RAJA Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau, 78, dimasukkan ke Hospital Teluk Intan (HTI) selepas pengsan sebaik selesai melakukan persembahan di Waterfront Bagan Datuk, Bagan Datuk, tiga hari lalu.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Gerak Mesra dan Jati Diri Jabatan Imigresen Malaysia di Bagan Datuk hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sempat menziarahi penyanyi veteran itu di HTI ketika dalam perjalanan pulang ke Bagan Datuk selepas menghadiri program di Bidor, malam tadi.
“Tiga malam lalu beliau buat persembahan di sini (Waterfront Bagan Datuk) dan malam tadi saya sempat melawat beliau di HTI. “Beliau pengsan dan ada beberapa penyakit selepas lakukan persembahan di sini dan kita doakan beliau segera sembuh,” katanya. Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut berharap ada anak Bagan Datuk yang mampu mengikut jejak M Daud Kilau yang berjaya menjadi penyanyi tersohor negara dalam genrenya yang tersendiri.
“M Daud Kilau tersohor di peringkat nasional dan Insya-Allah akan ada anak Bagan Datuk sehebat beliau dilahirkan bukan sahaja mengharumkan Bagan Datuk di peringkat nasional, malah antarabangsa,” katanya.
|