CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: yipun78

BERITA AKHBAR MENGENAI ATM & PDRM

[Copy link]
Post time 25-3-2012 09:57 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-11-2013 05:12 PM | Show all posts
Bekas pelatih PLKN digalakkan sertai pasukan keselamatan negara


Mohd. Shazmie Ramlee Charlene Lim ABDUL Hadi Awang Kechil bermesra dengan sebahagian pelatih Program Latihan Khidmat Negara di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/RUSHDI SALLEH

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah menamatkan latihan masing-masing digalakkan menyertai pasukan keselamatan secara sukarela sejajar dengan objektif program itu melahirkan remaja patriotik dan mempunyai semangat kesukarelaan terhadap negara.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, objektif itu selaras dengan Akta Khidmat Negara 1952 bertujuan melahirkan masyarakat yang boleh berkhidmat secara sukarela dalam tiga pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurut beliau, pelatih PLKN didedahkan dengan tiga kerjaya itu semasa mengikuti latihan malah terdapat segelintir mereka sudah mengisi borang untuk menyertai cabang pertahanan negara tersebut.

"Sehubungan itu, kita telah bekerjasama dengan Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang berminat menyertai askar wataniah selepas tamat latihan supaya meneruskannya dan tidak terhenti separuh jalan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan pulang sebanyak 804 orang pelatih di Padang JLKN, Bangunan Zetro, di sini hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden kematian seorang pelatih PLKN di Kem Pinggiran Pelangi di Muadzam Shah, Rompin baru-baru ini, Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik dalam mendidik pelatih-pelatih PLKN.

Menurut beliau, perkara itu di luar kawalan pihaknya memandangkan program tersebut disertai pelatih yang datang daripada pelbagai latar belakang.

"Jangan hanya mencari kesilapan kami, tetapi bersama-samalah kita bekerjasama untuk mendidik anak-anak muda ini dengan lebih baik supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya.

Sementara itu, pelatih, Mohd. Shazmie Ramlee, 18, berkata, nilai patriotik yang dipupuk melalui empat teras modul sepanjang menyertai PLKN melatihnya supaya sentiasa cintakan negara.

"Saya akan cuba untuk menerapkan segala yang dipelajari di kem ini selama tiga bulan dalam kehidupan seharian dan terus berusaha memajukan diri supaya dapat berbakti kepada masyarakat dan negara kelak," katanya.

Rakannya, Charlene Lim, 18, dari Sabah pula berkata, dia tidak sabar pulang bertemu keluarga namun dalam masa sama berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakannya di Semenanjung.

"Sepanjang tempoh latihan ini kami banyak berkongsi kenangan suka dan duka bersama walaupun berbeza kaum dan agama," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... -keselamatan-negara
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:15 PM | Show all posts
Kementerian Pertahanan akan perkasa ekonomi veteran tentera


HISHAMMUDDIN Tun Hussein (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (tengah) sambil diperhatikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kanan) ketika hadir ke pusat penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau di Yan, Kedah, semalam.

JERAI 23 Okt. - Kementerian Pertahanan sedang menyusun program untuk memberikan penekanan kepada usaha memperkasakan ekonomi golongan veteran tentera.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah tersebut sejajar dengan pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan ketujuh (NBOS-7) yang diperkenalkan kementerian di bawah Program Pengiktirafan Pengiktirafan Veteran 1Malaysia.

"Saya telah mendengar banyak permintaan dan rayuan daripada para veteran berhubung soal kebajikan mereka baik yang berpencen mahupun tidak berpencen termasuk Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM).

"Antara yang selalu dibangkitkan adalah berkaitan pemberian pencen seimbang, bantuan khas tentera cedera, bantuan veteran warga emas tidak berpencen, pemberian rumah atau tanah oleh kerajaan negeri dan memperkasakan ekonomi.

"Namun, kementerian berpendapat kita perlu fikirkan sesuatu di luar kotak yang mana soal ekonomi perlu diberikan penekanan," katanya ketika berucap di hadapan lebih 50 veteran tentera di Kampung Sungai Bujur, Sungai Limau Dalam di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada salah seorang veteran tentera tidak berpencen, Shahbudin Teh.

Hishammuddin berkata, kementerian juga akan meminta kerjasama daripada sektor industri untuk meningkatkan penyertaan golongan veteran tentera dalam sektor yang menguntungkan.

"Selain itu, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) turut ditubuhkan bagi melaksanakan program khusus bantuan keusahawanan veteran tentera.

"Pada tahun ini, sebanyak RM10 juta diperuntukkan. Namun, sehingga September lalu, hanya sebahagian peruntukan digunakan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa veteran tentera yang berminat agar mengambil manfaat daripada program tersebut untuk menceburi perniagaan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Hishammuddin memberitahu, pihaknya telah meminta persatuan bekas tentera dan veteran tentera mengumpul data untuk disalurkan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

"Buat masa ini, kita menghadapi masalah kerana data-data dari segi keahlian persatuan tidak lengkap. Justeru, kita sedang berusaha mengumpulnya yang meliputi golongan bekas tentera berpencen dan tidak berpencen," katanya.

Sehingga ini, jumlah bekas tentera yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) adalah seramai 326,763 orang.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... omi-veteran-tentera
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:16 PM | Show all posts
Intipan Ke Atas Malaysia Boleh Jejas Hubungan – Hishammuddin



Kegiatan pengintipan ke atas Malaysia oleh negara sahabat adalah perkara yang serius, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, ini kerana tindakan itu boleh menyebabkan hubungan sebelum ini, yang bersandarkan kejujuran dan keikhlasan, menjadi tegang.

“Saya percaya kalau ia tidak dapat diperjelaskan dengan sepenuhnya, mungkinhubungan kita yang telah dibina selama ini tegang. Sebab itu, apa yang dikatakan intipan itu perlu kita dapat penjelasan terperinci setakat mana ia wujud dan untuk apa,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Deepavali Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia R.Vidyanathan, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kahang, di Taman Sri Lambak di Kluang, Ahad.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, ketegangan boleh dielak sekiranya negara sahabat terbabit berpegang kepada kejujuran dan keikhlasan dalam hubungan mereka dengan Malaysia.

Isu pengintipan timbul berikutan laporan akhbar berhubung dakwaan pemberi maklumat perisikan, Edward Joseph Snowden, yang mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) mempunyai 90 kemudahan pengawasan elektronik di seluruh dunia termasuk kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Justeru, Hishammuddin berkata beliau inginkan penjelasan yang mendalam berhubung perkara itu kerana kegiatan intipan boleh menjejas keselamatan dan kepentingan negara.

Sementara itu, Duta AS di Malaysia, Joseph Y.Yun dilapor sudah memberi penjelasan berhubung dakwaan pengintipan kepada Wisma Putra.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Yun menyatakan semua kegiatanpengawasan yang dijalankan AS di seluruh dunia adalah bagi tujuan keselamatan, khususnya mengenal pasti kewujudan ancaman seperti keganasan dan senjata pemusnah besar-besaran.

Diminta mengulas lawatan beliau ke China bulan lepas, Hishammuddin berkata, langkah itu telah memulakan asas kepada hubungan kerjasama dalam bidang pertahanan, terutama melalui latihan bersama, pertukaran pegawai tentera laut dan ketenteraan, usaha memerangi keganasan dan jenayah transnasional.

- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:18 PM | Show all posts
Kesangsian Kuala Lumpur terhadap aktiviti pengintipan

Oleh Azmi Hassan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi isyarat yang begitu jelas mengenai pendirian Malaysia terhadap kegiatan pengintipan yang disyaki berpunca dari pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur.

Sehubungan dengan pendedahan berkenaan, Wisma Putra telah menghantar nota bantahan berhubung dakwaan tersebut bagi mendapat penjelasan sebenar.

Beberapa minggu sebelum ini heboh mengenai pendedahan yang dibuat oleh Edward Snowden iaitu bekas pekerja Agensi Keselamatan Kebangsaan AS (NSA) mengenai kegiatan pengintipan AS dan United Kingdom (UK) yang dilakukan terhadap negara Eropah lain seperti Jerman, Perancis dan Sepanyol.

