Vellfire Publish time 24-4-2024 07:27 PM

IPD Kuching tubuh CAT banteras curi kenderaan di Daerah Kuching: Ahsmon

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240424/kch-ub240424-jl-ahsmon-p1.jpg

Ahsmon semasa bercakap pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.- Gambar Chimon Upon
KUCHING: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menubuhkan satu pasukan khas yang dinamakan Counter Aggresive Team (CAT) untuk membanteras kegiatan curi kenderaan di Daerah Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, berikutan itu sebanyak 15 sindiket curi kenderaan berjaya ditumpaskan setakat ini.
"Sebanyak 710 motosikal dan 216 kenderaan lain dilaporkan hilang dicuri di Daerah Kuching dari 2021 hingga Mac 2024 dengan kerugian dianggarkan sekitar RM6 juta.
"Susulan itu, IPD Kuching telah menubuhkan CAT bersama pasukan Ops Lejang, hasilnya kita telah berjaya menumpaskan 15 sindiket curi kenderaan membabitkan 329 tangkapan suspek serta penemuan semula 200 motosikal dan 118 kereta dengan nilai keseluruhan sekitar RM3.27 juta," ujarnya pada sidang media di IPD Kuching, hari ini.
Ahsmon berkata, meskipun banyak sindiket berjaya ditumpaskan, namun kes curi kenderaan masih membimbangkan.
https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240424/kch-ub240424-jl-ahsmon-p2.jpg
Ahsmon memberikan taklimat kepada anggotanya yang terlibat dalam operasi membanteras kegiatan curi kenderaan. - Gambar Chimom Upon
"Ada kes di mana suspek hanya meletakkan motosikal yang dicuri di hadapan rumah, malah ada yang menggunakannya untuk pergi bekerja.
"Sepatutnya, sekiranya kita mengesyaki ada di sekeliling kita suspek kes-kes curi kenderaan ini, kita perlu segera laporkan kepada pihak polis agar tindakan segera dapat diambil," katanya.
Dedah beliau, antara kawasan tumpuan kes curi kenderaan adalah Samariang, Demak Laut, Metrocity, Tabuan Height, Taman Satria Jaya, BDC, Stampin, King Centre, Hospital Umum Sarawak (HUS), Tebingan Kuching, Majma Mall, Jalan Abell, Petanak, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dan Jalan Rock.
"Modus operandi penjenayah ialah menggunakan peralatan yang diubah suai untuk membuka dan menghidupkan enjin motosikal, malah ada kes suspek menggunakan kenderaan lain seperti van atau pacuan empat roda (4WD) untuk mengangkut motosikal curi.
"Selain itu, ada penjenayah menggunakan 'portable signal jammer' untuk mematikan sistem penggera dan GPS kenderaan," kata Ahsmon.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan selamat.
"Kita juga tidak nafikan sindiket curi kenderaan melibatkan warga tempatan dan warga asing masih aktif di daerah ini.
"Disebabkan itu, kita amat mengharapkan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat sekiranya melihat kenderaan atau individu mencurigakan di kawasan masing-masing," katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/24/ipd-kuching-tubuh-cat-banteras-curi-kenderaan-di-daerah-kuching-ahsmon
Pages: [1]
View full version: IPD Kuching tubuh CAT banteras curi kenderaan di Daerah Kuching: Ahsmon


ADVERTISEMENT