mattzzx Publish time 23-4-2024 01:54 PM

Boleh pilih 3 syarikat minyak dalam MySubsidi Diesel - Armizan

https://assets.bharian.com.my/images/articles/MAJLIS_SUMBANGAN_RAHMAH_INDUSTRI_MUZIK_2024_1713851052.jpg
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menambah bilangan pilihan daripada dua kepada tiga syarikat pembekal minyak menerusi sistem MySubsidi Diesel berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas daripada syarikat pembekal minyak serta industri pengangkutan.

"Kita bersetuju untuk mempertimbangkan rayuan, kalau sebelum ini syarikat pengangkutan barangan dihadkan untuk mempunyai pilihan dua syarikat pembekal minyak (ketika mendaftar MySubsidi Diesel).

"Kita putuskan atas rayuan terbabit, kita akan beri opsyen tambahan iaitu boleh memilih tiga daripada lima syarikat pembekal minyak yang ditetapkan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Yang turut hadir, timbalannya, Fuziah Salleh.

Terdahulu, Armizan mengadakan libat urus bersama industri pengangkutan dan syarikat pembekal minyak bagi mendapatkan kerjasama daripada ahli persatuan pengangkutan darat.

Ia bertujuan menyegerakan permohonan kad fleet dengan syarikat minyak terpilih untuk memastikan syarikat kenderaan pengangkutan barangan dapat menikmati subsidi yang disediakan kerajaan apabila penyasaran dilaksanakan kelak.

Dalam pada itu, Armizan menggesa pengusaha pengangkutan barangan supaya segera memohon untuk mendapatkan kad fleet terbabit.

Jelasnya, ramai yang sudah mendaftar melalui sistem MySubsidi Diesel, namun masih ada yang mengambil keputusan tunggu dan lihat dalam permohonan mendapatkan kad fleet terbabit.

"Dalam sesi libat urus tadi, persatuan yang terkait dengan sektor ini membuat komitmen mereka untuk membuat hebahan dan galakkan kepada ahli mereka supaya terus memohon mendapatkan kad fleet sebaik sahaja mendaftar dalam MySubsidi Diesel.

"Ini kerana mereka yang mendaftar dalam sistem MySubsidi Diesel, akan terus menerima kelulusan segera sekiranya semua dokumen yang diperlukan adalah lengkap manakala permohonan untuk mendapatkan kad fleet (dengan syarikat pembekal minyak) mengambil masa yang sedikit lama," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengarahkan syarikat pembekal minyak supaya bersedia dan menambah jumlah tempahan kad fleet mereka sebelum menerima tambahan permohonan kelak.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1238099/boleh-pilih-3-syarikat-minyak-dalam-mysubsidi-diesel-armizan
Pages: [1]
View full version: Boleh pilih 3 syarikat minyak dalam MySubsidi Diesel - Armizan


ADVERTISEMENT