Paling mengejutkan dalam pendedahan itu adalah bagaimana AS dan UK telah bekerjasama untuk mengintip perbualan telefon Canselor Jerman Angela Merkel walaupun Jerman, AS dan UK dianggap sebagai sekutu kuat di rantau Eropah. Malah lebih mengejutkan intipan telefon Merkel telah pun bermula sejak tahun 2002 lagi.

Jika pendedahan awal Snowden lebih tertumpu kepada kegiatan pengintipan NSA terhadap rakyat AS itu sendiri, tetapi kini proses pendedahan mula memberi perhatian kepada negara yang dianggap sebagai sekutu AS. Bermula dengan Eropah sehinggalah kepada pendedahan aktiviti pengintipan di beberapa negara Asia, tahap pendedahan tersebut dilakukan supaya mendapat kesan yang paling maksimum.

Pendedahan aktiviti pengintipan di Asia telah diserahkan kepada dua sumber media utama iaitu majalah Der Spiegel dari Jerman dan akhbar dari Australia iaitu Sydney Morning Herald (SMH). Kedua-dua media ini dipilih besar kemungkinan kerana maklumat terbaru yang didedahkan turut melibatkan kedua-dua benua Eropah dan juga Asia.

Program pengintipan yang dinamakan STATEROOM bukan sahaja melibatkan dua negara dalang utama iaitu AS dan UK tetapi juga Australia, Kanada dan New Zealand. Kelima-lima negara ini mempunyai pakatan pengintipan yang dikenali sebagai Five Eyes yang pada asasnya setiap maklumat risikan yang diperolehi di kongsi secara bersama.

Der Spiegel dan SMH telah mendedahkan operasi pengintipan STATEROOM telah melibatkan pejabat kedutaan kelima-lima negara Five Eyes di sebanyak 80 negara termasuk Eropah dan Asia. Di antara pejabat kedutaan Asia yang terlibat termasuklah Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Hanoi, Beijing dan Port Moresby. Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur umpamanya dikatakan terlibat secara langsung dalam aktiviti pengintipan dan berkongsi maklumat dengan AS. Lazimnya kumpulan yang menjalankan aktiviti pengintipan ini melakukan secara rahsia dan tidak diketahui oleh kakitangan lain kerana ia hanya melibatkan kumpulan yang kecil.

Pakatan Five Eyes wujud selepas tamat Perang Dunia II dan begitu aktif ketika era perang dingin yang membabitkan Soviet Union pada ketika itu. Setelah tamat perang dingin pakatan tersebut kembali aktif selepas serangan pengganas ke atas AS pada 11 September 2001 dengan menggunakan dalil mengekang aktiviti keganasan melalui pengintipan.

Tetapi timbul kesangsian mengenai niat sebenar aktiviti pengintipan Five Eyes kerana pejabat kedutaan mereka di Manila, Singapura dan Tokyo langsung tidak terlibat kerana ketiga-tiga ibu kota tersebut juga dianggap sebagai lokasi kritikal jika dikaitkan dengan aktiviti keganasan.

“Soalnya sekarang, sejauh mana kebenaran dakwaan pengintipan yang dilakukan terhadap kerajaan Malaysia itu atau dalam usaha mereka mengumpul maklumat tentang ancaman kepada keselamatan mereka yang melibatkan soal keganasan, senjata pemusnah besar-besaran, jenayah merentas sempadan dan sebagainya," adalah isyarat jelas dari Perdana Menteri Malaysia yang di tujukan kepada AS dan Australia.

Tetapi jika diambil pengajaran daripada maklumat yang didedahkan oleh akhbar The Guardian dari UK, maka kesangsian yang disuarakan oleh Najib mempunyai kekuatan yang tersendiri. Ketika persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai perubahan iklim di Bali pada 2007, agensi perisikan Australia iaitu Direktorat Isyarat Pertahanan (DSD) telah bekerjasama dengan NSA untuk mengintip perbualan telefon terutama sekali yang melibatkan pegawai keselamatan Indonesia.

Timbul persoalan apakah aktiviti pengintipan yang dijalankan di pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur turut melibatkan perbualan telefon pemimpin tertinggi Malaysia kerana setakat ini maklumat Snowden yang didedahkan cuma mensabitkan secara khusus Canselor Jerman Merkel sahaja.

Tetapi perlu ditekankan Der Spiegel dan SMH turut mendedahkan sebanyak 35 pemimpin di Eropah dan Asia dimana perbualan telefon mereka diintip oleh negara Five Eyes tersebut. Bukan satu perkara yang mustahil jika perbualan telefon Perdana Menteri Malaysia turut diintip kerana beberapa isu penting seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dan kemelut pemerdagangan orang turut melibatkan Kuala Lumpur, Washington dan Canberra.

Memang benar bukan satu perkara yang asing bagi sesebuah negara melaksanakan aktiviti perisikan di pejabat kedutaan atau suruhanjaya tinggi masing-masing dan aktiviti sebegini dianggap sinonim dengan kerjaya seorang diplomatik.

Tetapi apabila aktiviti perisikan negara Five Eyes ini diambil kira, lebih-lebih lagi dengan kelebihan teknologi milik AS maka aktiviti perisikan negara yang dilaksanakan oleh negara selain dari pakatan Five Eyes dianggap begitu kerdil sekali. Sebab itulah diandaikan kesan terhadap aktiviti perisikan pakatan tersebut adalah begitu besar sekali bukan sahaja kerana perbezaan teknologi yang ketara tetapi juga kerana aktiviti tersebut disabitkan kepada perkara yang tiada kena mengena dengan aktiviti mengekang keganasan.

Jika hubungan Washington-Islamabad menjadi keruh gara-gara serangan kapal terbang tanpa pemandu (UAV) AS maka bukan satu perkara mustahil hubungan diplomatik Washington-Canberra dengan beberapa negara Asia juga bakal menempuh nasib yang serupa.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... ktiviti-pengintipan

Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:21 PM | Show all posts
ATM sedar kegiatan risikan AS

Oleh SYUKRI SHAARI


Zulkifeli Mohd. Zin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Lt. Kol (B) Syed Othman Syed Omar yang ditemani isterinya, Habibah Nordin yang merupakan sebahagian daripada 65 orang anggota dan pesara yang cedera dalam satu majlis bersempena sambutan ulang tahun ke-80 ATM di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedar mengenai kegiatan 'risikan' oleh Amerika Syarikat (AS) menerusi beberapa kedutaan di Malaysia tetapi masih mengkaji setakat mana perbuatan itu membabitkan maklumat pertahanan negara ini.

Panglimanya, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, ATM peka mengenai perkara itu dan sentiasa meningkatkan tahap keselamatan maklumat pertahanan negara daripada bocor kepada pihak asing.

"Duta-duta negara luar yang dilantik bertugas di negara kita memang ditugaskan mengumpul maklumat. Tetapi maklumat yang bagaimana? Biasanya membabitkan ekonomi, dasar-dasar kerajaan, adakah ini dipanggil risikan?

"Perlu diperjelaskan data apa yang dipintas oleh AS. Walau bagaimanapun, saya ingin tegaskan bahawa ATM sentiasa peka dengan perkembangan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis meraikan anggota cedera ATM peringkat pusat bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80 angkatan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Bantuan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Che Akmar Mohd. Nor.

Baru-baru ini, bekas ejen Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) Edward Snowden mendakwa AS menggunakan kedutaan Australia, Britain dan Kanada untuk memintas panggilan dan data beberapa negara Asia termasuk China, Indonesia dan Malaysia.

Dalam pada itu, bagi membendung masalah kebocoran maklumat, Zulkifeli memberitahu, ATM mempunyai unit khas yang ditugas untuk memastikan keselamatan maklumat berhubung pertahanan negara sentiasa terjamin khususnya daripada negara asing.

Katanya, inisiatif itu melibatkan unit semboyan yang sentiasa memantau dan menentukan penyaluran maklumat hanya kepada pihak-pihak yang berhak.

"Kita memandang serius perkara ini, sebab itu tugas-tugas menyimpan dan menyalur maklumat ini diberikan kepada sebuah unit khas bagi memastikan tahap keselamatannya terjamin. Bukan itu sahaja, maklumat-maklumat di alam siber juga dijamin keselamatannya daripada penggodam," jelas beliau..

Mengulas tentang majlis penyampaian sumbangan kepada anggota cedera, Zulkifeli memberitahu, sebanyak 65 orang menerima sumbangan berjumlah RM500 setiap seorang.

