|
NAMA penyanyi era 90-an, Rahmad Mega atau nama sebenarnya Rahmad Toha bukanlah asing dalam industri hiburan Malaysia.
Pernah sama-sama menjadi penghibur terkenal ketika fenomena rock kapak, nama Rahmad akhirnya tenggelam begitu sahaja dengan kebanjiran bakat-bakat baru yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.
Tidak pernah 'bersara' dari dunia nyanyian, Rahmad kini dalam perancangan untuk kembali mewarnai industri seni, apatah lagi sambutan terhadap penyanyi era 90-an masih diterima baik.
Mengulas perkembangan terkini Rahmad, penyanyi Takdir dan Waktu itu masih aktif melakukan persembahan pentas, malah ada tawaran yang terpaksa ditolak.
"Walaupun ramai artis lama yang sudah berundur dan kebanjiran penyanyi muda, tapi saya sangat beruntung kerana tidak perlu bersaing dengan artis baru untuk mengadakan persembahan atau konsert.
"Permintaan lagu era 90-an masih laris dan sering mendapat sambutan hangat. Lagipun saya menerima tawaran show bukan untuk duit semata-mata, tetapi mahukan suasana meriah," kata Rahmad.
Melihat aksi bertenaga Rahmad di atas pentas, dia sempat berkongsi petua kekal cergas iaitu tidak merokok dan sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat seperti jogging, berbasikal dan berenang.
Rahmad Mega
Ujar Rahmad, dia sudah merakamkan album baru dan turut membuat kolaborasi dengan artis Indonesia, Eren dari kumpulan Kangen Band.
"Pada mulanya, kehadiran Eren dalam lagu Ini Cintaku Yang Pertama sekadar penyanyi latar ditukar menjadi rakan duet setelah berbincang dengan pihak pengurusan.
"Saya sudah merakamkan lima lagu dalam album terbaru dan single pertama sudah diputarkan di radio tempatan.
"Lagu yang berunsurkan balada pop ini bakal ke Indonesia, malah saya merupakan artis Malaysia pertama di bawah syarikat produksi, Warner Music dipasarkan di sana tidak lama lagi," katanya.
|
|