CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5235|Reply: 1

MINI Cooper S generasi ketiga diperkenalkan

[Copy link]
Post time 14-3-2014 03:14 PM | Show all posts |Read mode


MINI Malaysia hari ini memperkenalkan MINI Cooper dan MINI Cooper S generasi ketiga. Varian terbaharu itu mengekalkan aspirasi model terdahulu yang menjadi jenama kereta kompak premium paling menarik di dunia. Penambahbaikan signifikan dilakukan kepada semua aspek seperti keseronokan pemanduan, kualiti premium dan keupayaan yang terus menyerlahkan gaya MINI yang tidak dapat ditiru. MINI edisi baharu ini mengetengahkan ciri rekaan utama, enjin-enjin generasi baru untuk meningkatkan keseronokan memandu serta kecekapan, di samping teknologi perhubungan dan fungsi yang inovatif.

“MINI baharu dibina sepenuhnya daripada asal. Ia dihasilkan secara langsung daripada kepakaran pembangunan BMW Group yang mengagumkan. Kereta itu akan menetapkan penanda aras baharu dalam segmennya, lebih berbanding sebelumnya. Ini kerana MINI kini menampilkan enjin-enjin baharu dan teknologi MINIMALISM agar lebih efisien dari segi penggunaan bahan api dan emisi. Teknologi-teknologi MINI Connected yang baru pula menawarkan ketersambungan lebih baik, sekali gus menaikkan profailnya dalam evolusi sejarah automotif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr. Gerhard Pils ketika beliau memperkenalkan MINI baharu.

Reka bentuk luaran MINI juga telah diperhalusi secara evolusionari bersama penampilan berkuasa yang ditambah baik bagi mengukuhkan lagi karekter sporty MINI baharu. Kereta ini sekarang ditawarkan dalam dua varian MINI Cooper – MINI Cooper dan MINI Cooper Chilli, selain dua varian untuk MINI Cooper S – MINI Cooper S dan MINI Cooper S Wired.

Varian-varian MINI baharu boleh dikenal pasti menerusi jejari gril radiator, hendal pada bahagian belakang berwarna putih aluminium, garis bampar dengan warna hitam berkilat dan elemen kemasan krom pada paip ekzos. Varian MINI Cooper S pula menyerlahkan penampilannya yang sporty menerusi ciri-ciri seperti gril radiator dengan corak sarang lebah, jalur bampar berwarna kelabu antrasit dan paip ekzos yang diletakkan di tengah-tengah. Gril radiator pada varian sporty ini juga ditampal dengan logo “S” bersama kemasan berwarna krom.

Reka bentuk lampu bulat yang klasik pada MINI baharu telah diubah dengan menampilkan lingkaran krom yang lebar di sekelilingnya dan lampu tambahan diintegrasikan pada apron hadapannya. MINI Cooper baharu didatangkan dengan lampu jenis Halogen dan lampu kabus untuk varian asas. Sementara lampu nyalaan siang hari (daytime running lights) LED berwarna putih, lampu utama LED serta lampu kabus yang menawarkan sumber lampu rendah dan tinggi hadir sebagai ciri standard untuk varian MINI Cooper Chilli, MINI Cooper S dan MINI Cooper S Wired.

Dari segi pilihan rim pula, MINI baharu menawarkan rim Loop Spoke Silver bersaiz 16 inci untuk varian MINI Cooper dan rim Tentacle Spoke Silver bersaiz 17 inci bagi varian MINI Cooper S.




MINI baharu mengetengahkan generasi enjin serba baharu. Buat pertama kalinya dalam tempoh lebih separuh abad, kedua-dua enjin tiga dan empat slinder dengan Teknologi Turbo MINI TwinPower akan digunakan pada varian MINI baharu. Enjin petrol ini memiliki teknologi pengecas turbo, pancitan terus bahan api dan kawalan aci sesondol boleh ubah pada bahagian pengambilan dan ekzos (double VANOS). Semua varian turut dilengkapi sistem kawalan injap boleh ubah dalam bentuk VALVETRONIC yang telah dipatenkan oleh pihak BMW Group. Hasilnya, ia mampu meningkatkan keseronokan pemanduan melalui peningkatan prestasi dan penjimatan bahan api serta emisi sehingga 27 peratus.

Nadi varian MINI Cooper ialah enjin petrol 3 silinder bersesaran 1.5 liter yang mampu menjana kuasa maksimum 100kW/136hp dengan tork puncak 220Nm demi menawarkan prestasi pemanduan lebih sporty berbanding model sebelumnya. MINI Cooper baharu boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.8 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 210km/j. Purata penggunaan bahan apinya pula sekitar 4.7 liter bagi setiap 100km dan tahap bacaan emisi CO2 sebanyak 109g/km.