"Sumbangan ini sebagai tanda ingatan ATM dan kerajaan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh anggota-anggota ini supaya kedaulatan negara terpelihara," ujar beliau.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... kegiatan-risikan-AS
Reply

Use magic Report

Follow Us
Post time 10-11-2013 05:27 PM | Show all posts
Seragam baharu tarik perhatian

Oleh SOFIAN BAHAROM

DATARAN Merdeka baru-baru ini dimeriahkan dengan peragaan pelbagai aset milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Antara yang mencuri tumpuan ialah penyertaan kereta kebal Pendekar, Scorpion, Condor Twin GPMG, Astros unit pelancar berganda, kereta perisai berantai ACV dan AFSV 8x8 yang merupakan aset tempur terbaharu angkatan itu.

Namun begitu, satu lagi tarikan yang berbaloi untuk dilihat pada Perarakan Raksasa Hari ATM ke-80 tersebut ialah perubahan signifikan ke atas ketumbukan tersebut iaitu penggunaan loreng digital.

Pada sambutan tersebut, dapat dilihat kenderaan peninjau tentera, Ferret Scout Car menggunakan teknologi loreng baharu itu selain peserta-peserta perbarisan.

Perubahan tersebut sebenarnya selaras dengan peredaran masa yang menyaksikan banyak angkatan tentera serata dunia turut sama menggunakan corak pixel berkenaan.

Corak tersebut dicipta untuk menjadikan pemakainya lebih terlindung pada pandangan mata kerana coraknya lebih kecil dan samar-samar.

Negara yang pertama menggunakan corak loreng tersebut adalah Kanada dengan corak dikenali sebagai Canadian Disruptive Pattern (Cadpat).

Corak berkenaan selepas itu, terus mendapat sambutan daripada negara-negara lain apabila secara berperingkat, negara-negara tersebut melakukan transisi kepada loreng digital.

Corak loreng digital sebenarnya merupakan kesinambungan penggunaan corak loreng daripada jenis Flecktarn atau corak jenis titik-titik kecil (Fleck:titik, Tarnug:loreng).

Corak tersebut adalah corak-corak kecil yang digabungkan bersama dan membentuk corak loreng.

Corak digital itu berbeza dengan loreng yang digunakan sebelum ini yang dikenali sebagai Disruted Pattern Material (DPM).

Penggunaan DPM dimulakan oleh komando dan pasukan payung terjun British dikenali sebagai 'Demison Smock'.

Selepas sedikit perubahan terhadap corak tersebut, corak DPM mula diperkenalkan oleh British pada 1960-an dan kemudiannya diikuti oleh lain-lain negara untuk dijadikan sebagai keperluan pakaian tempur.

Namun loreng digital yang akan digunakan secara menyeluruh oleh ATM itu akan membawa permulaan baharu dalam menyediakan ketumbukan pertahanan untuk masa depan.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan Dimensi Keempat ATM (4D MAF), penggunaan loreng digital memberi nafas segar kepada tugas-tugas mempertahankan negara.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika dihubungi Gaya Tentera berkata, loreng digital akan diperkenalkan kepada semua unit tentera secara berperingkat,

Kata beliau, Tentera Darat (TD) akan menggunakan loreng tersebut secara keseluruhannya manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini masih mengkaji keberkesanan loreng itu berdasarkan fungsi hakiki unit masing-masing.

"Mungkin tidak lama lagi, loreng digital ini akan turut dipakai oleh unit-unit yang sesuai dalam TUDM dan TLDM. Buat masa sekarang hanya elemen dalam TD yang memakainya," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... aru-tarik-perhatian
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:37 PM | Show all posts
Wisma Putra panggil Kedutaan AS, Australia

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Wisma Putra telah memanggil pihak Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan kegiatan pengintipan yang dilakukan di negara ini.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut diambil mengikut prinsip diplomasi yang digunapakai oleh mana-mana negara dalam hubungan bilateral.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, Malaysia tetap membantah dan mendesak kedua-dua negara itu menghentikan serta-merta kegiatan pengintipan sekiranya benar berlaku.

''Kita sudah pun panggil, namun mereka tidak memberi sebarang maklum balas sehingga kini. Selepas ini ada beberapa perkara susulan yang akan dibuat bagi menentukan perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

''Kita yakin isu ini tidak akan menyebabkan hubungan antara negara akan terjejas kerana kita sedang menunggu keputusan daripada penjelasan itu sehingga kita berpuas hati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Gerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana melibatkan soal kedaulatan negara.

Najib berkata, Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, berhubung dakwaan pengintipan dilakukan menerusi laporan akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald.

Hamzah berkata, sekiranya dakwaan pengintipan itu berasas, kedua-dua negara tersebut secara jelas telah melanggar prinsip hak asasi manusia yang mereka sendiri perjuangkan.

Dalam konteks itu, katanya, adalah tidak adil jika ada pihak menganggap kegiatan pengintipan tersebut berlaku disebabkan kelemahan negara.

''Ini bukan satu kelemahan negara, tetapi kelemahan penerimaan prinsip hak asasi manusia yang diperjuangkan sendiri oleh AS.

''AS sepatutnya melihat perkara ini sebagai kelemahan minda mereka dari segi pertahanan negara iaitu bukan cara mengintip negara luar, tetapi mereka perlu melihat negara-negara lain sebagai rakan yang boleh bantu-membantu supaya konsep hak asasi manusia dapat diterima dalam dunia hari ini," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... dutaan-AS-Australia
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-11-2013 05:39 PM | Show all posts
ATM Kaji Keperluan Aset Pertahanan Secara Menyeluruh

KOTA TINGGI, 30 Okt (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia kini dalam proses menilai semula keseluruhan aset pertahanan negara melibatkan pelbagai cabang perkhidmatan dalam usaha untuk memantap dan memperkukuh sistem pertahanan negara.

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata tragedi pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh pengganas Kiram pada Februari lalu memerlukan pertahanan negara diperkukuhkan lagi dengan menambah aset pertahanan negara walaupun ia dijangka akan mengambil masa.

"Kita tidak boleh membiarkan apa yang berlaku di Lahad Datu berlaku lagi, jadi dengan keupayaan yang ada, kemampuan yang ada, dan peralatan yang kita ada, kita tidak boleh pandang ke belakang.

"Bahkan kita kena beri yang terbaik dan itu janji kita kepada kerajaan dan rakyat seperti kata pepatah, biar sehingga patah sayap bertongkat paruh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Eksesais Panah Jaguh Siri 1/2013 yang diadakan di Lapang Sasar Bumi Ke Udara Tentera Darat di Tanjung Logok, Mukim Kembau di sini Rabu.

Eksesais itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Ismail Ahmad dan Pemangku Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara, Kolonel Zulkarnain Abu Bakar.

Sebagai seorang panglima, kata Raja Mohamed Affandi, memang menjadi harapannya untuk menambah aset pertahanan sedia ada, namun beliau akur dengan keutamaan-keutamaan lain yang perlu diberi perhatian dengan mengambil kira perkembangan semasa termasuk dalam soal menangani ancaman pencerobohan.

Sementara itu, katanya, Eksesais Panah Jaguh Siri I/2013 itu merupakan acara dwitahunan yang diadakan untuk memperkemas dan memantapkan anggota Rejimen Artileri Pertahanan Udara dalam mengendalikan aset-aset senjata pertahanan udara negara.

"Eksesais ini melibatkan semua aset pertahanan udara yang ada dalam inventori tentera darat dan ini secara langsung menggambarkan pasukan ini mempunyai pelbagai peralatan berbeza untuk tugas yang berbeza," katanya.

Lebih 100 pegawai dan 600 anggota dari Rejimen Alteri Pertahanan Udara dan penuntut Pusat Latihan Artileri terlibat dalam eksesais 12 hari bermula 22 Okt lepas sehingga 2 Nov ini.

Antara aset persenjataan yang digunakan ialah Misil Jernas yang mempunyai keupayaan menembak sasaran sehingga lapan kilometer selain misil pelancar FN-6, Igla dan Misil Anza Mk II.

