Georgetown: Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang menghalang lalu lintas dengan meletakkan kenderaan mereka di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini.
Ia susulan video tular di media sosial yang memaparkan deretan kereta dan motosikal diparkir di atas lebuh raya itu menjelang waktu berbuka puasa.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai keadaan itu.
"Setakat ini belum ada laporan mengenainya namun jika ada aduan, kita akan ambil tindakan.
"Memang sekarang ada trend berbuka puasa di luar namun keselesaan pengguna tetap diambil kira dan kita akan lakukan pemeriksaan di kawasan itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, hari ini.
Menerusi komen warganet pada video tular itu, difahamkan kenderaan berkenaan diparkir di atas lebuh raya bermula menjelang waktu berbuka puasa hingga awal pagi.