CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8199|Reply: 0

[Sarawak] MPB diminta kaji pendekatan terbaik kekalkan pengeluaran, kualiti Lada Sarawak

[Copy link]
Post time 18-4-2024 09:10 PM | Show all posts |Read mode


Martin (tujuh kanan, berdiri depan) bersama Vincent (lapan kanan, berdiri depan) serta yang lain merakamkan kenangan bersama wakil penerima bantuan STLB daripada MPB pada majlis di Serian, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

SERIAN: Lembaga Lada Malaysia (MPB) diminta mengkaji pendekatan terbaik untuk mengekalkan pengeluaran dan kualiti Lada Sarawak agar dapat bersaing dengan tanaman komoditi lain.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben berkata, meskipun Sarawak bukan pengeluar terbesar lada tetapi ia mempunyai lada berkualiti tinggi dan terkenal di luar negara.

“Sekarang, memang ada persaiangan antara komoditi atau tanaman lain dan kini ramai pekebun kecil terlibat dengan kelapa sawit yang mungkin boleh memberikan pendapatan bulanan kepada mereka.

“Penanaman lada, ia memang agak rumit dari segi pengurusan selain memerlukan tenaga kerja untuk menuai sekarang yang semakin berkurangan. Ini cabarannya.

“Sebab itu saya katakan, dengan kajian dilakukan MPB, kita berharap penanaman lada dapat dilakukan berdekatan rumah berbanding sedia ada,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada anjuran MPB yang dihadiri Ketua Pengarahnya Vincent Sawat di Dewan Babuk Barum, Kampung Bunan Gega/Punok di Tebedu dekat sini, hari ini.

Martin berkata, Lada Sarawak harus dipelihara kerana mempunyai jenamanya yang tersendiri dan terkenal dalam industri tersebut.

Beliau berkata, antara kajian pendekatan yang mungkin boleh dipertimbangkan termasuk penanaman lada berdekatan dengan rumah, berbanding mengambil masa yang lama dengan berjalan ke kaki gunung atau bukit.

“Ia mungkin memakan masa, tetapi dengan penyelidikan yang terbukti, ia mungkin boleh ditanam berdekatan dengan rumah. Malah, pekebun atau petani bandar boleh mengambil bahagian.

“Ini sekali gus untuk meningkatkan pengeluaran keseluruhan kita kerana ia melibatkan bukan sahaja petani tradisional sedia ada,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu mengalu-alukan usaha MPB menggunakan pendekatan teknologi terkini iaitu plot tiang alternatif menggunakan PVC serta penanaman berkonsepkan integrasi.

Katanya, pada zaman sekarang terdapat persaingan untuk mendapatkan tanah di kaki bukit, iaitu tempat kegemaran petani menanam lada.

“Mungkin sekarang MPB menggunakan sistem fertigasi dalam tangki atau apa sahaja. Mereka sedang membuat kajian dan jika itu berlaku, saya berasakan bukan sahaja petani tradisional boleh terlibat, tetapi turut menjadi sebahagian daripada hobi petani bandar.

“Mereka boleh mempunyai lima hingga 10 pokok (lada) di belakang rumah mereka,” katanya.

Mengenai program penanaman lada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup, Martin berkata pada 2021 hingga Mac 2024 terdapat seramai 292 pekebun di bawah Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) melibatkan keluasan 32.4 hektar dengan nilai bantuan dianggarkan berjumlah RM1.2 juta.

“Manakala 345 pekebun pula merupakan penerima bantuan Skim Tanaman Lada Matang (STLM) yang melibatkan keluasan 49.2 hektar dengan nilai bantuan berjumlah RM1.3 juta,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

3-5-2024 02:16 PM GMT+8 , Processed in 0.137852 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list