Selain itu turut digunakan radar pengawasan dan pertahanan iaitu Radar Giraffe dan Radar Skyguard.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:50 PM | Show all posts
Ketua Pertahanan Lima Negara Berkumpul Di Singapura

SINGAPURA, 7 Nov (Bernama) -- Panglima tentera Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) berkumpul di sini sempena Persidangan Ketua-ketua Pertahanan FPDA (FDCC) Ke-15 yang berlangsung selama tiga hari sejak Rabu.

Selain membuat penegasan semula mengenai komitmen mereka terhadap FPDA dan mengiktiraf peranannya dalam mempertingkat kawalan keselamatan dan kestabilan serantau, panglima tentera terbabit juga akan membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama dan latihan ketenteraan.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Panglima Tentera Singapura Lt Jen Ng Chee Meng dan dihadiri oleh negara anggota FPDA yang lain iaitu Malaysia yang diwakili oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Australia (Jen David Hurley), New Zealand (Lt Jen Rhys Jones) dan United Kingdom (Jen Sir Nicholas Houghton).

Mereka turut dijadual menghadiri perasmian Eksesais Bersama Lima di Pangkalan Udara Butterworth di Pulau Pinang pada Jumaat ini.

Eksesais yang akan berlangsung sehingga 21 Nov itu melibatkan aset-aset pertahanan dari negara-negara anggota FPDA.

FDCC yang dianjur secara bergilir oleh Singapura dan Malaysia merupakan forum ketenteraan yang membolehkan negara anggota FPDA saling bertukar pandangan dan berdialog.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 05:54 PM | Show all posts
Malaysia Akan Adakan Eksesais Pertama Dengan China Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Malaysia dan China akan mengadakan eksesais bersama buat pertama kalinya pada tahun depan sejak Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung kerjasama pertahanan ditandatangani pada 2005.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang dalam lawatan kerja sulungnya ke Beijing selepas memegang jawatan itu Mei lalu, berkata Malaysia bercadang mengadakan eksesais antara perkhidmatan dengan China melibatkan disiplin darat, laut dan udara.

Beliau berkata eksesais itu adalah antara persetujuan dicapai semasa pertemuan beliau dengan Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan pada Selasa, demi meningkatkan kerjasama strategik yang lebih komprehensif.

"Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk merapatkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan terutamanya melalui eksesais bersama, pertukaran pegawai-pegawai tentera laut dan ketenteraan (lain), penubuhan kerjasama dalam bidang industri pertahanan, usaha-usaha memerangi keganasan, dan jenayah transnasional," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan.

Kenyataan beliau dikirim dari Beijing kepada Bernama di sini.

Lawatan Hishammuddin itu untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara kedua-dua negara selain menyusuli lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 3 hingga 5 Okt lalu.

Malaysia mempunyai hubungan rasmi pertahanan dengan China sejak 2005 dan hubungan itu adalah baik tetapi terhad kepada pertukaran lawatan dan pendidikan.

Lawatan itu juga menjadi mercu tanda kepada ulang tahun ke-40 Persahabatan Malaysia-China yang akan disambut pada tahun depan, kata Hishammuddin.

Beliau turut mengundang Jeneral Chang untuk melawat Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah bagi sama-sama melancarkan penubuhan 'hubungan terus' antara Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dengan Pemerintah Armada Laut Selatan China.

Hishammuddin turut menemui beberapa pemimpin tertinggi lain China termasuk Timbalan Pengerusi 1 Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Fan Changlong.

Hishammuddin turut dibawa melawat ibu pejabat Pemerintah Armada Laut Selatan China yang terletak di Zhanjiang dan melawat Wilayah Ketenteraan Guangzhou, yang merupakan salah satu daripada tujuh wilayah pentadbiran ketenteraan di China.

"Dengan lawatan ini, hubungan pertahanan Malaysia-China diharap dapat diperkembang ke bidang-bidang lain dan mengukuhkan interaksi antara kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, Atase Pertahanan Malaysia di Beijing Laksamana Pertama Zualkafly Haji Ahmad memberitahu pemberita, sempena ulang tahun persahabatan antara kedua-dua negara itu, Jen. Chang dijangka melawat Malaysia pertengahan tahun depan.

Dalam lawatan ke China, Hishammuddin disertai delegasi sembilan anggota termasuk Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin dan Zualkafly.

Pada 31 Okt, Hishammuddin akan berlepas untuk meneruskan lawatan ke Vietnam.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:00 PM | Show all posts
Eratkan kerjasama pertahanan

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Malaysia dan China bersetuju untuk merapatkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan terutamanya melalui eksesais bersama, selain pertukaran pegawai-pegawai tentera laut dan ketenteraan.

Perkara tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang kini berada di Beijing sempena lawatan kerja ke republik itu.

Menurutnya, persetujuan itu turut merangkumi penubuhan kerjasama dalam bidang industri pertahanan, usaha-usaha memerangi keganasan dan jenayah transnasional.

Malah jelas beliau, buat pertama kalinya kedua-dua negara dijangka menganjurkan eksesais bersama pada tahun depan sejak memorandum persefahaman tentang kerjasama pertahanan ditandatangani pada 2005.

''Malaysia juga bercadang menganjurkan eksesais antara perkhidmatan (Army-to-Army, Navy-to-Navy dan Air Force-to-Air Force) pada tahun depan.

''Semasa lawatan kerja ini, saya akan bertemu Menteri Pertahanan China, Jeneral Chang Wanquan dan berbincang tentang persetujuan yang dicapai untuk meningkatkan kerjasama strategik lebih komprehensif,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lawatan kerja tersebut merupakan kunjungan sulung Hishammuddin ke China sejak memegang portfolio Menteri Pertahanan, Mei lalu.

Tujuan lawatan itu adalah untuk memperkukuhkan hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dengan China dan susulan kunjungan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 3 hingga 5 Oktober lalu.

Hishammuddin memberitahu, pihaknya juga mengundang Wanquan untuk melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Teluk Sepanggar bagi melancarkan penubuhan 'hubungan terus' antara Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) dengan Pemerintah Armada Laut Selatan China (Chinese Southern Sea Fleet Command).

''Selain pertemuan dengan beliau (Wangquan), saya juga akan menemui beberapa pemimpin tertinggi China termasuk Timbalan Pengerusi 1 Suruhanjaya Ketenteraan Pusat (Central Military Commission), Jeneral Fan Changlong.

''Pada masa sama, saya dan rombongan juga akan dibawa melawat Ibu Pejabat Pemerintah Armada Laut Selatan China yang terletak di Zhanjiang dan melawat Wilayah Ketenteraan Guangzhou (Guangzhou Military Region) yang merupakan salah satu daripada tujuh wilayah pentadbiran ketenteraan di China,'' jelasnya.

Katanya, secara amnya Malaysia telah mempunyai hubungan rasmi pertahanan dengan China sejak 2005 tetapi terhad kepada pertukaran lawatan dan pendidikan.

''Dengan lawatan ini, hubungan pertahanan Malaysia-China diharap dapat dikembangkan ke bidang-bidang lain dan mengukuhkan interaksi antara kedua-dua negara,'' tambahnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... erjasama-pertahanan
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:01 PM | Show all posts
Hishammuddin Intai Peluang Perkukuh Hubungan Pertahanan Malaysia-Vietnam

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Usaha mewujudkan 'hubungan terus' antara Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan, Pahang dan 'Vietnam Southern Command' dibangkitkan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatannya dari Vietnam, Jeneral Phung Quang Thanh.

Hishammuddin berkata ia bertujuan memudahkan kedua-dua negara berhubung jika berlaku sebarang masalah di laut semasa operasi.

"Saya turut melahirkan hasrat supaya Malaysia dan Vietnam dapat bekerjasama untuk merealisasikan Kerjasama Industri Pertahanan Asean (ADIC).

"Ia bagi meningkatkan kebergantungan industri pertahanan dalam kalangan Asean dengan tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber dari luar Asean," katanya dalam kenyataan.

Hishammuddin kini berada di Hanoi sempena lawatan kerja ke Vietnam setelah menamatkan lawatan kerja tiga hari ke China.

Ia merupakan lawatan sulung Hishammuddin ke Vietnam sejak memegang portfolio Menteri Pertahanan pada Mei lalu.

"Tujuan lawatan ini ialah untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara Malaysia dan Vietnam," katanya sambil memberitahu ia berlangsung sempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara, iaitu sejak 1973.

