CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2085|Reply: 1

Faizal serah jiwa, raga demi Palestin - BH

[Copy link]
Post time 29-8-2010 11:13 PM | Show all posts |Read mode
Post Last Edit by sicomel at 29-8-2010 23:17

Faizal serah jiwa, raga demi Palestin
Oleh Zul Husni Abdul Hamid | Foto ihsan TV3 dan Monkey Bone
2010/08/29




PANDANGAN skeptikal masyarakat terhadap pengaruh seseorang selebriti dalam menjalani aktiviti kebajikan masih diperdebatkan tetapi Faizal Tahir enggan isu itu menjadi kekangan untuk meneruskan niat sucinya.

Bagi penyanyi Selamat Malam itu, dia berbangga kerana popularitinya sebagai selebriti membantu mengangkat martabat industri hiburan apabila dipilih menjadi duta Kempen Bebaskan Bumi Palestin oleh TV3.


Menerima perlantikan itu sejak Jun lalu, Faizal diberi peluang menyertai kru produksi, Bersamamu dan badan bukan kerajaan, Aqsa Syarifke Palestin, baru-baru ini.Kata Faizal, pemergiannya ke bumi bergolak itu bukan retorik semata-mata sebaliknya dia sudah bersedia menyerahkan jiwa dan raganya atas nama kemanusiaan.

“Saya terharu apabila kekuatan industri hiburan diakui dan dimanfaatkan untuk menghantar mesej penting dalam menjalankan aktiviti kemanusiaan.

“Saya bersyukur selepas empat tahun dalam industri hiburan, saya dapat menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Saya tinggalkan keluarga, negara dan kerja dengan niat untukmembantu mereka yang memerlukan. Saya berharap perjalanan ke arah itu tidak terhenti hanya di sini.

“Masih banyak yang mahu saya lakukan terutama dalam mempertingkatkan penguasaan pendidikan dan kualiti perubatan rakyat Palestin yang menderita di bawah penaklukan rejim Zionis,” katanya.

Ketika berkongsi pengalaman berada di Palestin selama enam haripada pertengahan Ogos lalu, Faizal berkata, langsung tidak terdetik keraguan atau ketakutan di hatinya apabila diajukan tawaran ke tanah bergolak itu.

Malah doa Faizal agar diberikan Tuhan kesempatan menjejakkan kaki di Gaza untuk merasai sendiri keperitan hidup masyarakat di sana yang berada di bawah cengkaman rejim Zionis.

“Pengalaman di sana sukar untuk digambarkan. Selama 62 tahun mereka hidup di bawah cengkaman Israel, lalu ketika ditanya apa harapan mereka cuma satu jawapan diberikan iaitu mahukan kebebasan Palestin,” katanya.

Biarpun cuma berkesempatan melawat empat kem pelarian, dua di Lubnan dan dua lagi di Beirut, melihat segala penderitaan yang ditanggung membuatkan Faizal ingin segera berkongsi kesedihan itu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu juga serius menyeru supaya masyarakat dunia segera bertindak atas nama kemanusiaan.

“Saya berharap masyarakat Malaysia juga akan membuka mata dan hati untuk melihat di luar sana ada insan yang memerlukan bantuan.

“Sudah enam dekad isu ini berlarutan dan mengapa kita hanya bersuara atau menunjukkan keprihatinan apabila insiden besar berlaku?,”katanya mengimbas kunjungan singkat yang meninggalkan impak besar dalam hidupnya.

Sebagai artis, keinginan penyanyi Kasih Tercipta itu melangkau jauh daripada menyalurkan mesej menerusi lagu atau persembahan amal.

Naib juara One In A Million musim pertama ini bersyukur kerana profil sebagai figura masyarakat memberi ruang kepadanya untuk berkongsi segala pengalaman sepanjang di sana.

“Saya mahu pergi lagi ke sana kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu mereka terutama berkaitan pendidikan dan perubatan.

“Bayangkan cuma ada satu klinik yang lengkap untuk memberi khidmat kepada dua juta penduduk yang menghuni kem pelarian.

“Di sana kanser adalah antara kes terbesar tetapi menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan memakan masa sehingga lima atau enam bulan.

“Bekalan ubat yang berbaki juga sudah lama, malah ada yang tidak boleh digunakan lagi. Suasana itu sangat menyedihkan,” katanya serius.

Masih belum dapat melupakan memori diintip rejim Israel ketika dalam perjalanan menziarahi pusara seorang mangsa kekejaman Zionis, Faizal menyeru golongan artis supaya turut menyumbang dalam kerja amal itu.

Tidak perlu ke Palestin, cukup jika mereka memberikan komitmen dengan mengambil kanak-kanak di sana sebagai anak angkat.

“Saya memohon kepada teman artis untuk turut serta dalam usaha ini. Mereka hanya perlu menyumbangkan RM170 sebulan sebagai penyediaan keperluan kepada kanak-kanak itu.

“Jumlah itu terlalu kecil tetapi amat besar maknanya kepada mereka yang sedang berjuang untuk meneruskan hidup,” katanya.

