CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: seribulan

SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN

[Copy link]
Post time 9-8-2004 04:48 AM | Show all posts
Sejarah Lagu Kebangsaan Negaraku

Mengikut rekod terdapat dua sumber mengenai asal usul Lagu Kebangsaan sebelum lagu Negaraku ini dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia. Lagu tersebut merupakan Lagu Kebangsaan Negeri Perak dan di samping itu juga lagu yang popular bernama Terang Bulan. Mengikut cerita Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, lagu ini telah digunakan buat pertama kali sebagai Lagu Kebesaran Negeri Perak pada tahun 1901 iaitu pada masa pertabalan Raja Edward VII di England.

Sultan Idris Murshidul’adzam Shah (Marhum Rahmatullah) menjadi Sultan Negeri Perak dari tahun 1887 hingga tahun 1916. Pada masa pertabalan Raja Edward VII pada tahun 1901, Sultan Idris telah berangkat ke England sebagai wakil Raja-raja Melayu bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dalam Istiadat Pertabalan tersebut. Apabila tiba di Pelabuhan Southampton, Pegawai Protokol dari pejabat koloni luar naik ke kapal dan bertanyakan Lagu kebesaran Negeri Perak. Adalah menjadi amalan di England pada masa itu bahawa apabila Ketua Negara atau Raja berangkat, lagu kebangsaan negeri tersebut dimainkan.

Pada masa itu Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Raja Harun bin Sultan Abdullah, Setiausaha Sulit kepada Sultan adalah seorang ahli muzik. Beliau walaupun sedar bahawa Negeri Perak tidak mempunyai lagu kebesarannya sendiri tidak mahu mengaku kalah. Beliau memberitahu Pegawai Protokol tersebut bahawa Negeri Perak memang sudah ada lagu kebesarannya sendiri tetapi not lagu tersebut tidak dibawa bersama. Namun begitu beliau menyatakan bahawa beliau boleh memainkan lagu tersebut tanpa not.

Setelah mendengar penerangan Raja Harun bin Sultan Abdullah maka Pegawai Protokol pun membenarkan beliau memainkan lagu tersebut tanpa not. Maka Raja Harun pun memainkan Lagu Kebesaran Negeri Perak tanpa not. Lagu tersebut sebenarnya ialah lagu Terang Bulan. Dengan itu berkumandanglah lagu Terang Bulan di bumi England pada tahun 1901 buat pertama kali dan sekaligus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak. Dari saat itu lagu Terang Bulan menjadi Lagu Kebangsaan Negeri Perak sehingga ia dijadikan Lagu Kebangsaan Negara dan seterusnya Lagu Kebangsaan Malaysia.

Satu lagi sumber mengenai asal usul lagu Negaraku ialah cerita yang disampaikan oleh Raja Kamarulzaman anak kepada Raja Mansur yang pernah menjadi juruiring kepada Sultan Idris. Beliau menyatakan bahawa lagu Terang Bulan ini mula dijadikan Lagu Kebangsaran Negeri Perak pada tahun 1888 apabila Sultan Idris melawat London iaitu setahun selepas baginda ditabalkan. Baginda Sultan Idris berangkat ke London untuk menghadiri Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria pada tahun 1888. Setibanya rombongan Diraja di London sebagai persediaan, wakil Permaisuri Victoria telah meminta not Lagu Kebesaran Negeri Perak dari Raja Mansur, juruiring Sultan Idris. Mengikut amalan protokol ketiga itu Lagu Kebesaran Negeri Perak akan dimainkan sebaik sahaja baginda Sultan berangkat masuk ke dewan majlis di mana istiadat yang berkenaan dijalankan. Untuk mengelakkan malu maka dengan kebijaksanaan dan daya usaha Raja Mansur, beliau telah menyatakan bahawa not lagu tersebut terlupa dibawa. Walau bagaimanapun, Raja Mansur memberitahu wakil Permaisuri bahawa sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat not lagu, beliau boleh membunyikannya dengan cara bersiul. Lagu yang disiulkan itu adalah lagu yang sangat popular dan digemari oleh penduduk Negeri Perak. Maka dengan itu Lagu Kebesaran Negeri Perak buat kali pertamanya dimainkan secara rasmi pada Upacara Kemahkotaan Permaisuri Victoria di London dan lagu itu ialah lagu Terang Bulan.

