|
Raja Azmi: Apa salahnya saya miang nak bertunang lagi?
16 Jul 2013 12:44am
Anak-anak Raja Azmi gembira dengan pertunangan ibu mereka. Dari kiri Puteri Suraya, 28, Megat Deli, 19 dan Puteri Suaida Jalani, 26.
Oleh Noorsila Abd Majid
KUALA LUMPUR: Siapa sangka pada usianya yang menjangkau 54 tahun, produser filem sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman akan bertemu jodoh sekali lagi? Tetapi itu semua adalah ketentuan Allah, kata Raja Azmi yang selamat bertunang dengan cinta hatinya, Mohamad Eddie Ghazali, 45, pemain bass dari kumpulan rock 1990an CRK, pada petang Isnin.
“Orang kata saya dah tua, tak payah lah miang sangat nak bertunang,” ujar Raja Azmi. “Tetapi apa salahnya saya miang nak bertunang sekali lagi? Cinta adalah anugerah Allah dan tidak mengenal usia. Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk bertemu jodoh buat kali kedua.”
Majlis pertunangan pasangan romantis itu telah diadakan pada pukul 6.30 petang di kediaman produser filem Anak Ikan itu di Ukay Perdana, Hulu Kelang, Selangor.
Ibu Eddie, Mariah Abu Samah, menyarungkan cincin ke jari bakal menantunya.
Yang menariknya, rombongan peminangan diketuai oleh anak sulung Eddie, Mohamad Daniel. “Saya ingin meminang mama (Raja Azmi) bagi pihak ayah saya yang sudah lama membujang,” katanya kepada Puteri Suraya Jalani, anak sulung Raja Azmi yang mewakili pihak ibunya.
Eddie menduda sejak kematian isterinya pada tahun 2005. Raja Azmi pula bercerai dengan suaminya, jurulatih badminton negara Jalani Mohamad Sidek tahun lalu.
Takdir mempertemukan mereka enam bulan lalu melalui seorang kenalan rapat, dan kedua-duanya mengaku jatuh cinta pandang pertama.
“Tarikh 15 haribulan ini kami pilih kerana itulah kali pertama kami bertemu dan jatuh cinta,” ujar Raja Azmi. “Kami mengikat tali pertunangan ini untuk memberi tempoh kepada kami untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam lagi.”
Wajah manis bakal suami Raja Azmi, Eddie.
Pada majlis yang sederhana tetapi meriah itu, pihak lelaki menyerahkan tiga dulang hantaran yang berupa buah-buahan, manisan, coklat Kit Kat dan telekung.
Manakala pihak perempuan membalas dengan lima dulang hantaran terdiri daripada jam tangan dan beg duit jenama Fossil, kemeja, kek, coklat dan biskut.
“Hantaran saya semua dibuat oleh anak-anak,” ujar Raja Azmi yang kelihatan berseri-seri dengan solekan khas jurusolek selebriti Qi Qi. “Mereka tak benarkan saya tengok sebelum majlis ini berlangsung.”
Suraya yang menjadi ketua perancang perkahwinan ibunya hanya tersenyum dan berkata, “Masa saya kahwin dulu mama sibuk buat hantaran saya. Sekarang giliran saya dan adik-adik pula untuk uruskan perkahwinan mama. Kami adik-beradik gembira melihat mama dan Uncle Eddie bahagia bersama.”
Ditanya sama ada ayahnya akan dijemput ke majlis perkahwinan ibu mereka, Suraya menjawab: “Sudah semestinya. Papa wajib hadir.”
Majlis pernikahan Raja Azmi dan Eddie akan diadakan pada 15 September depan.
-ABN News- |
|