mattzzx Publish time 21-4-2024 04:03 PM

JPJ Perak keluarkan 11,507 notis saman

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/saman-notis-JPJ-Perak.jpeg
Mohammad Yusoff (dua dari kiri) membuat pemeriksaan terhadap kenderaan ketika Operasi Bersepadu Hari Raya Aidilfitri Tahun 2024 di Jalan Sultan Iskandar, Ipoh semalam. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengeluarkan sebanyak 11,507 notis saman kepada pengguna jalan raya sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri (Op HRA) 2024 diadakan bermula 1 April lalu.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, data yang direkodkan sehingga semalam itu diperoleh hasil pemeriksaan ke atas 60,364 kenderaan di seluruh negeri.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 400 kenderaan disita membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu dan kenderaan tiada perlindungan insurans.

“Jumlah notis saman yang dikeluarkan pada Op HRA tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang merekodkan 4,925 notis dengan 99 kenderaan disita.

“Selain itu, seramai 121 pemandu warga asing diambil tindakan atas kesalahan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) dengan 45 kenderaan disita,” katanya pada sidang akhbar selepas Op Khas HRA 2024 di sini semalam.

Menurut beliau, penguatkuasaan di terminal bas dan penyamaran pada Op HRA 2024 mengesan seorang pemandu bas yang didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan selepas gagal ujian saringan air kencing yang dijalankan di Terminal bas Amanjaya.

“Apabila seseorang pemandu bas itu berada di bawah pengaruh dadah, ia bukan sahaja mengancam nyawa penumpang malah turut sama mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Kesalahan ini amat serius kerana lelaki itu tidak ‘fit’ (sesuai) untuk memandu disebabkan pengaruh dadah,” katanya.

Tambah beliau, sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 637 bas diperiksa di depoh dan terminal bas dengan ujian saringan dijalankan terhadap pengendali kenderaan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04/21/jpj-perak-keluarkan-11507-notis-saman/
Pages: [1]
View full version: JPJ Perak keluarkan 11,507 notis saman


ADVERTISEMENT