Varian MINI Cooper S baharu pula dilengkapi enjin 4 silinder bersesaran 2.0 liter yang lebih berkuasa. Ia mampu menjana kuasa sehingga 141kW/192hp dan tork maksimum 280Nm. MINI Cooper S baharu boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 6.7 saat dan mampu mencatat kelajuan maksimum 233km/j. Di sebalik pecutan yang mengagumkan itu, penggunaan purata bahan api berdasarkan kepada ujian EU hanyalah 5.4 bagi setiap 100km dengan bacaan emisi CO2 cuma 125g/km.

Khas untuk varian MINI Cooper S baharu ialah transmisi automatik enam kelajuan sports yang menawarkan tempoh penukaran gear lebih pendek. Ia juga boleh dioperasikan dalam mode manual menggunakan paddle shifter yang terletak di bahagian belakang stereng.

Opsyen Mod Pemanduan MINI baharu menyediakan asas terbaik untuk pemanduan yang seronok dan mengujakan, selain penjimatan yang dimahukan oleh pemandu. Suis rotari yang terletak di bahagian bawah tuil gear digunakan untuk mengaktifkan mod MID standard, SPORT atau GREEN.

Mod GREEN menawarkan gaya pemanduan santai dan menjimatkan minyak di mana tenaga yang digunakan untuk menjana fungsi-fungsi elektrikal seperti pendingin hawa dan pemanas cermin sisi dikurangkan. Di dalam kereta yang dilengkapi transmisi automatik, fungsi luncuran (coasting) akan diaktifkan sebaik sahaja pedal pendikit dilepaskan, apabila rangkaian kuasa berada pada kelajuan di antara 50 dan 160km/j. MINI baharu akan terus bergerak dengan enjin berada pada kelajuan melahu dan kadar penggunaan minyak yang minimum. Sementara pada mod SPORT memegang gear dalam tempoh lebih lama dan menukar pemetaan enjin agar bunyi dan rasanya menjadi lebih agresif untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih sporty. Mod MID pula menggabungkan karekter mod GREEN dan SPORT untuk memberikan pengalaman pemanduan yang seimbang.

MINI baharu juga menampilkan sistem keselamatan tambahan yang didatangkan sebagai ciri standard. Ia merangkumi beg udara hadapan, sisi dan jenis curtain untuk pemandu dan penumpang. Semua tempat duduk dipasang dengan tali pinggang keledar tiga poin dengan peregang dan pengehad daya di bahagian hadapan. Selain ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di bahagian belakang. Dalam kemalangan yang melibatkan pejalan kaki, alat pengesan khas akan mengaktifkan mekanisma pyrotechnical dengan menaikkan bonet enjin untuk memberi ruang deformasi dan mengurangkan risiko kecederaan apabila terkena bahagian enjin yang keras. Terdapat juga penyerap hentak impak, ia secara tepat mengurangkan elemen deformasi dan sebahagian daripada bonet aktif, semua elemen ini mampu mengurangkan risiko kecederaan ke atas pejalan kaki.

Untuk ruang dalaman, varian asas MINI Cooper menawarkan upholsteri fabrik berwarna hitam (Cloth Firework Carbon Black) bersama kemasan berwarna kelabu (Hazy grey), garis dalaman krom, pendingin hawa manual, MINI Radio Basis dengan fungsi Bluetooth serta stereng pelbagai fungsi yang dibalut kulit dengan kawalan lampu dan alat pengesan hujan automatik. Varian MINI Cooper Chilli pula menawarkan tambahan upholsteri jenis kulit berwarna hitam (Leather Cross Punch Carbon Black), pendingin hawa automatik dua zon, MINI Radio Visual Boost serta tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang.




Untuk varian MINI Cooper S, model asasnya ditawarkan dengan upholsteri jenis kulit berwarna hitam (Leather Cross Punch Carbon Black) dengan kemasan Black Checkered, garis dalaman krom, kemasan bumbung berwarna kelabu Antrasit, cermin pandang belakang anti silau, pendingin hawa automatik dua zon, MINI Radio Visual Boost, stereng multi fungsi John Cooper Works yang dibalut kulit dengan kawalan lampu dan alat pengesan hujan automatik serta tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang. Manakala varian MINI Cooper S Wired pula ditambah dengan perehat tangan, sistem hi-fi Harman Kardon bersama 12 unit pembesar suara dan tambahan fungsi Kawalan Suara.