Merujuk perbincangannya dengan Jeneral Thanh, beliau berkata kedua-dua pihak komited dalam usaha meningkatkan hubungan pertahanan sedia ada termasuk dengan mengadakan mesyuarat tahunan peringkat kerja dua hala.

Langkah lain ialah melalui pertukaran pegawai dalam latihan dan pendidikan, mengadakan eksesais bersama, meneroka bidang industri pertahanan dan kerjasama dalam keselamatan maritim.

Hishammuddin menarik perhatian bahawa Malaysia dan Vietnam telah menandatangani perjanjian kerjasama pertahanan pada 2008.

-- BERNAMA
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:03 PM | Show all posts
Kuala Lumpur, Hanoi komited teroka industri pertahanan

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Malaysia dan Vietnam komited dalam menerokai bidang industri pertahanan selain meningkatkan kerjasama strategik khususnya melibatkan keselamatan maritim.

Komitmen tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika bertemu rakan sejawatnya dari Vietnam, Jeneral Phung Quang Thanh sempena lawatan kerjanya ke negara itu.

Menurut Hishammuddin, Malaysia dan Vietnam yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1973 juga komited meningkatkan hubungan pertahanan sedia ada dengan mengadakan mesyuarat tahunan peringkat kerja dua hala.

"Kita juga akan meningkatkan pertukaran pegawai dalam latihan dan pendidikan serta mengadakan eksesais bersama.

"Dalam pertemuan ini, turut dibincangkan cadangan mewujudkan hubungan terus antara Markas Wilayah Laut 1 di Kuantan dan Vietnam Southern Command bagi memudahkan kedua-dua negara berhubung jika berlaku sebarang masalah di perairan semasa operasi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin kini berada di Hanoi dalam rangka lawatan sulungnya ke Vietnam sebagai Menteri Pertahanan selepas dilantik pada Mei lalu.

Beliau sebelum ini melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke China dengan tujuan memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dengan negara tersebut.

Hishammuddin berkata, Malaysia turut melahirkan hasrat supaya kedua-dua negara dapat menjalin kerjasama untuk merealisasikan Kolaborasi Industri Pertahanan ASEAN (ADIC).

Usaha itu, menurut beliau, bagi meningkatkan saling kebergantungan industri pertahanan dalam kalangan negara ASEAN supaya tidak lagi terlalu bergantung kepada sumber dari luar rantau berkenaan.

"Secara amnya, Malaysia dan Vietnam telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dalam Kerjasama Pertahanan pada 2008 dan negara itu merupakan salah satu rakan dagang terpenting Malaysia di rantau ini," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... industri-pertahanan
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:12 PM | Show all posts
Pengalaman bersama FRU


Jamaluddin bersama anggotanya di Balai Polis Pudu.

HAMPIR separuh daripada usia perkhidmatan Inspektor Jamaluddin Abu Hassan, 48, yang mencecah 28 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau telah bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Daripada pasukan itulah Jamaluddin yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Balai Pudu, Cheras banyak menimba pengalaman serta belajar cara kerja berpasukan dan memantapkan kekuatan mental dan fizikal beliau.

Bercerita mengenai penglibatan bersama FRU, bapa kepada lima orang anak itu berkata, selepas menyertai polis pada 1985, beliau memohon memasuki pasukan itu dua tahun kemudian dan mendapat latihan di Ipoh, Perak.

"Selepas tamat tempoh latihan selama enam minggu, saya mula ditugaskan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak.

"Di situlah setiap hari kami berkawad, menghadiri kelas undang-undang serta agama. Pendek kata semuanya cukup dan akan keluar bertugas apabila diperlukan sahaja," katanya ketika ditemui di Balai Polis Pudu baru-baru ini.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Jamaluddin ialah beliau turut terlibat meleraikan kekecohan ketika rusuhan di Kem Tahanan Semenyih, Selangor pada 1998 sehingga mengorbankan sembilan orang anggota pasukan keselamatan termasuk seorang rakan sepasukannya.

Katanya, anggota pasukan FRU itu maut setelah ditikam oleh perusuh yang terdiri daripada pendatang asing dari Aceh, Indonesia itu.

Menceritakan kembali detik itu, Jamaluddin berkata, pendatang tersebut bertindak agresif dengan merusuh kerana menentang keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke tanah air masing-masing.

"Mereka mula menggunakan besi tajam dan batu sebagai senjata untuk memprotes proses penghantaran itu malah mereka turut membakar lima blok penempatan sehingga empat daripadanya hangus," ujarnya.

Selain itu, kisah perlanggaran ngeri melibatkan 12 buah kenderaan di Kilometer 30.9, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak pada 28 Februari 1990 yang mengorbankan 11 nyawa anggota FRU serta empat nyawa orang awam turut menjadi kisah hitam dalam diri Jamaluddin.

Walaupun tidak terlibat, namun keakraban mereka sesama anggota FRU membuatkan Jamaluddin berasa amat sedih dengan peristiwa yang mengorban rakan-rakannya itu.

Ditugas menjadi Pegawai Penyiasat

Selepas 12 tahun bersama FRU, Jamaluddin mengikuti rekrut pegawai selama setahun pada 1999 dan dinaikkan pangkat menjadi Inspektor selepas tamat latihan.

Beliau ditugaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras sebagai Pegawai Penyiasat (IO) yang serba sedikit mengubah gaya hidupnya kerana gaya kerja yang berbeza jika dibandingkan ketika bersama FRU.

"Sebagai IO saya banyak bekerja berseorangan atau dalam kumpulan yang kecil sahaja. Masa juga banyak dihabiskan untuk bertugas.

"Bagaimanapun sebagai IO, saya bertemu pelbagai jenis orang daripada buruh kasar hinggalah ke orang kenamaan (VIP) yang mengajar saya kisah sebenar kehidupan," ujarnya yang meminati sukan larian lasak dan ping-pong.

Belajar Bahasa Arab

Dalam pada itu, ketika ini, Jamaluddin mengambil inisiatif mengambil kursus Arab di Universiti Malaya sejak dua bulan lalu.

Ketika ditanya kenapa beliau ingin belajar bahasa al-Quran itu, Jamaluddin berkata beliau tertarik setelah dua daripada anaknya belajar dan boleh bertutur dalam bahasa itu.

"Anak lelaki kedua saya mahir berbahasa Arab dan dia kini ingin menyambung pelajarannya di Mesir dalam bidang perubatan, namun tertunda disebabkan kekecohan yang berlaku di sana.

"Adiknya pula yang belajar di Maktab Rendah Sains Mara Besut, Terengganu turut belajar bahasa Arab. Sebab itulah saya rasa tertarik untuk mendalami bahasa itu selain boleh memahami al-Quran," ujarnya.

Selain itu, jelas beliau, di dalam kawasan jagaan di Balai Polis Pudu, terdapat beberapa Kedutaan dari Asia Barat yang menggunakan Bahasa Arab iaitu Kedutaan Besar Yaman, Libya, Syria, Lubnan dan Mesir.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... galaman-bersama-FRU
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:14 PM | Show all posts
Kesedaran daripada Lahad Datu


Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor ketika ditemui di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

TIDAK dapat disangkal lagi bahawa tragedi pencerobohan di Kampung Tanduo, Lahad Datu oleh pengganas Kiram pada Februari lalu telah melonjak semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.

Seluruh rakyat bagaikan bersatu mendoakan kesejahteraan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi bersejarah tersebut.

Tragedi yang mengorbankan 10 wirawan negara itu akan sentiasa terpahat di jiwa rakyat sebagai satu peringatan bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana aktiviti keganasan.

Mana-mana entiti yang berniat mengganggu-gugat negara adalah sebuah ancaman dan perlu dihapuskan dengan apa juga cara sekali pun.

Kesedaran patriotik rakyat Malaysia juga semakin meningkat dan boleh dilihat persepsi rakyat terhadap pasukan keselamatan sudah semakin berubah.

Kini rakyat sedar bahawa ancaman daripada pihak asing sentiasa wujud, tidak ternoktah pada 2 Disember 1989 apabila era insurgensi apabila Parti Komunis Malaya (PKM) berakhir.

Bagi Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, tragedi di Lahad Datu itu memberi seribu satu erti kepada pasukannya.