Tuan Haji Mubin Sheppard yang pernah memegang jawatan Pengarah Arkib Negara telah membuat penyelidikan mengenai asal usul lagu Negaraku ini. Beliau mendapati cerita dari dua adik beradik iaitu Raja Aminah binti Almarhum Sultan Abdullah dan Raja Halijah binti Almarhum Sultan Abdullah dan juga dari Raja Kamarulzaman. Mengikut dua adik beradik ini kali pertama mereka mendengar lagu ini yang sekarang dikenali sebagai Negaraku ialah di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana ayahanda mereka iaitu bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.

Raja Kamarulzaman juga ada menceritakan bahawa lagu ini telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama NEGARAKU.

[ Last edited by mok_nik on 8-8-2004 at 04:08 PM ]
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 9-8-2004 05:13 AM | Show all posts
Pemilihan Lagu NegaraKu

Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Pada ketika itu Malaya berada di ambang kemerdekaan maka wajarlah ia mempunyai sebuah lagu kebangsaan sendiri. Maka dengan itu satu ketetapan telah diambil untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan bercorak patriotik yang merangkumi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Ekoran dari ketetapan ini satu jawatankuasa telah dibentuk di mana bertujuan untuk mendapatkan sebuah lagu kebangsaan yang sesuai bagi Malaya yang bakal merdeka.

Y.T.M. Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Cadangan Y.T.M. Tunku ini dipersetujui dan dilaksanakan. Pertandingan ini bukan sahaja terhad kepada penduduk Malaya tetapi telah dibuka ke seluruh dunia dan hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Untuk memilihnya sebuah jawatankuasa telah dibentuk untuk membuat pemilihan dengan teliti dan sempurna.

Jawatankuasa pemilihan ini terdiri daripada :


Pengerusi :        1.        Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj       
Ahli-ahli :        2.        Tuan Haji Mustafa Albakri, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
Melayu mewakili Raja-raja.       
        3.        Dato’ Abdul Razak Hussein, Menteri Pelajaran.       
        4.        Encik Ya’akob Latiff, Pengarah Penerangan.       
        5.        Encik D.S.P. Croft, Pengarah Muzik, Band Polis Persekutuan.       
        6.        Kapt. Lenthall, Pengarah Muzik, Askar Melayu.       
        7.        Encik A.T. Read, Pengarah Penyiaran Radio.       
                         

Jawatankuasa ini menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh. Mereka meneliti setiap lagu yang diterima. Namun demikian Jawatankuasa ini berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada :

1. Benjamin Britten
2. Sir William Walton
3. Carlo Menetti dan
4. Zubir Said

Mereka telah menggubah dan mencipta beberapa lagu kebangsaan untuk diteliti oleh sebuah Panel Hakim yang dibentuk khas untuk membuat pertimbangan. Panel Hakim berpendapat bahawa lagu ciptaan mereka adalah tinggi mutunya namun mereka masih berpendapat bahawa tidak ada sebuah lagu yang boleh dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.

Setelah dipertandingkan dan setelah mempelawa beberapa ahli penggubah lagu termasyhur masih belum memperolehi hasil yang diharapkan maka akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada. Tujuannya ialah untuk mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara.

Setelah mendengar kesemua lagu negeri maka Jawatankuasa ini telah membuat keputusan bahawa Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara. Maka dengan itu jadilah lagu itu sebagai Lagu Kebangsaan Malaya yang merdeka dan akhirnya Lagu Kebangsaan Malaysia. Senikata lagu kebangsaan ini telah ditulis bersama oleh Panel Hakim di mana Y.T.M. Tunku Abdul Rahman telah memainkan peranan yang penting.
Reply

Use magic Report

Post time 9-8-2004 07:35 AM | Show all posts
Pada 31 Ogos ini, kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-47 tahun - kemerdekaan yang diraih tanpa darah dan air mata. Seperti biasa lagu-lagu patriotik akan berkumandang berulangkali menerusi kaca TV dan radio.

Iramanya memang segar dan ceria. Manakala bendera jalur gemilang, kecil dan besar, dipasang di tempat -tempat yang sesuai bagi menyambut kemerdekaan negara. Di pagi hari kemerdekaan perbarisan diadakan di peringkat negeri dan kebangsaan sambil mempamerkan kejayaan negara.

Maka sambutan merdeka bagaikan terus menjurus kepada lagu-lagu patriotik, mengibar jalur gemilang dan mengadakan pelbagai perbarisan dan perarakan. Rata-rata yang terlibat adalah dari generasi muda.

