Post Last Edit by charliestcloud at 15-2-2012 12:17
PADA awal tayangan telenovela Latin di televisyen, populariti siri-siri seperti Yo Soy Betty La Fea, Rosalinda, La Intrusa, El Amor No Es Como Lo Pintan dan sebagainya tiba-tiba meledak. Penonton yang sebelumnya lebih tertumpu kepada cerita-cerita Hindustan bagaikan beralih arah dan mula meminati telenovela.
Bermula saat itu, pelbagai stesen televisyen berlumba-lumba dan masing-masing tampil dengan slot telenovela sendiri. Dari segi rating, usah cakap, walaupun pilihan semakin bertambah, namun siri berkenaan berjaya mengumpul peminat tersendiri sehinggalah ke saat ini.
Menyedari hal demikian, Astro mengambil inisiatif untuk mewujudkan saluran baru iaitu Astro Bella (Saluran 133) yang bakal menghimpunkan siri telenovela terpilih dari seluruh dunia dalam pakej Mustika bersama Astro Citra dan Astro Warna. Ia sekali gus menggantikan saluran Astro B4U yang akan ditamatkan siarannya pada 5 Mac.
Dalam sesi pelancarannya baru-baru ini, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, sejajar dengan matlamat pakej Mustika iaitu memberikan kandungan terbaik dan premium, Astro perlu relevan dalam pengisian programnya.
“Seperti yang kita maklum, penonton Malaysia sukakan drama telenovela. Jadi, Astro Bella diwujudkan bagi menyajikan pelbagai telenovela menarik yang pastinya akan menepati cita rasa mereka.
“Astro Bella bukan hanya menyajikan telenovela Latin semata-mata, namun beberapa siri popular dari negara Asia seperti Filipina. Tidak ketinggalan, drama tempatan turut mengisi beberapa slot namun buat masa ini, ia masih dalam proses pemilihan.
“Dengan adanya Astro Bella, kami yakin ia akan berjaya melengkapkan hasrat kami untuk menjadikan pakej Mustika sebagai pusat hiburan premium sesuai buat tontonan seisi keluarga,” katanya.
Mensasarkan golongan wanita berusia 18 tahun ke atas, Astro Bella akan bersiaran 24 jam dan antara siri telenovela yang bakal mengisi slot bermula 5 Mac ini adalah Emperatriz, Eternamente Tuya, Pobre Diabla, Pasion Morena, Drowning City, Rivals, serta drama Itali, Girlfirends dan Fish Port Princess (Tagalog).
Sinonim dengan jalan cerita melodramatik, telenovela yang rata-ratanya berunsurkan cinta, kebencian, dendam, penipuan, pengkhianatan, perebutan kuasa, persahabatan dan sebagainya ini, pasti menyentuh hati penonton.
Dari segi pemilihan telenovela, Astro memutuskan untuk mengambil drama yang bukan saja popular di negara masing-masing namun masih menepati garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Untuk memberikan lebih impak, Astro tidak akan mengalih bahasa asal dan menyediakan sarikata sepenuhnya dalam Bahasa Melayu bagi mengekalkan keaslian serta keseronokan.
Mengulas lanjut mengenainya, Khairul berkata, perancangan untuk mewujudkan Astro Bella sebenarnya sudah dibuat secara terperinci sebelum ini.
Sebelum melancarkan saluran baru ini, Astro membuat kajian terlebih dulu dari segi penerimaan penonton. Selain itu, drama-drama yang dipilih juga berdasarkan potensi serta kesesuaian untuk penonton sasar.
Sumber: MyMetro |