Katanya, era pasca Lahad Datu itu bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada Tentera Darat (TD), ia juga membawa perubahan terhadap fungsi dan peranan ketumbukan terbesar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan.

"TD tidak melihatnya sebagai cabaran tetapi peluang selepas kejadian di Lahad Datu.

"Ini mengubah pemikiran rakyat terhadap pasukan keselamatan, memberi peluang untuk kita memperbaiki diri sendiri dan memantapkan keselamatan Sabah melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, rakyat berpeluang melihat peranan penting pasukan tentera dalam menjaga kedaulatan negara dan membuang persepsi bahawa pasukan keselamatan hanya goyang kaki.

Kini, katanya, rakyat segenap lapisan melihat tentera daripada sudut berbeza melangkai upaca-upacara istiadat perbarisan hari kebesaran atau kemerdekaan.

"Sekarang ini sudah berbeza, itu saya lihat sebagai peluang kerana baru mereka melihat apakah tentera sebenarnya. Mereka sebelum ini lihat perbarisan, pertunjukan sahaja," kata Raja Mohamed Affandi.

Jelas orang nombor satu TD itu, kejayaan Op Daulat itu merupakan manifestasi perjuangan perwira-perwira sebelum ini dalam memerdekakan negara.

Momentum daripada perjuangan perwira tersebut ujarnya, telah digalas oleh tentera dalam menjalankan Op Daulat sebagai satu bentuk motivasi terhadap semangat mereka.

"Kini rakyat melihat tentera sebagai sebuah entiti yang penting kepada negara. Saya melalui Op Daulat itu sebagai Ketua Staf, setiap saat kami semua bertungkus-lumus mengurus pergerakan strategik anggota.

"Saya lihat daripada aspek strategiknya, perlu wujud sebuah mekanisme mengukuhkan Sabah sesuatu yang penting. Pendekatan kerajaan melalui ESSCOMM adalah sesuatu yang baik.

"Kejadian Lahad Datu secara tidak langsung telah mengukuhkan bukan sahaja kesiapsiagaan TD malah memberi pengajaran baharu dalam hal ehwal strategik negara," kata Raja Mohamed Affandi.

"Ini peluang saya untuk mengukuhkan warga tentera, di mana daripada pengurusan dan kepimpinan perlu kita lihat. Rakyat juga berpeluang memahami peranan TD sebagai benteng utama pertahanan negara.

"Peluang bagi kerajaan pula adalah untuk melihat keselamatan negara secara menyeluruh.

"Kita lihat tiga peluang di situ. Kerajaan telah meletakkan ESSCOM, dan rakyat melihat kewujudan entiti pertahanan dan saya berpeluang memperkemaskan TD sebagai organisasi terbesar dalam ATM," tegas Raja Mohamed Affandi.

Sejajar dengan pendekatan 3M iaitu men, machine dan method sebelum ini, ujarnya, TD akan terus menggandakan usaha menghasilkan modal insan pertahanan kredibel untuk masa depan.

"Saya berpegang kepada 3M ini kerana ia merangkumi semua. Perkara ini perlu diterapkan pada setiap masa dan semakin relevan dari masa ke semasa.

"Daripada segi moral, TD dalam keadaan baik, persoalannya kini adalah sama ada saya kekalkan begini atau membawa ke arah satu tahap lagi," jelasnya.

Daripada aspek aset pula katanya, TD sentiasa melihat keperluan pengurusan yang cekap sebagai keutamaan dalam memastikan setiap daripada aset tersebut dapat digerakkan tepat pada masa.

"Saya melihat aset yang tak dapat dipisahkan daripada aspek penjagaan cekap kerana kesiagaan TD bergantung kepada aset. Aset dalam hal ini adalah kebolehgunaan yang tinggi," katanya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... daripada-Lahad-Datu
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-11-2013 06:19 PM | Show all posts
Jenayah online uji JSJK PDRM



LEBIH banyak infrastruktur dan aplikasi internet dibangunkan maka lebih besar ujian yang perlu dihadapi oleh pasukan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan teknologi canggih yang dinikmati rakyat Malaysia kini tidak disalah guna.

Demikian pendapat Ketua Penolong Pengarah JSJK, Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din yang juga mengetuai Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia pasukan itu.

Mengambil contoh kes pelajar Malaysia, Alvin Tan dan Vivian Lee yang mencetuskan rasa marah orang Islam terhadap isu perkauman yang dicetuskan mereka melalui laman sosial, Kamarudin, 49, berkata, beliau perlu memastikan anak buahnya mempunyai kemahiran teknologi yang tinggi untuk menyiasat kes berkenaan.

"Kami memang sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bukan sahaja dalam kes tersebut tetapi juga kes-kes lain seperti penipuan atas talian (online) dan penyebaran fitnah di internet.

"Bukan mudah untuk kami menjejak dalang lebih-lebih lagi jenayah dilakukan secara maya tetapi berkat kesabaran serta kemahiran yang dimiliki oleh pasukan kami, kebanyakan kes dapat diselesaikan dengan berjaya," katanya kepada Mega ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Perdana baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun pasukan kendalian beliau mempunyai kemahiran teknologi, tetapi kerjasama dengan agensi lain adalah perlu bagi memastikan hasil siasatan berkualiti dan tepat.

"Kita tidak perlu menjadi jaguh walaupun kita mempunyai kepandaian. Apa yang perlu dilakukan adalah perkongsian kerja akan menghasilkan keputusan yang lebih telus," tegasnya.

Menurut bapa kepada lima cahayamata itu, sepanjang berkhidmat di bawah naungan PDRM, tidak pernah dilupakan peristiwa pada lewat tahun 90-an.

"Ketika itu saya memegang jawatan sebagai Ketua Unit Jenayah Teknologi apabila satu khabar angin mengatakan akan berlaku rusuhan besar-besaran di Malaysia berikutan rusuhan kaum yang ketika itu sedang melanda negara Indonesia.

"Lebih menakutkan rakyat Malaysia apabila diberitakan senjata-senjata tajam seperti pedang dan parang sudah mula habis dijual sehingga memaksa Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa berita mengenai rusuhan yang tersebar di e-mel itu adalah palsu," katanya lagi.

Berhubung isu itu menurut beliau, pasukannya terpaksa berhempas pulas menjejaki orang yang pertama menyebarkan berita palsu tersebut daripada beratus-ratus penerima e-mel.

Tambahnya, rupa-rupanya e-mel tersebut disebarkan oleh seorang lelaki tempatan yang tidak berpuas hati kerana jirannya telah dibunuh oleh suspek warga Indonesia dalam kejadian samun di rumah mangsa.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... lineI-uji-JSJK-PDRM
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:20 PM | Show all posts
Pengaruh Malbatt di Lubnan


Majlis berbuka puasa pegawai dan anggota pasukan Malbatt 5 di Kem Tibnin selepas selesai menjalankan tugas rondaan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil). - BERNAMA

"MURAH-MURAH, terima kasih, jemput masuk," itu adalah antara ungkapan yang terbit daripada mulut para peniaga di Tibnin dan Kawkaba di Lubnan.

Rasa kagum mula timbul di hati saya apabila mendapati kebanyakan penduduk tempatan lancar berbahasa Melayu sebaik tiba di pekan Tibnin, yang menjadi markas ibu pejabat pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) di Lubnan sejak 2006 lagi.

Saya berada di negara itu dari 23 hingga 31 Julai lepas untuk lawatan ke kem-kem Malbatt dan Malaysia Company (Malcoy) di beberapa daerah di Lubnan.

Sedar tidak sedar pasukan Malbatt dan Malcoy sudahpun bertapak di bumi bergolak itu hampir tujuh tahun dan inilah sebab mengapa penduduk di kawasan operasi Malbatt dan Malcoy sudah biasa dengan bahasa dan budaya orang Malaysia.

Konflik antara Lubnan dan Israel pada 2006 membawa kepada campurtangan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) yang turut diwakili Malbatt.

Pada mulanya penduduk tempatan agak was-was dengan kehadiran tentera asing di bumi mereka, tetapi sumbangan ikhlas pasukan Malbatt dan Malcoy melalui pelbagai program berjaya mengatasi syak wasangka terhadap pasukan itu.

Bagi penduduk tempatan Mohamad Abdullah Aiman, beliau pada awalnya menyangka kemasukan tentera PBB di Lubnan bagaikan satu bentuk penjajahan yang baru.

