|
Pelakon jelita, Dynas Mokhtar, 29, kini sedang hamil lima bulan dan doktor menjangkakan Dynas bakal bersalin pada 18 Jun hadapan. Menurut ibu kepada Khyra Khalyssa ini, pengalaman hamil kali ini agak berbeza dengan yang dulu.
“Mungkin sebab ini anak lelaki. Dulu saya tidak alami alahan seperti muntah-muntah pada awal kehamilan. Tapi kali ini saya sering muntah-muntah sehingga tidak selera hendak makan. Selama tiga bulan saya hanya makan roti dan keju untuk alas perut. Sekarang barulah saya terasa hendak makan. Lagipun doktor suruh saya makan banyak sikit sebab dia kata saiz bayi saya lebih kecil berbanding usia kandungan. Risau juga dengan keadaan ini,” ujar Dynas yang ditemui ketika majlis ulangtahun ke – 34, stor kecantikan Sasa kelmarin.
Dalam masa yang sama Dynas juga memberitahu yang dia tidak mengidam makanan-makanan pelik sepanjang tempoh kehamilannya itu. Jelas Dynas, dia cuma gemar minum minuman berkarbornat.
“Minum air gas memang tidak baik untuk kesihatan bayi. Doktor dah beberapa kali ingatkan saya sebab dia bimbang saya akan bersalin awal. Bukan saya tak cuba sekat selera, tapi keinginan itu sangat kuat. Mungkin selepas sebulan dua ini kurang sedikit. Mudah-mudahan,” ujar Dynas mengakui tidak suka bersolek dan memakai wangian ketika ini.
Sementara itu, Dynas juga mendedahkan dia sebenarnya tidak merancang untuk hamil dalam masa terdekat ini. Namun, apabila disahkan hamil, dia tidak menolak kerana menganggap itu sudah rezeki untuknya dan suami.
“Saya sebenarnya baru sahaja berhenti menyusu badan Khyra. Kalau ikutkan, memang tak rancang hendak hamil dalam waktu terdekat ini sebab saya sedang mendapatkan rawatan untuk mendapatkan bentuk badan yang asal. Namun, sudah rezeki saya dan suami. Jadi saya pun terima dengan hati terbuka,” ujar Dynas.
Sibuk kumpul stok DNA
Kalau ibu-ibu lain sibuk membeli barangan keperluan bayi ketika hamil, lain pula ceritanya dengan Dynas. Duta pusat pelangsingan Kunzense ini sibuk mengumpul stok untuk butik DNA yang dimilikinya.
“Saya risau kalau butik tidak mempunyai stok mencukupi sepanjang tempoh saya cuti bersalin nanti. Cuti bersalin ini bukan sekejap, tapi lama. Sebab itu saya mahu buat persediaan yang rapi. Stok koleksi raya pun saya dah ada. Selain itu, saya juga dalam perancangan untuk muncul dengan koleksi baju bapa dan anak yang sepadan. Kalau boleh nak lancarkan sebelum Hari Bapa. Saya mahu beri pilihan kepada golongan bapa pula sebab selalunya golongan ibu yang suka berpakaian sedondon dengan anak,” ujar Dynas lagi.
Bermula bulan hadapan, Dynas akan mengacarakan sebuah program terbaru di RTM berjudul ‘Adoi Mak Kahwinkan Aku’. Program 13 episod ini mengupas isu perhubungan dan kekeluargaan.
Credits: gua.com.my |
|