Vellfire Publish time 23-4-2024 10:36 PM

Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2024 sasar kehadiran 200,000 pengunjung

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240423/kch-ub230424-hl-sfcf-p1.jpeg

Dr Florince (tengah duduk) diapit (dari kiri duduk) Kueh, Muttalib, Lilian dan Fedrick dan kakitangan MPKS merakam kenangan selepas selesai sidang media SFCF 2024 hari ini.
KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2024 yang bakal berlangsung dari 10 hingga 19 Mei depan di Aiman Mall, Kota Samarahan menyasarkan kehadiran 200,000 pengunjung.
Pengerusi Pengelola SFCF 2024 Dr Florince Christy berkata ia merupakan anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bagi memperkenalkan produk-produk makanan tradisi dan popular tempatan di sini.
Festival itu juga bakal mempamerkan seni, adat, budaya serta permainan tradisi yang terdapat di Sarawak, terutama dalam bahagian Samarahan.
"SFCF merupakan acara pelancongan tahunan yang diadakan di Samarahan. Kali terakhir penganjuran SFCF adalah pada 2022 dan telah berjaya menarik seramai 98, 819 pengunjung.
"Pada tahun ini, kami berharap agar SFCF berupaya menarik seramai 200,000 pengunjung," katanya pada sidang media di pejabat MPKS di sini.
Tambah beliau, penganjuran SFCF pada tahun ini akan menyaksikan percubaan untuk memecah rekod pameran pelbagai jenis ulam-ulaman.
Katanya, hampir 100 jenis ulam-ulaman bakal dipamerkan untuk dimasukan ke dalam The Malaysia Book of Records (MBOR) pada 19 Mei 2024 jam 3.30 petang di Aiman Mall.
Sementara itu, pihak MPKS juga telah menyediakan 83 gerai jualan makanan dan kraf tangan yang mana empat daripadanya berukuran 10x10 berharga RM300 dan 14 gerai 20x10 berharga RM550 boleh ditempah.
Juga terdapat gerai makanan dan minuman, makanan tradisional dan makanan kering, pameran kraf tangan serta automotif, perbankan, telekomunikasi dan lain-lain.
"Sepanjang berlangsungnya SFCF 2024 ini nanti, pelbagai aktiviti kebudayaan daripada pelbagai kaum akan turut ditunjukkan pada setiap malam.
"Antaranya adalah persembahan bermukun, persembahan Zapin Sindang, persembahan orkestra Cina, persembahan Gendang 24 Season (Cina), Gendang Pampat Iban.
"Turut dipamerkan ialah peragaan pakaian tradisional kaum Bugis, persembahan tarian serta muzik kaum Bugis dan persembahan ngajat Iban dan Bidayuh," ujar Dr Florince.
Seterusnya, pengisian aktiviti seperti Pertandingan Masakan Berasaskan Ikan Terubuk, Udang dan Ikan Pari, Pesta Makan Nanas-Makan Nanas Sampai Puas, peragaan pakaian kontemporari (kanak-kanak dan remaja).
Juga Aerobathon Challenge, Samarahan Got Talent (tiga kategori iaitu Bintang Kecil Samarahan Got Talent, Bintang Samarahan Got Talent dan Otai Nang Steady Samarahan Got Talent).
Cosplay Show, Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak dan Warga Emas, Pameran dan Demonstrasi Manik dan Beg Rotan yang mendapat jolokan Local Vogue ( LV) Sarawak, Big Bike Gathering, autoshow dan persembahan artis jemputan (Suzie Kay dan Rizal Ayub).
Tidak dilupakan agar pengunjung mengambil kesempatan untuk mencuba makanan jarang ditemui iaitu gerai menjual Rojak Bodo dan Aju Ice Kacang.
SFCF pada tahun ini akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 10 Mei 2024.
Manakala majlis penangguhan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada 19 Mei, tambahnya.
Hadir sama semalam adalah Timbalan Pengerusi Pengelola SFCF 2024 Kueh Khiok Khuang, Timbalan Pengerusi MPKS Muttalib Julaihi, Timbalan Setiausaha MPKS Lilian Liew dan Pengasas Beg Rotan DING yang mendapat jolokan nama LV Sarawak Fedrick Ding.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/23/festival-makanan-dan-budaya-samarahan-2024-sasar-kehadiran-200000-pengunjung
Pages: [1]
View full version: Festival Makanan dan Budaya Samarahan 2024 sasar kehadiran 200,000 pengunjung


ADVERTISEMENT