Tetapi tanggapannya itu mula meleset apabila melihat sikap mesra yang ditunjukkan pasukan Malbatt dan Malcoy dalam membantu masyarakat tempatan.

Peniaga berusia 41 tahun itu mula tertarik dengan sikap ringan tangan yang ditunjukkan anggota serta pegawai pasukan Malcoy dan Malbatt dalam membantu penduduk terutama daripada segi kemudahan perubatan dan bantuan pendidikan.

"Saya sebagai peniaga di sini, berasa senang dengan sikap mereka, mereka menunjukkan contoh yang baik dalam kalangan pasukan Unifil, jadi tidak hairan mengapa kami selesa dengan mereka," kata Abdullah yang tinggal berhampiran kem Barashit, satu daripada kem operasi pasukan Malbatt.

Kini pasukan kelima (Malbatt 5) menjalankan operasi menjaga keamanan sejak mengambil alih tugas daripada Malbatt 4 pada Oktober 2012.

Malbatt 5 beroperasi di sektor barat Lubnan iaitu di Kem Harris, Shamrock, Barashit dan Tibnin yang menjadi ibu pejabat pasukan Malbatt 5.

Manakala pasukan Malcoy dibubarkan pada awal Julai lepas dengan kesemua anggota dan pegawai pasukan itu digabungkan dengan pasukan Malbatt dan akan beroperasi sebagai satu pasukan secara rasmi bermula Oktober ini.

Berpegang kepada prinsip buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali, pasukan Malbatt dengan kekuatan seramai 540 orang manakala Malcoy dengan kekuatan seramai 310 orang banyak membantu masyarakat tempatan melalui program jiwa murni yang dirintisnya.

Menurut Komander Malbatt 5. Kolonel Zainal Abidin Mohd Said, program jiwa murni dianjurkan bagi membantu masyarakat di kawasan operasi untuk bangkit daripada kesan perang.

"Walaupun modal yang diperuntukkan kepada kami amat terhad tetapi hasil usaha serta kepakaran yang ada membolehkan kami membantu rakyat Lubnan melalui program yang dirancang," jelas beliau yang yakin bahawa program jiwa murni itu diterima baik masyarakat Lubnan.

Bagi anak jati Johor itu, program yang dirancang beliau dan anggotanya seperti menubuhkan hospital tahap satu, menyampaikan bantuan pendidikan dan teknikal serta menggunakan kepakaran kejuruteraan banyak memberi impak positif dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

Beliau menjelaskan program-program yang dianjurkan berjaya mengatasi prasangka selain turut mengeratkan hubungan antara pasukan dan warga tempatan di kawasan operasi.

Berbahasa Melayu

Saya semasa dibawa melawat pekan di Tibnin untuk meninjau keadaan serta beramah mesra bersama penduduk tempatan disambut mesra oleh penduduk tempatan.

Sebaik bersapa, warga Lubnan lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu berbanding menggunakan bahasa Inggeris. Perkara ini diakui sendiri oleh Zainal yang berpandangan ia adalah kesan hubungan erat antara pasukan tentera Malaysia dan penduduk di Tibnin sejak tujuh tahun lepas.

Penduduk di situ rata-ratanya selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu bukan sahaja dengan anggota dan pegawai tentera tetapi juga pelawat dari Malaysia.

Menurut seorang daripada anggota pasukan Malbatt 5, Kpl Mohamad Shafiq Affendi Mohd Abdul Rahman setiap kali anggota pasukan Malbatt 5 turut ke pekan Tibnin untuk membeli barang keperluan mereka akan mengajar peniaga di sana bertutur dalam bahasa Melayu.

Lama kelamaan bahasa dan budaya orang Malaysia menjadi sebati dengan masyarakat di Tibnin dan Kawkaba, kata bapa kepada dua cahaya mata ini.

Bagi penduduk tempatan pula kehadiran pasukan tentera Malaysia sejak tujuh tahun lepas di bumi yang penuh dengan sejarah serta kisah para Anbia ini membawa besar maknanya.

Maka tidak hairanlah rata-rata penduduk di kawasan Tibnin mahukan Malbatt terus dikekalkan di sini.

- BERNAMA

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... h-Malbatt-di-Lubnan
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:24 PM | Show all posts
Selangkah ke PDRM


SEBAHAGIAN daripada mahasiswi yang hadir bersorak selepas perbarisan tamat latihan Kor Suksis di Padang Kawat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, baru-baru ini.

PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan bagi memastikan setiap remaja dan belia di negara ini mempunyai bekalan sahsiah diri yang tinggi.

Bagi memastikan perkara itu dapat dilaksanakan, pelbagai program berbentuk disiplin diwujudkan dan sehingga kini penglibatan golongan muda dalam program itu dilihat amat menggalakkan.

Antara program yang dilaksanakan khas untuk mendekatkan remaja dan belia adalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Sukarelawan Rakan Muda, Program Sukarelawan Belia 1M4U, Sukarelawan Siswa, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) dan sebagainya.

Seperti mana program lain, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) juga mempunyai misi serupa iaitu bermatlamat membentuk sahsiah diri golongan pewaris pemimpin negara dan bezanya, program ini memberi tumpuan kepada golongan mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menyentuh tentang sejarah Kor Suksis di IPTA, penubuhannya diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 4 Februari 1999 dan pada 24 Jun 2006 , Kor Suksis seluruh IPTA telah dilancarkan secara rasmi oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar di Dataran Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tujuan utama program ini direka adalah memberi pendidikan kepada golongan pelajar IPTA tentang latihan kepolisan yang boleh membentuk jati diri setiap pelajar mengikut acuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan siswa-siswi yang bakal menjadi pemimpin yang berpengetahuan dalam bidang kepolisan supaya mereka yang dilatih ini dapat menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan negara.

Menariknya, program dan latihan aktiviti yang dijalankan untuk pelajar yang menyertai Kor Suksis adalah mengikut silibus dan diluluskan Bahagian Latihan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan semua bentuk latihan serta akademik akan dipantau oleh pegawai PDRM yang ditempatkan di setiap IPTA.

Sehubungan dengan penubuhan program ini, nilai-nilai moral dan semangat cintakan bangsa serta negara akan dapat disemai dalam diri setiap mahasiswa yang menganggotai Kor Suksis seterusnya membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berasaskan pemikiran dan perlakuan pemikir kelas pertama.

Seperti mana kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Kor Suksis di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) baru-baru ini, setiap individu yang keluar dari universiti kelak akan tersemat disiplin yang tinggi seiring dengan sistem kepolisan yang telah diajar sepanjang menyertai Kor Suksis.

Kata beliau, latihan yang disediakan sepanjang menyertai program ini akan memberi nilai tambah kepada setiap graduan universiti.

"Graduan yang pernah menyertai Kor Suksis adalah graduan yang kaya dengan pilihan yang ada. Mereka bukan sekadar mempunyai ilmu pengetahuan yang ditimba di universiti tetapi pengalaman di luar skop akademik yang sangat berguna.

"Nilai tambah ini diyakini mampu melahirkan graduan yang peka dan bertaut kuat kepada rasa tanggungjawab sosial yang tinggi, berdisiplin, cinta pada keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan rakyat dan negara. Perkara itu selari dengan prinsip PDRM," katanya.

Tambah beliau, Kor Suksis juga mampu membina bakat komunikasi dan kepimpinan yang boleh membantu siswa-siswa sebaik menempuhi alam pekerjaan kelak.

"Saya percaya dengan pendedahan sistem kepolisan kepada ahli Kor Suksis, mereka yang keluar daripada universiti kelak akan kaya dengan disiplin yang telah ditanam.

"Seterusnya akan menerapkan sikap positif di persekitaran tempat kerja tidak kira di sektor awam atau swasta," ujarnya.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/ ... 1/Selangkah-ke-PDRM
Reply

Use magic Report

Post time 10-11-2013 06:26 PM | Show all posts
Jasa Aloutte III tidak ternilai


DIKATAKAN, Aloutte III tidak pernah ditembak pengganas komunis kerana gerun dengan kemampuan tempurnya.

DIGERUNI pengganas komunis. Jasa yang ditaburkan Helikopter Aloutte III yang dimiliki Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1963 terhadap kedaulatan negara ini sememangnya tidak ternilai harganya.

