mattzzx Publish time 22-4-2024 10:03 AM

Derita slip disc selepas jatuh dari ketinggian 2.5 meter

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/04/lead-5.jpeg
Muhammad Sabrie (duduk) menerima kunjungan daripada wakil Perkeso Seri Manjung di kediamannya di Taman Sri Mawar, Sitiawan baru-baru ini.

MANJUNG – Terjatuh dari ke­tinggian 2.5 meter pada 2018 dan disahkan menghidap slip disc merubah kehidupan seorang bapa apabila dia tidak lagi mampu untuk bekerja dan terpaksa bergantung kepada isterinya dalam menanggung perbelanjaan keluarga.

Menurut Muhammad Sabrie Hamzih, 35, episod malang itu bermula selepas terjatuh ketika memanjat perancah (scaffolding) di sebuah tapak pembinaan di Kemaman, Terengganu.

Katanya, perancah itu tidak dipasang dengan baik menyebabkan ia bergoyang sehingga kayu dari bahagian atasnya terjatuh.

“Disebabkan mahu mengelak kayu berkenaan, saya terjatuh dalam keadaan terduduk di atas lantai simen. Pada mulanya saya tidak berasa apa-apa dan memi­lih untuk pergi berurut sahaja.

“Namun setelah tidak berupaya membuang air besar serta kecil, saya terus mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman.

“Saya kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu bagi menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI),” katanya.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia memilih untuk menjalani imbasan MRI di sebuah hospital swasta di Kuantan sebelum menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

Jelasnya, dia perlu menjalani fisioterapi selama tujuh bulan di beberapa buah hospital sehinggalah mampu untuk berjalan sejauh 100 meter sebelum terpaksa duduk kerana keletihan.

“Saya juga tidak boleh me­ngangkat barangan berat dan terpaksa memakai lampin dewasa sekali gus menyukarkan saya untuk kembali bekerja,” ujarnya.

“Ketika ini, saya bergantung kepada pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM700 sebulan, selain dibantu isteri yang bekerja di sebuah syarikat di Sitiawan.

“Rutin harian saya ketika ini adalah menghantar dan mengambil anak di sekolah kerana itu sahaja yang mampu dilakukan dalam keadaan sekarang,” katanya yang turut memberitahu, orang ramai boleh menghubungi­nya di talian 011-1110 4348.
https://www.kosmo.com.my/2024/04/22/derita-slip-disc-selepas-jatuh-dari-ketinggian-2-5-meter/
Pages: [1]
View full version: Derita slip disc selepas jatuh dari ketinggian 2.5 meter


ADVERTISEMENT