Apakah rakyat Malaysia telah benar-benar bebas daripada cengkaman unsur-unsur kezaliman? Apakah kita betul-betul bersepadu? Apakah semua rakyat telah menikmati kesejahtera hidup yang sempurna? Apakah jiwa kita telah merdeka?

Memang benar pembinaan Menara Petronas, Koridor Multimedia (MSC), Formula I dan banyak lagi simbol mega moden boleh menyilaukan kita dengan erti sebenar pengisian kemerdekaan. Meskipun Malaysia sudah berusia hampir setengah abad, namun kita masih bergelut untuk melepaskan diri daripada jeratan masalah.

Masalah begitu banyak, termasuk korupsi, kesenjangan pendapatan, kebebasan demokrasi, nepotisme dan hutang-puitang para konglomerat, sehingga boleh membinggungkan para pemimpin. Mungkin pantun klasik yang dikaryakan oleh seorang tokoh pejuang kemerdekaan Dr Burhanudin Helmi dapat memberikan erti kemerdekaan.

Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka

Nama Dr. Burhanudin seperti juga pejuang nasionalis tulen lain, antaranya Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad( Pak Sako), belum lagi mendapat tempat yang sewajarnya dalam sejarah perjuangan tuntutan kemerdekaan.

Sumbangan berharga mereka harus diberi tempat yang terhormat dalam negara, bukan sekadar 'pejuang pinggiran' dalam dokumen rasmi kerajaan. Dalam pembentangan Bajet 2003 Dr Mahathir Mohamad ada menyentuh mengenai perihal anak-anak muda di negara ini.

Mengikut beliau, orang muda hari ini adalah anak-anak kelahiran selepas kemerdekaan, yang hanya tahu untuk melaungkan merdeka tetapi tidak memahami makna sebenar perkataan tersebut.

[ Last edited by mok_nik on 8-8-2004 at 07:01 PM ]
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2004 06:16 AM | Show all posts

NEGERI INI, ANAK (MARSLI N.O)

Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
       Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!     
       Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan. Rela memilih terbuang
dari berputih mata, kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia. Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama. Meski darah dan tulang jadi gantian. Kerana baginya:
                 negeri adalah tanah
                 adalah air,
                 adalah api,
                 adalah angin.
                 Adalah maruah,
                 adalah permai,
                 adalah berani,
                 adalah susila.
                 Adalah segala-galanya.
       Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan. Tanpa mengira
kulit atau warna, tampuk atau asal, percaya atau agama:
                 MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
       Di negeri ini anak, mari kita hidup tanpa curiga atau rasa
berbeza. Siapa di sini adalah warganya, kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah. Darahnya tetap merah.
       Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam. Mari kita
dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.

17 Jun - Julai 1988
Dari antologi:  Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989.
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2004 06:17 AM | Show all posts

UNTUKMU, ADUHAI NEGERIKU (OLEH MARSLI N.O)

Tidak pernah kulupakan namamu, aduhai negeriku
negeri yang pernah merentas seribu pahit peristiwa
dan akhirnya tegak menjadi perkasa
bersama mercu tanda serta wawasan pemimpinnya
megah setanding kini di tengah peta dunia
bergema suara mengacungkan sikap serta percaya
menjadi bukti bangsa merdeka, berdaulatnya negara

Aduhai negeri tumpah segala cinta dan setia warga
kalau dari kami kembali dipinta pengorbanan  
tanpa soal hati memberi penuh kerelaan  
kerana seperti kobaran api kau selalu marak di dalam kenang
dan nama demi nama para pahlawan yang terbilang  
meski bersemadi kini di tanah-tanah lindap bernama perkuburan  tetap kami sanjung dengan harum penghargaan
kerana budi dan jasa yang telah dicurahkan
kini mewariskan tanah gemilang
yang dimekarkan dengan harap serta kepercayaan  
berani dan yakin bangsa merdeka, berdaulatnya negara

Memang, kemerdekaan selalu menuntut pengorbanan  
dan kalau sesekali kembali terdengar hasut serta laungan  
tidak mudah hati kami memberikan percaya
terhadap segala bicara
betapa, manisnya di luar tetapi di dalam pekat bersalut tuba  
dan dari almanaknya, sejarah serta ribuan peristiwa
telah sejak lama mengajar kami menjadi warga lebih dewasa
betapa, leburnya sebuah negara tidak lain bila setia warganya
dicemar haloba dari hati bercabang para petualang

Tidak pernah kulupakan namamu, aduhai negeriku
negeri yang pernah merentas seribu pahit peristiwa
dan akhirnya tegak menjadi perkasa
Betapa, jutaan hari yang kami lewati bersama  semakin mengentalkan kasih cinta  dan kalau dari kami kembali dipinta pengorbanan tanpa soal hati memberi penuh kerelaan kerana kemerdekaan ini memang selalu menuntut pengorbanan meski keranamu nyawa terpaksa kami galang itulah tekad dan sumpah kami berikan

Untukmu, aduhai negeriku.

