Vellfire Publish time 24-4-2024 07:31 PM

Miri antara pintu masuk ‘Gateway to Borneo’

Edited by Vellfire at 24-4-2024 11:32 AM

Kekal status sebagai 'pusat' pengembara, penggemar alam semula jadi dalam kempen melawat Sarawak

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240424/myy-ub240424-cc-karimvic-p2.jpeg

Ting menggunting reben sebagai perasmian pembukaan semula VIC Miri semalam bersama-sama (dari kiri) Ariffin, Desmond, Dennis, Sharzede dan Abang Arabi.
“Gateway to Borneo merangkumi penyusunan semula strategi dan pemulihan jenama yang menyerlahkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama dan pintu masuk ke keajaiban Borneo.”
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan
Oleh Clare Cinderella
MIRI: Peranan penting Miri sebagai pintu masuk ke Taman Negara Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang terkenal telah mengekalkan statusnya sebagai 'pusat' pengembara dan penggemar alam semula jadi di seluruh dunia dalam kempen melawat Sarawak yang bertemakan ‘Gateway to Borneo’.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, Miri dengan bangganya berdiri sebagai salah satu pintu masuk utama di samping Kuching dan Sibu.
“Gateway to Borneo merangkumi penyusunan semula strategi dan pemulihan jenama yang menyerlahkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama dan pintu masuk ke keajaiban Borneo.
“Inti pati jenama yang digiatkan semula ini merupakan jemputan kepada pengembara di mana-mana untuk menerokai Sarawak, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Pembukaan Semula Pusat Informasi Pelawat (VIC) Miri hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting yang mewakilinya merasmikan majlis itu.
Dalam senario industri pelancongan yang rancak kata Abdul Karim, mempunyai akses kepada maklumat yang tepat dan mudah didapati adalah aspek terpenting bagi pelawat yang berkunjung ke negeri ini.
“Di tengah-tengah ini, terletak peranan penting pusat maklumat yang menawarkan pandangan, cadangan dan bantuan praktikal yang meningkatkan pengalaman perjalanan daripada biasa kepada luar biasa.
“Selain hanya mengedarkan peta dan risalah, ia merangkumi semangat hospitaliti, menawarkan bantuan peribadi dan kepakaran tempatan yang menjadikan pengunjung kita tetamu yang dihargai," tambahnya.
Menyentuh mengenai pembukaan semula VIC Miri yang telah diberi peningkatan, beliau menyifatkan penubuhannya adalah satu keperluan penting dan mengiktiraf peranan asasnya dalam memacu pelancongan untuk Sarawak.
“Pembukaan semula VIC Miri yang dipertingkatkan, amat istimewa kerana ia bukan sahaja mendedahkan rupa dan tujuan ruang ini yang diperbaharui tetapi juga menekankan komitmen kami untuk memastikan pelawat mempunyai akses yang lancar kepada informasi, mengiktirafnya sebagai mata wang pelancongan yang amat bernilai,” katanya.
Pergerakan membina semula taman VIC Miri pula sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11, memfokuskan kepada Bandar dan Komuniti Lestari, menyerlahkan penciptaan ruang awam hijau dan penambahbaikan perancangan dan pengurusan bandar dengan cara penyertaan dan inklusif.
“Penubuhan VIC Miri adalah satu keperluan penting, mengiktiraf peranan asasnya dalam memacu pelancongan untuk Sarawak.
“Sebagai duta barisan hadapan, pusat ini berfungsi sebagai hab penting untuk maklumat dan panduan untuk memperkayakan pengalaman, mengukuhkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi utama,” tambah Abdul Karim.
Sementara itu Pengerusi STB Dato Dennis Ngau berkata, pembukaan semula VIC Miri yang diubah suai itu bukan sahaja menyediakan maklumat; ia juga melibatkan pihak berkepentingan secara aktif, memudahkan perbincangan dan pertukaran mengenai pelbagai perkara pelancongan.
“Usaha ini membantu menekankan kepentingan Miri sebagai salah satu pintu masuk utama Sarawak, menyumbang kepada kedudukan Sarawak sebagai 'pintu gerbang' ke Borneo,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan.
Manakala Ting ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, VIC Miri bukan hanya pusat untuk mendapatkan maklumat berhubung destinasi pelancongan di bahagian utara negeri, tetapi merupakan satu lagi mercu tanda di bandar raya ini.
Pusat maklumat itu dibangunkan dalam dua fasa dengan kos sebanyak RM250,000 oleh STB termasuk pembinaan pavilion.
Manakala fasa kedua menggunakan peruntukan kerajaan negeri daripada Ting berjumlah RM500,000. Fasa kedua ini bermula tahun lepas dan siap awal tahun ini.
Sejak 27 tahun lalu, VIC Miri telah melayani peningkatan jumlah pelancong yang melawat bahagian Miri kerana Miri adalah pintu masuk ke Warisan Dunia UNESCO, Taman Negara Gunung Mulu.
Taman yang mengelilingi VIC Miri yang telah diubah suai menambah kemeriahan bukan sahaja untuk pengunjung tetapi juga masyarakat setempat.
Tumpuan kepada identiti taman ini ialah representasi masyarakat Miri yang pelbagai dan berbilang kaum.
Ruang itu kini dibuka untuk pelbagai aktiviti, termasuk muzik, pameran warisan dan banyak lagi.
Tambahan yang menonjol pada kawasan ini ialah Arca Sape yang mengagumkan, yang berdiri tinggi pada 3.2 meter.
Mercu tanda baharu ini bukan sahaja menambah ciri taman tetapi juga bandar raya Miri sendiri, menjadi satu-satunya struktur sape di seluruh bandar raya.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Desmond Douglas Jerukan yang mewakili Setiausaha Tetap kementerian itu, Pengarah Lembaga STB John Teo, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (STC) yang juga Lembaga Pengarah STB Abang Arabi Abang Aimran, CEO STB Sharzede Datu Salleh Askor dan Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohamad.

https://www.utusanborneo.com.my/2024/04/24/miri-antara-pintu-masuk-gateway-to-borneo
Pages: [1]
View full version: Miri antara pintu masuk ‘Gateway to Borneo’


ADVERTISEMENT