Penyanyi Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin, 46, mengakui tidak kisah seandainya ditakdirkan bertaut kembali dengan bekas isterinya Arianie Mohd Abidin selepas enam tahun bercerai. Hattan berkata, dia kini telah bersedia untuk berumah tangga semula tetapi masih belum menemui calon yang sesuai untuk disunting sebagai isteri. "Kesibukan saya dengan perniagaan dan cabang seni menjadi penghalang untuk mencari pasangan. Namun, saya akui sejak kebelakangan ini hubungan dengan bekas isteri menjadi bertambah rapat. "Kami seperti malu-malu apabila berjumpa macam pasangan baru bercinta pula. Namun, tiada apa yang serius kerana kami tidak pernah berbincang apa-apa," katanya yang turut mendapat restu daripada anak tunggal mereka, Adam Eiman sekiranya mereka menjadi suami isteri semula. Jelas penyanyi lagu Mahligai Syahdu ini lagi, antara doa utama yang dipohonnya ketika mengerjakan umrah di Mekah baru-baru ini adalah untuk bertemu jodoh. "Ketika menunaikan umrah baru-baru ini, saya berdoa agar ditemukan seorang isteri yang baik dan solehah. Kalau diizinkan saya mahu berkahwin pada tahun ini. "Terus-terang saya tidak kisah pun siapa calonnya tetapi masalahnya memang tiada. Seandainya ada jodoh, saya sudah bersedia tetapi seandainya tiada saya reda," katanya. Hattan dan Arianie berkahwin pada 17 Disember 1996 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Eiman, 13. Pasangan itu bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya. |