Mac 2000
Dari antologi: Aksara Merdeka, terbitan Gapeniaga Sdn Bhd, 2000
Reply

Use magic Report

Post time 10-8-2004 06:20 AM | Show all posts
Membaca Puisi Hari Kebangsaan

mengulang-ulangkan lafaz
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka

mengulang-ulangkan perarakan
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
gemilang di seluruh pelusuk rusuk negara

mengulang-ulangkan seruan
mengulang-ulangkan harapan
mengulang-ulangkan gambaran
merdekakan mereka yang tak merdeka
merdekakan mereka yang tak memerdekakan
merdekakan mereka yang tak memerdekakan kemerdekaan
mengenangkan mereka yang bangun memerdekakan

memerdekakan fikiran
memerdekakan harapan
memerdekakan gambaran
memerdekakan seruan
memerdekakan kuasa
memerdekakan hamba
memerdekakan kamukamu
memerdekakan akuaku
memerdekakan perpaduan
memerdekakan belenggu
memerdekakan pisau
memerdekakan sasau
memerdekakan diam

mengenangkan jasasasa mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan keringatdarah mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan taksiapasiapa mereka yang bangun memerdekakan
selepas membaca puisi hari kemerdekaan
selepas mendengar amanat tentang hari-hari kemerdekaan
selepas mencatat matlamat berkenaan sebuah kemerdekaan
dewan yang meruangkan suara
tinggal menyepi yang akan didatangi lagi
setiap tahun dan sekali
jalurjalur gemilang berkibar sendiri
lafaz merdeka tinggal di telinga hingga didengar
nanti tahun kemudiannya berulang diulangkan lagi
habis di sini!


-HASYUDA ABADI,
IPS, 23 Ogos 2001

[ Last edited by Tok_Batin on 10-8-2004 at 06:24 AM ]
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 10-8-2004 06:22 AM | Show all posts

Beberapa Hari Sebelum Menyambut Hari Kebangsaan

Terutama sekali para pengurus hari-hari kebesaran
beberapa hari sebelum menyambut hari kemerdekaan
tidur kurang lena, mandi tak terasa basah, makan kurang
merasa enaknya, ke hulu ke hilir, mesyuarat itu dan ini
kira budget itu dan ini, arah itu dan ini, minta itu dan ini
fikir itu dan ini, itu dan ini, itu dan ini

jalur gemilang harus sampai di padang merdeka
tepat pada masanya tapi hari itu masanya terlewat
para pengurus tak duduk betah, ke hulu ke hilir
tekan hp, bercakap itu dan ini, ke hulur ke hilir
mata liar memandang para pembesar yang kelihatan gelisah

beberapa hari sebelum menyambut hari kemerdekaan
drama tv tayangkan kisah para pejuang yang dilupakan
tidak yang telah diberikan bintang atau anugerah kebesaran
surat khabar siarkan citra pembangunan negara dan kemakmuran
rakyat kesan perjuangan para pejuang kemerdekaan
seminar-seminar diajukan mengumpul para veteran duduk
sebaris mencitrakan kenangan pengalaman
anak-anak muda disogokkan nasihat,semangat,motivasi,ajaran
membuka baju kemerdekaan mempamerkan segala lara dan sengsara
membersihkan tubuh negara dari penyakit penjajah

beberapa hari sebelum menyambut hari kemerdekaan
harus memberi pedoman mengapa perayaan disambut gemilang
ribuan orang mengambil bahagian dari seluruh rantau negara
datang ke ibu negara meminta tabik Duli Tuanku, Perdana Menteri
dan seluruh pemimpin tercinta
kemerdekaan disambut mencampur segala warna riadukasengaramakmur
kemerdekaan untuk rakyat mencampur segala harapan mengekalkan
kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara
kemerdekaan untuk para pemimpin mencampur segala impian menetapkan
keyakinan rakyat terhadap dasar kepimpinan mereka
kemerdekaan untuk negara dan bangsa ini mencampur segala keutuhan
bangsa yang bernaung di bawah kemerdekaannya

