Sumber: Malaysian Digest
.
Ada apa Shahir dengan Erra Fazira? Sejak beberapa hari lalu, itu persoalan yang bermain di kalangan ramai peminat hiburan tanah air juga pihak media apabila timbul berita juara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) dan primadona jelita itu dilihat keluar berdua, baru-baru ini.
Spekulasi mereka kononnya punya hubungan istimewa menjadi semakin panas apabila dilaporkan Shahir mengakui mereka berdua sedang dalam proses mengenali antara satu sama lain, pada satu temubual sekitar minggu lalu oleh sebuah program hiburan baharu.
Erra Fazira dalam satu kenyataan di sebuah portal hiburan berkata kalau pun benar dia berkawan dengan penyanyi muda berkenaan, hal itu tidak menjadi satu kesalahan. Namun Erra menegaskan ada pihak yang telah memanipulasi baik kenyataan dari mulutnya sendiri juga dari mulut Shahir.
Bertemu dengan Shahir pada majlis Astro Meraikan Para Media malam tadi, pelantun lagu 'Kebahagian Dalam Perpisahan' ini mengakui dia pernah keluar berdua bersama Erra.
Sementara mengulas mengenai hubungannya dengan Erra, secara ringkas Shahir mengatakan yang dia sependapat dengan ibu anak satu itu.
"Saya akui, kami pernah keluar berdua dan juga beramai-ramai beberapa kali sekitar bulan lalu. Tapi tujuan pertemuan kami itu atas dasar kerja. Beliau mahu menawarkan saya untuk menjayakan teater Tun Teja, terbitan produksinya. Tapi saya tak dapat berikan komitmen kerana terpaksa menumpukan perhatian kepada rakaman single terbaru dan kembali aktif semula dalam nyanyian.
"Walaupun kami sudah keluar beberapa kali, tidak timbul soal perasaan suka (cinta) pada beliau. Kami berjumpa dan berbincang tentang kerja, jadi buat apa nak sorok-sorok. Tambahan kami jumpa di tempat awam, tentu ramai yang nampak dan hal itu tak perlu dijadikan isu. Saya tak takut atau bimbang bila isu ni timbul sebab saya sudah bersedia dengan gosip sebegini sejak kali pertama kami keluar bersama.
"Tapi ketika saya ditemubual oleh program hiburan tersebut tempoh hari pun, saya langsung tidak menyatakan yang saya berkawan rapat, intim atau ada hubungan istimewa dengan beliau. Anda boleh rujuk semula pada video temubual saya itu. Seperti kata beliau, ada pihak yang cuba memanipulasikan kenyataan saya tempoh hari. Jadi hari ini saya ambil kesempatan untuk perbetulkan semula laporan media sebelum ini", jelas Shahir satu-persatu dengan nada tenang.
Begitupun Shahir tidak menafikan yang dia terkejut apabila timbulnya cerita tersebut. Lebih-lebih lagi namanya menjadi panas secara tiba-tiba setelah beberapa lama tidak aktif dalam nyanyian.
"Ya, saya terkejut juga bila cerita itu timbul tiba-tiba. Selama ini saya agak senyap dari dunia nyanyian kerana menjaga ayah saya yang sedang sakit. Tapi entah macam mana, keluar pula gosip macam ni", ujarnya.
Dalam pada itu, dia yang sebelum ini pernah di gosipkan bercinta dengan pelakon jelita Rozita Che Wan (Che Ta) mengesahkan sehingga kini masih solo dan belum mempunyai teman wanita.
http://malaysiandigest.com/hiburan/503359-shahir-akui-tak-sorok-sependapat-dengan-erra-fazira.html
|