|
Chow Kon Yeow (dua dari kanan) bersalaman bersama wakil dari China di Setia Spice Pusat Konvensyen, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Georgetown: Kongres Dunia Persatuan Periklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 dijangka mampu menyumbang impak ekonomi dengan anggaran nilai RM5.84 juta kepada Pulau Pinang.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kongres bertemakan 'Brand Recode: Better World Better Life' itu adalah yang pertama dianjurkan di rantau Asia Tenggara disertai lebih 1,200 peserta dari 26 negara.
Menurutnya, ia juga menghimpunkan profesional dari bidang pengiklanan, pemasaran, teknologi, media, agensi hubungan awam, pendidikan dan firma penyelidikan yang merangkumi pelbagai industri.
"Dalam hal ini, reputasi Pulau Pinang sebagai 'Lembah Silikon Timur' bukan sekadar gelaran, tetapi bukti kepada dedikasi berterusan kita kepada kecemerlangan teknologi dan inisiatif progresif yang diterapkan.
"Saya optimis ia akan membuka peluang pelaburan baru dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh bagi negeri kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Pengiklanan Antarabangsa (IAA) ke-45 selama tiga hari di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini, bermula hari ini.
Kongres Dunia IAA sebelum ini pernah diadakan di bandar terkemuka dunia seperti New York, London, Paris, Tokyo, Sydney, Beijing, Dubai dan Moscow sejak penubuhannya pada 1938.
Sementara itu, Presiden IAA Malaysia, John D Chacko berkata, kongres berkenan mengetengahkan pelbagai kandungan signifikan antaranya meliputi tema kelestarian, kreativiti, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
"Pada hari terakhir, kami akan memfokuskan mengenai keterangkuman dan kesaksamaan gender bertepatan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
"Sesi yang diatur akan meneroka peranan inovasi dan teknologi dalam memajukan lagi usaha mencapai keterangkuman dan kesaksamaan gender sebagai pemangkin kreativiti, inovasi dalam penjenamaan serta pemasaran perniagaan," katanya.
Menurutnya, kongres itu turut membariskan lebih 30 penceramah terdiri daripada 'titan industri', pemimpin, pemikir, peneraju inovasi antaranya dari Google, Meta, Cannes Lions, Petal Ads, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), universiti selain agensi bertaraf global.
Turut dijadual hadir sebagai penceramah ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studio, Nini Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran.
Media Prima Bhd turut diangkat sebagai rakan media tempatan sempena kongres terbabit, manakala BBC News menjadi rakan media antarabangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... l-pelbagai-industri |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|