beberapa hari sebelum menyambut hari kemerdekaan
membuat persiapan ke ibu negara membawa sanak saudara
melihat perarakan raksasa meninggalkan desa dan kerja
menyaksikan persembahan hebat sepanjang jalan
sebelum mengakhiri episod yang menjelaskan kemerdekaan
pada sebuah negara di junjung
yang menempatkan segala impian dan harapan
yang menempatkan segala kejayaan atau keruntuhan
yang menempatkan gambaran abadi kemerdekaan...


-HASYUDA ABADI,
Sabah, Malaysia,
26 Ogos 2001.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 12-8-2004 01:01 PM | Show all posts
WARISAN

Bila TV3 kerap menayangkan klip lagu Warisan ini rasa semacam sahaja. Liriknya memanglah baik sekali, tidak seperti kebanyakkan lagu patriotik yang agak membosankan. Lagu ini meresap ke lubuk hati. Kadang teringat persoalan ini : "Adakah kita sekarang mewarisi dunia ini daripada datuk nenek kita atau kita sebenarnya meminjam dunia ini daripada anak cucu kita?" Dalam bahasa Inggerisnya, ditulis - Do we inherit this world from our ancestors or we borrow it from our grandchildren?

Jika kita meminjamnya dari anak cucu kita maknanya mungkin kita perlu menyediakan sebuah dunia atau negara yang baik untuk anak-anak membesar dan membiak. Sebuah negara yang aman tanpa pertelingkahan, punya jati diri. Kukuh bahasanya tidak diperkotak-katikkan oleh anasir asing yang mengancam setiap sudut. Bebas rasuah, masyarakatnya punya kualiti yang hebat. Mempunyai pegangan agama, kemiskinan sifar. Banyak lagi ...

Disini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Disini tersemai cita cita
Bercambah menjadi warisan

Andai ku terbuang tak diterima
Andai aku disingkirkan
Kemana harusku bawakan
Kemana harusku semaikan cinta ini

Betapa
Dibumi ini ku melangkah
Keutara selatan timur dan barat
Ku jejaki

Aku
Bukanlah seorang perwira
Gagah menjunjung senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Aku lah penyambung warisan

Sudirman
Lagu & Lirik : Syed Haron Ahmad



link Blog...http://azhan.blogspot.com/2004/0 ... yenyum-lukisan.html
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-8-2004 02:21 PM | Show all posts
Malaysia
Namamu gah dipersada dunia
menjadi sebutan anak bangsa
mekar wajahmu berseri sentiasa

Malaysia
kaulah laksana permata anak watan
memcungkil bakat menyerlah kewibawaan
mengasah minda menyuntik setiakawan

Malaysia
Namamu ku sanjung setiap masa
Perwira dan pertiwi pembela bangsa
menegak bendera negara tercinta
Reply

Use magic Report

Post time 16-8-2004 11:21 AM | Show all posts

BAHTERA MERDEKA

Bonda senyum riang
Menerima bahtera merdeka
Putera puteri sayang
Sedang berjuang

Fajar telah tiba
Nan menyinsing membawa harapan
Tanah semenanjung
Permata nilam

Jiwa dan raga
Buktikanlah pada nusa bangsa
Supaya negara
Maju jaya
Aman merdeka

Duhai ibu pertiwi
Putera puteri datang sujud bakti
Ingin menunaikan
Sumpah dan janji
Reply

Use magic Report

Post time 16-8-2004 11:42 AM | Show all posts

WARISAN

anak kecil main api

terbakar hatinya yang sepi

air mata darah bercampur keringat

bumi dipijak milik orang


nenek moyang kaya raya

tergadai seluruh harta benda

akibat sengketa sesamalah kita

cinta lenyap diarus zaman


indahnya bumi kita ini

warisan berkurun lamanya

hasil mengalir ke tangan yang lain

pribumi merintih sendiri


masa depan sungguh kelam

kan lenyap peristiwa semalam

tertutup lah hati terkunci mati

maruah peribadi dah hilang


kini kita cuma tinggal kuasa

yang akan menentukan bangsa

bersatulah hati bersama berbakti pulih kembali harga diri


kita sudah tiada masa

majulah dengan maha perkasa

janganlah terlalai teruskan usaha

melayukan gagah di nusantara
Reply

Use magic Report

Post time 20-8-2004 05:19 PM | Show all posts
Siapa-siapa nak hantar SMS hari Kemerdekaan:

http://www.bernama.com/events/merdeka04/listsms.php

Check this out from The star

http://203.115.194.76/starcomm/merdeka_w.asp

Gambar2 Hari Kebangsaan 2003

http://www.bernama.com/events/merdeka03/bm/photo.shtml

Gambar2 Hari Kebangsaan 2002

http://foto.bernama.com/foto/merdeka/photo02.asp
Reply

Use magic Report

Post time 20-8-2004 05:22 PM | Show all posts

Lagi Ringkasan (Bahasa Lebih Mudah...)

Menuju Kemerdekaan

Rakyat Malaysia amat istimewa jika dibandingkan dengan rakyat negara-negara lain; kerana perjuangan mereka ke arah kemerdekaan telah berjaya dilakukan tanpa pertumpahan darah, kemusnahan harta benda atau melibatkan sebarang revolusi mahupun pemberontakan bersenjata. Kemerdekaan Tanah Melayu telah dicapai kerana wujudnya suatu faktor yang tiada pada negara-negara lain di dunia ini - kebersatuan yang kukuh di antara pelbagai kelompok etnik yang menganuti pelbagai budaya, kepercayaan dan agama.

Kebersatuan, kesepakatan dan keharmonian yang wujud ini telah menjadi benteng kekuatan dan asas bagi Parti Perikatan untuk meneruskan perbincangan dengan kerajaan British bagi mendapatkan kemerdekaan.

Kerjasama yang kukuh di antara kaum telah menjadi asas perjuangan kemerdekaan kerana masyarakat dunia, malah rakyat Tanah Melayu sendiri pada waktu itu tidak yakin negara ini boleh kekal aman dengan struktur masyarakat yang sebegini majmuk.

Andaian ini dibuat memandangkan pergolakan dunia ketika itu yang gagal menyelesaikan permasalahan etnik negara masing-masing. Rata-rata para pemerhati berpendapat bahawa jika dunia tidak dapat menangani masalah ini, mustahil Tanah Melayu dapat melakukannya.


Menempuh Ranjau

Semangat nasionalis sememangnya telah wujud di Tanah Melayu sejak abad kesembilan belas, dan menjelang abad kedua puluh lebih ramai pejuang-pejuang kemerdekaan muncul di seluruh tanah air. Semangat kebangsaan ini sedikit demi sedikit menular ke segenap pelosok Tanah Melayu.

Setahun selepas Jepun menyerah kalah pada akhir Perang Dunia Kedua, lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malays National Organisation (UMNO), yang dipimpin oleh Dato' Onn bin Jaafar.

Penubuhan UMNO adalah hasil perpaduan bangsa Melayu - rakyat bersama raja - kerana menentang rancangan Malayan Union yang direncanakan oleh kerajaan British. Pelaksanaan Malayan Union akan menghapuskan segala tradisi (sistem politik, pentadbiran dan adat resam) serta sistem kerajaan semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada 1951, tampuk pimpinan UMNO diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman Putra.

Perlu juga disebut bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bukanlah perjuangan orang-orang Melayu semata-mata. Tanah Melayu ketika itu sudah menjadi kediaman pelbagai kelompok masyarakat yang berbilang kaum dan agama. Walaupun orang-orang Melayu menguasai kepimpinan politik, pemimpin-pemimpin Melayu ini sedar akan struktur masyarakat Tanah Melayu yang ibarat aur dengan tebing. Mereka sedar, perjuangan kemerdekaan tanpa penyertaan kaum-kaum lain tidak akan berhasil. Mereka dapat melihat bahawa dalam jangka panjang, Tanah Melayu mesti ditadbir oleh warga sendiri, di bawah satu payung politik yang teguh dan kukuh.

Jelaslah bahawa perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu merupakan perjuangan semua rakyat Tanah Melayu yang berbilang kaum.


Merisik Khabar

Pada Januari 1956, Tunku Abdul Rahman mengetuai satu rombongan mengandungi empat wakil dari Parti Perikatan dan empat wakil dari Majlis Raja-Raja bertolak ke London, untuk membincangkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas tiga minggu mengadakan rundingan, pada 8 Februari Tunku menandatangani Perjanjian Kemerdekaan London. Kerajaan British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos tahun berikutnya.