Kemuncak zaman kegemilangan helikopter berkenaan adalah pada sekitar tahun 70-an hingga 80-an apabila ia menjadi tulang belakang dalam usaha memerangi pengganas komunis di negara ini.

Pemilikan 26 buah Aloutte III dari Perancis yang bukan sahaja memantapkan kerja-kerja penempatan kuasa tempur dan bantuan perubatan negara ketika itu malah, helikopter itu sendiri menjadi jentera perang terkuat pasukan pertahanan sendiri!

Aloutte III turut dikatakan tidak pernah ditembak langsung oleh pengganas komunis.

Pemasangan senapang berkaliber tinggi menggunakan peluru 20 milimeter(mm) digelar cannon yang boleh berputar 360 darjah telah menyebabkan pengganas lari 'tidak cukup tanah' hanya dengan mendengar sahaja bunyi bingit pusingan bilah-bilah rotornya di udara.

Tiada pengganas komunis yang terlepas daripada kuasa tempur Aloutte III, baik di sebalik pokok, di belakang busut dan di dalam khemah. Perkara ini diakui sendiri pengganas-pengganas tersebut apabila disoal siasat.

Bagi bekas Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Abdullah Ahmad, Aloutte III merupakan helikopter yang sangat signifikan terhadap kerjayanya sebagai seorang juruterbang TUDM.

Katanya, Aloutte III merupakan helikopter paling berkesan terhadap tugas-tugas mobilisasi anggota-anggota yang cedera dan terkorban akibat pertempuran - kecil dan pantas.

"Ada mayat yang masih panas dan berlumuran darah, ada juga mayat yang telah tiga empat hari baru dibawa pulang. Baunya, ya Allah! Memang meloyakan.

"Terdapat satu masa, semasa menjadi juruterbang Aloutte III, but saya dibasahi darah kerana satu helikopter dibanjiri darah milik askar-askar yang cedera," katanya kepada Mega ketika ditemui di kediamannya di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Helikopter itu katanya, turut besar jasanya kepada rakyat negara ini terutama mereka yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk masyarakat Orang Asli ketika itu. Setiap bulan, pesawat itu akan melakukan penerbangan ihsan membawa doktor dan jururawat ke perkampungan mereka untuk mengadakan pemeriksaan kesihatan.

Pengalaman pahit

Boleh dikatakan setiap juruterbang Aloutte memiliki saat mengerikan sewaktu mengemudi helikopter berkenaan. Kata Abdullah, saat ngeri tersebut padanya adalah ketika misi membawa pulang mayat seorang kapten dari pasukan 2 Renjer bernama Nathan di Raub Pahang.

Misi yang dilaksanakan pada 12 Januari 1971 itu memberi pengalaman berharga baginya dalam kerjaya sebagai seorang anggota pasukan pertahanan sehingga meninggalkan impak signifikan walaupun setelah menjadi seorang Panglima TUDM.

"Pada ketika itu, saya ditugaskan membawa pulang mayat perwira yang telah gugur setelah dua hari. Pasukan darat tidak dapat mendekati mayat-mayat tersebut berikutan dikawal rapi oleh komunis.

"Pasukan darat gerak selangkah sahaja akan ditembak pengganas yang mengelilingi mayat-mayat tersebut. Keadaan menjadi buntu kepada mereka. Di sinilah saya dan Aloutte III digerakkan.

"Saya diberitahu di sana tiada tapak pendaratan untuk mengeluarkan mayat di situ. Saya diarahkan menggunakan kaedah 'winching' iaitu menarik mayat ke helikopter yang berada di ruangan udara menggunakan kabel," katanya.

Namun begitu, setibanya di kawasan tersebut, beliau menyedari bahawa mayat tersebut berada di kawasan di bawah rimbunan pokok-pokok besar setinggi 150 hingga 200 kaki.

Perkara tersebut katanya, membuatkan beliau cemas memandangkan kepanjangan kabel winching hanya 86 kaki. Lagipun, tiada ruang antara pokok-pokok besar tersebut untuk Aloutte turun mendapatkan mayat-mayat tersebut.

Dalam keadaan terdesak itu, pemandangan Abdullah tertumpu kepada sebuah kawasan lapang berdekatan iaitu kira-kira 90 meter dari lokasi mayat-mayat tersebut.

"Keadaan hutan kita ini memang berlapis, kita ada hutan primary di atas dan belukar setinggi 60 kaki. Saya menggagahkan diri untuk turun ke kawasan lapang tersebut dan bergerak ke lokasi mayat-mayat berkenaan pada paras dahan-dahan pokok.

"Kita tahu kalau rotor terkena dahan-dahan ini maka kemalangan menanti. Tetapi saya tetap memberanikan diri untuk menyusup di bawah rimbunan pohon dan tiba ke lokasi misi.

"Alhamdulillah, kami tiba di lokasi misi dan menjatuhkan kabel untuk dipautkan pada bungkusan-bungkusan mayat tersebut. Mayat-mayat tersebut berjaya dibawa naik ke helikopter," katanya.

Pada ketika itu katanya, pegawai yang menurunkan dan menaikkan mayat-mayat berkenaan adalah Ketua Skuadron, Ahmad Saruji Che Rose iaitu Panglima TUDM Ke-11, 30 tahun selepas itu.

Kemudiannya, Abdullah dan Ahmad Saruji berdepan dengan masalah baru pula iaitu untuk keluar balik daripada kawasan rimbunan pokok tersebut. Namun begitu, berkat kesabaran kedua-dua mereka, Aloutte tersebut telah berjaya keluar dan membawa pulang semua mayat-mayat berkenaan.

Pegalaman manis

Terdapat juga sisi manis sebagai juruterbang Aloutte III kerana pada Abdullah, struktur helikopter tersebut adalah sangat unik terutama apabila melibatkan tugasan membawa ramai orang kenamaan.

Katanya, Aloutte III merupakan satu-satunya helikopter yang mana orang kenamaan akan duduk di sebelah juruterbang. Beliau pernah menerbangkan beberapa pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

"Saya masih ingat sewaktu Seri Paduka Baginda duduk di sebelah saya untuk melakukan 'fleet review' semasa pertunjukan maritim. Saya juga masih ingat Perdana Menteri menaiki Aloutte yang dipandu saya untuk melihat kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Beliau menambah, saat menggembirakan saya adalah apabila kepimpinan TUDM membenarkan beliau menerbangkan Aloutte III membuat persembahan sempena Ulang Tahun Ke-21 ketumbukan itu. Pada beliau, umur 21 itu melambangkan kematangan TUDM.

"Sebagai Panglima Tentera Udara pula, saya menerbangkan Aloutte III sekali lagi pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2003. Pada ketika itu, saya telah membuat pelbagai pegerakan yang tidak dibenarkan syarikat pembuat pesawat.

"Saya membuat pergerakan laju ke udara kemudiannya pusing secara mendadak 90 darjah (torque turn) ke atas sebelum berhenti di udara dan jatuh menjunam ke bawah dan seterusnya membuat pusingan terakhir 90 darjah semula. Saya buat pergerakan ini empat kali mewakili setiap sudut.

"Pergerakan terakhir saya digelar 'one way ticket' yang mana semasa berada 500 kaki di udara, saya bertindak mematikan enjin menyebabkan helikopter turun secara 'auto rotation'.

"Seterusnya saya melakukan will milling (menjunam pada ketinggian tertentu) kemudiannya melakukan 'flare' untuk mengurangkan impak jatuh dan mendarat, tanpa menghidupkan enjin," ujarnya.

Semua pemimpin-pemimpin tentera asing yang hadir termasuk United Kingdom, Russia, Amerika Syarikat, Itali dan Perancis jelasnya, terpegun dengan aksi-aksi Abdullah.

Seorang jurutera Aloutte III dari Perancis turut berjumpa dengannya untuk bertanya sama ada TUDM mengubah kemampuan enjin helikopter tersebut dan tidak mempercayai apabila beliau menyatakan helikopter itu tidak pernah diubahsuai sama sekali.

Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130911/te_01/Jasa-Aloutte-III-tidak-ternilai





Last edited by robotech on 10-11-2013 06:27 PM

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

10-5-2024 05:08 AM GMT+8 , Processed in 0.719371 second(s), 39 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list