mattzzx Publish time 2-4-2024 03:51 PM

Wanita mengandung didakwa tipu urusan bekal 21 kereta import terpakai

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/mahkamah_court_1712043002.jpg
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Wanita mengandung didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu ahli perniagaan berhubung urusan pembekalan 21 kereta import terpakai pelbagai jenama, enam tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nur Luzianna Mohd Ramalan, 36, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, ibu tiga anak itu didakwa menipu dengan memperdayakan Abdul Wahab S Mohd Mydin, 55, untuk mempercayai dia boleh membekalkan 21 kereta import terpakai itu sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1,409,000 ke dalam dua akaun bank milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di pusat beli-belah di Brickfields di sini antara 6 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Luqman Hakim Azhar yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak bekerja selain tiada risiko untuk melarikan diri.

"Anak guam kini mengandung dua bulan dan mempunyai tiga anak berusia antara 16 tahun sehingga enam tahun," kata peguam itu.

Mendengar permohonan kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.

Sebutan kes ditetapkan pada 2 Mei ini.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1076526/wanita-mengandung-didakwa-tipu-urusan-bekal-21-kereta-import-terpakai
Pages: [1]
View full version: Wanita mengandung didakwa tipu urusan bekal 21 kereta import terpakai


ADVERTISEMENT