Akan kembali ke Palestin pada musim dingin nanti kerana dalam cuaca begitu mereka lebih diuji termasuk ancaman penyakit, Faizal turut menyimpan niat untuk membuka pusat pendidikan kanak-kanak di sana.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 29-8-2010 11:21 PM | Show all posts
Jeling Kak Pora: Jangan abai kerja amal

kakpora@bharian.com.my
2010/08/29

Usaha murni buka mata masyarakat

SAMA ada bersetuju atau tidak, populariti seseorang selebriti turut memainkan peranan dalam membantu menjayakan sesuatu kempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Biar mungkin ada yang memandang sinis pembabitan selebriti dalam usaha murni itu, Kak Pora percaya pengaruh artis sedikit sebanyak membantu membuka mata peminat untuk mengikuti kempen kesedaran itu. Sebenarnya perkara itu bukan lagi sesuatu yang baru.

Ketika kecil, Kak Pora masih ingat populariti Ramlah Ram dan Raja Ema pernah dimanfaatkan untuk kempen keselamatan jalan raya sempena cuti musim Aidilfitri.

Lagu tema kempen itu yang dinyanyikan mereka berdua cukup popular dan tersemat kukuh dalam ingatan Kak Pora. Sempat lagu itu dialunkan untuk beberapa tahun, sekali gus mengingatkan pengguna jalan raya supaya tidak memandang enteng aspek keselamatan ketika memandu.

Mungkin ada yang bertanya mengapa isu itu yang dibangkitkan Kak Pora dalam ruangan ini? Kak Pora sebenarnya terharu kerana kekuatan industri hiburan dalam menyalurkan mesej penting kepada masyarakat semakin diakui.

Apa lagi, ketika ini masih ada sebahagian masyarakat memandang kecil peranan artis, malah cuma melihat kelompok ini sekadar mengejar populariti dan mencipta kontroversi tanpa sedar mereka juga mempunyai tanggungjawab sosial.

Ramadan ini Kak Pora tersentuh melihat keberanian dua artis popular tempatan yang sanggup melakukan pengorbanan, meninggalkan segala keselesaan dan kesenangan di tanah air untuk berbakti kepada mangsa kekejaman Zionis di Palestin.

Tiada siapa yang memaksa sebaliknya Fauziah Latiff atau Jee dan Faizal Tahir menerima tanggungjawab itu atas kerelaan sendiri.

Pemergian mereka juga bukan untuk meraih populariti atau menagih publisiti media massa kerana baik Jee mahu pun Faizal tidak memperbesarkan niat suci ke sana. Melihat air mata Jee yang mengalir laju ketika berkongsi pengalamannya dan suara sebak Faizal tatkala mengimbas momen mendebarkan sepanjang di Palestin dan Lubnan, Kak Pora percaya ada sesuatu yang terbuku di hati mereka.

Barangkali keringat yang mereka curahkan tidak sehebat ketabahan dan kekuatan mangsa kekejaman Israel yang bertahan demi menjunjung maruah bangsa dan agama.

Bagaimanapun, Kak Pora berharap usaha murni dua artis itu akan menjadi ikutan peminat setia mereka. Siapa tahu keberanian mereka menjadi pencetus kepada kesungguhan anak tempatan untuk menggembleng tenaga dalam kerja amal.

Mungkin Jee dan Faizal bertuah kerana terpilih menyertai misi khas itu tetapi keinginan untuk berbakti itu tidak mengira lokasi atau masa. Di negara sendiri pun masih banyak ruang untuk kita menyalurkan keinginan itu. Sama ada bersedia atau tidak, tepuk dada tanya selera.

Cuma yang Kak Pora harap cetusan kesungguhan mereka tidak terhenti hanya setakat itu kerana untuk menanam kesedaran di sanubari manusia bukan memakan masa sehari dua. Terpulang bagaimana seseorang itu menerimanya.

Selain mereka berdua, Kak Pora tahu nama seperti Dayang Nurfaizah, Umie Aida dan Fahrin Ahmad juga aktif menyumbang tenaga untuk kerja amal bagi menyuntik keprihatinan masyarakat terhadap mangsa HIV dan Aids.

Cuma yang tak sedap di pendengaran Kak Pora, ada segelintir selebriti yang tidak memberikan komitmen dalam kerja amal itu biarpun sudah bersetuju untuk terbabit.

Mereka hanya hangat-hangat tahi ayam tetapi apabila diperlukan, pelbagai alasan diberikan. Mungkin aktiviti amal ini tidak mendatangkan pendapatan itu yang membuatkan sesetengah artis bersikap sambil lewa.

Jadi masihkah mahu menyalahkan masyarakat jika mereka masih mempunyai pandangan skeptikal terhadap peranan artis dalam kerja amal?

Kak Pora: Masih ingat betapa kempen amal untuk membantu rakyat Palestin yang dicetuskan kumpulan NSTP mendapat sambutan baik kalangan artis dan selebriti. Terima kasih daun keladi!
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

7-6-2024 08:29 AM GMT+8 , Processed in 0.800598 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list