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1076477/juruteknik-warga-amerika-syarikat-didakwa-sebabkan-kematian-perunding
Pages: [1]
View full version: Juruteknik warga Amerika Syarikat didakwa sebabkan kematian perunding


ADVERTISEMENT