|
| Fizz Fairuz tidak menyimpan perasaan dendam pada mana-mana pelakon.
|
FIZZ Fairuz yang terkenal dengan watak Aidil dalam drama bersiri Nur Kasih tidak kisah apabila namanya kurang menjadi bualan ramai seperti mana adiknya, Adam, lakonan Remy Ishak.
Katanya, setiap orang ada rezeki masing-masing dan sudah menjadi lumrah, benda baru akan menjadi sanjungan dan yang lama akan dilupakan.
Menurut Fizz, setiap orang yang menceburi bidang seni perlu bersedia menghadapi putaran roda kerana ada ketikanya berada di atas dan ada masanya di bawah.
“Mungkin disebabkan saya sudah lama dalam bidang ini, jadi orang tidak beri perhatian. Biasalah setiap kali ada orang baru dan kebetulan drama itu mendapat sambutan dan Remy pelakon utama, sudah tentu namanya diperkatakan.
“Pada saya, biarlah orang nak kata saya popular atau tidak kerana setiap kali berlakon saya sentiasa memberikan yang terbaik tanpa mengira dengan siapa saya digandingkan,” katanya jujur.
Fizz yang ditemui pada majlis memperkenalkan Koleksi Rantaian Kasih 2011 Habib Jewels di Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, dia tidak pernah ada perasaan dengki terhadap Remy atau sesiapa yang pernah berlakon dengannya.
Fizz yang turut berlakon sebagai Taufik dalam drama bersiri Stanza Cinta yang disiarkan pukul 9 malam setiap Ahad di TV3 berkata, dia tahu sejauh mana kemampuannya dalam bidang seni.
“Sebagai pelakon, saya sentiasa bersedia menerima kenyataan ada ketikanya nama di atas dan bila sampai waktu, nama di bawah. Itu semua adalah lumrah.
“Alhamdulillah, setakat ini saya sentiasa mendapat tawaran berlakon,” katanya terus terang.
Sementara itu, Fizz turut terpilih bersama Aznil Nawawi, Dynas Mokhtar, Irma Hasmie, Scha Al-Yahya, Julia Ziegler dan Ifa Raziah turut menggayakan koleksi terbaru barang kemas Habib Jewels untuk promosi Koleksi Rantaian Kasih 2011 sempena Ramadan ini.
Lebih 1,000 jenis barangan kemas rekaan baru berkonsepkan tradisional dan kontemporari dikeluarkan khas buat semua golongan, termasuklah kanak-kanak.
Selain mengeluarkan koleksi baru, Habib turut menawarkan perkhidmatan penilaian zakat, membersihkan dan membuat penilaian barangan kemas. -Utusan- |
|