Sekembalinya Tunku dan rombongannya dari London, berita gembira itu telah disampaikan kepada orang ramai pada satu perhimpunan di Padang Merdeka, Bandar Hilir Melaka - bandar yang telah menyaksikan banyak penjajah datang dan pergi. Berita ini telah disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua penduduk Tanah Melayu.


Menuai Mimpi

Pada detik 12 malam 31 Ogos 1957, perjuangan menuntut kemerdekaan akhirnya membuahkan hasil, dan impian akhirnya menjadi kenyataan. Di Padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka), bendera Union Jack diturunkan buat kali terakhir di bumi Tanah Melayu dan bendera Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh rasa syukur dan bangga.

Pada esok harinya, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dengan disaksikan beribu-ribu warganegara, Raja-Raja Melayu, Duke of Gloucester (mewakili Ratu Elizabeth) serta wakil-wakil kerajaan British. Ini adalah satu detik yang sangat penting dalam sejarah tanahair - akhirnya penjajahan yang telah bertapak sejak tahun 1511 telah dapat dihapuskan.

http://www.bernama.com/events/merdeka03/bm/history.shtml
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-8-2004 02:14 PM | Show all posts
[Merdeka Special] - Jalur Gemilang


JALUR GEMILANG
The government of former Prime Minister Tun Dr. Mahathir Mohamad has introduced many changes into the economic, political and social systems of Malaysia. On the 40th anniversary of the country's independence, 31 August 1997, provision was made for an official name for the national flag. The version chosen, Jalur Gemilang, combines a Malay word meaning stripes or range of values with the adjective "gemilang" signifying glorious. No change was introduced in the design of the flag.


PRE-COLONIAL ERA - East India Company



The very construction of the Malaysian flag, with its much larger blue canton is virtually a denial of US influence. Whether the red-and-white stripes in the Malaysian flag can be derived from the East India Company is a moot point, but the popularity of red and white in the East Indies (Malaysia and Indonesia, the Indonesian jack) predates any influence on the part of either Britain or the United States. Red and white are part of the traditional colours of the Malagasy people, too, remember

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 25-8-2004 11:04 AM | Show all posts
a tribute to Jalur Gemilang...

[Jalur Gemilang ] [ Sejarah Bendera Malaysia ] [ Maksud Bendera ] [ Ukuran Bendera ] [ Cara Mengibarkan Bendera ] [ Cara Menghormati Bendera ] [ Gambarajah Bendera ] [ Link http://www.geocities.com/CollegePark/Lab/7966/]

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-8-2004 08:41 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 26-8-2004 03:27 PM | Show all posts
Merdekakah Kita Dengan Wajar Yang Ada        

merdekakah kita
kalau wajar yang kita laungkan
sekadar mewajarkan segala tindakan kita sendiri
meluangkan lagi renggang yang kita dan anuti


merdekakah namanya
jika hanya hak dan saksama yang diperjuangkan
diniatkan untuk memartabatkan orang
yang letak hidupnya lazim dengan segala hak dan saksama
sehingga kita lupa membeza
antara batil dan kebenaran
antara merdeka dan kemerdekaan

wajarkah raung merdeka ini kita lafazkan
sekiranya merdeka dinilai dengan pasang surut sokongan dan tempik gempita
juta berjuta jiwa dan dinar semata
sehingga kita lupa
apa yang pernah disaksi mata juta-berjuta jiwa tentang sokongan
seorang dua hamba
yang comot di kausnya
menopang dagu mendengar
amanat para nasionalis
serta pariwara tunjang politik negara

wajarkah merdeka ini kita laungkan merdeka
jika diri kita masih terpenjara
sedang kita terlalu erat dengan segala eratnya
dakap sebuah penjara

dan, dalam tiup nafiri merdeka ini
merdekakah kita dengan wajar yang ada

sumber: Laman Web Pemuda UMNO
Reply

Use magic Report

Post time 27-8-2004 07:38 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

Post time 27-8-2004 09:28 AM | Show all posts
lakaran yang bermakna..........




Reply

Use magic Report

Post time 28-8-2004 10:29 AM | Show all posts
jom pakat buat bendera.........bendera terpanjang...nanti boleh jadi rekod

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 04:28 PM GMT+8 , Processed in 0.089281 second(s), 47 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list