Dengan elemen-elemen indikator yang baru dan pertambahan fungsinya, panel instrumen tengah MINI yang terkenal itu mengukuhkan lagi interaksi di antara pemandu dan kereta. Sistem MINI Connected yang menjadi ciri standard untuk varian MINI Cooper Chilli, MINI Cooper S dan MINI Cooper S Wired menawarkan integrasi telefon pintar di dalam kereta secara ekstensif. Ia juga membolehkan perkhidmatan berasaskan internet dari segi infotainmen, komunikasi dan pengalaman pemandu digunakan. MINI Connected ditawarkan menerusi skrin warna bersaiz 6.5 inci pada varian MINI Cooper Chilli dan MINI Cooper S. Manakala varian MINI Cooper S Wired mempunyai paparan skrin warna bersaiz 8.8 inci yang memaparkan maklum balas operasi fungsi kenderaan, pendingin hawa, infotainmen, komunikasi, peta navigasi dan arah laluan serta grafik khas untuk MINI Connected Services.

Program-program MINI Connected disediakan melalui aplikasi telefon pintar. Ini termasuklah fungsi-fungsi berkaitan dengan kereta seperti Mission Control, Dynamic Music, Driving Excitement dan MINIMALISM Analyser. Di samping perkhidmatan berasaskan dalam talian seperti fungsi web radio, penerimaan berita RSS dan penggunaan rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter dan Foursquare. Semua fungsi itu boleh dioperasikan dalam stail tipikal MINI – selesa, intuitif dan selamat.

Pemilihan dan kawalan fungsi-fungsi ini dibantu oleh alat kawalan baharu pada konsol tengah yang hadir bersama ciri Radio MINI Visual Boost untuk varian MINI Cooper Chili dan MINI Cooper S. Sementara sistem navigasi Professional dipasang pada varian MINI Cooper S Wired. Paparan dan konsep operasi yang inovatif disokong oleh rekaan pencahayaan panel instrumen tengah yang memang unik pada MINI. Butiran lampu LED pada keliling instrumen yang berbentuk bulat (pilihan) boleh didapati dalam enam warna. Ia mampu memberi maklum balas kepada situasi terkini di atas jalan raya dan langkah operasi khusus, berdasarkan kepada pilihan pemandu.

Ruang dalaman MINI baharu bukan sahaja menarik perhatian di siang hari, malah konsep pencahayaannya yang unik turut menukar pemanduan pada waktu malam menjadi satu pengalaman yang mengasyikkan. Pakej MINI Excitement didatangkan sebagai satu ciri standard untuk varian Cooper dan Cooper S sebagai sebahagian daripada set-up standard pencahayaan dalaman. Instrumen dan modul-modul operasi diiluminasi, tidak terkecuali kemasan pintu dan kawasan konsol tengah. Pemandu juga boleh menukar skim pencahayaan dalaman kereta kepada empat warna berbeza iaitu biru (Sky Blue), kuning (Sunrise Yellow), oren (Sunset Orange), merah jambu (Cool Pink), hijau (Flashy Green) atau merah (Devil Red).

Ciri standard yang ditambah pada MINI baharu untuk meningkatkan keselesaann dan gaya individu termasuklah cermin sisi yang boleh dilaras secara automatik, jalur pelindung sil pada pintu dengan penerangan model secara spesifik, Garis-garis Warna dengan warna hitam (carbon Black), sistem pendingin hawa automatik dua zon, alat pengesan hujan dah kawalan lampu automatik, sistem hi-fi Harman Kardon serta stereng sports yang dibalut dengan kulit. Opsyen lain ialah perumah cermin sisi dengan pemanas dan boleh dilipat, serta fungsi anti silau pada cermin pandang belakangnya.

MINI Cooper dan MINI Cooper S boleh didapati dalam sepuluh warna berbeza dengan penambahan warna-warna MINI baharu iaitu oren (Volcanic Orange), kelabu (Moonwalk Grey), merah (Blazing Red), biru (Deep Blue) dan kelabu (Thunder Grey) yang eksklusif untuk varian MINI Cooper S sahaja. Manakala bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan jalur pada bonet ditawarkan dalam dua warna pilihan iaitu putih atau hitam.

MINI Cooper Chillidan MINI Cooper S Wired hadir dengan pakej MINI Service Inclusive yang menawarkan penjagaan selepas jualan komprehensif selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 50,000km. Program ini juga ditawarkan kepada varian asas MINI Cooper dan MINI Cooper S dengan kos tambahan sebanyak RM5,900.

Jentera ini boleh didapati di semua lapan pengedar MINI di seluruh negara pada acara MINI Weekend yang bakal berlangsung pada hujung minggu 12 dan 13 April 2014. Anggaran harga runcit (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) MINI Cooper dan MINI Cooper S baharu ialah:

MINI Cooper – RM 178, 888
MINI Cooper Chilli – RM 198, 888
MINI Cooper S – RM 228, 888
MINI Cooper S Wired – RM 248, 888

*(Ini semua adalah harga anggaran dan bergantung kepada Harga Jualan yang Diluluskan oleh Kerajaan)


Credit : http://funtasticko.net
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-3-2014 12:24 PM | Show all posts
skarang trending grill dpn mmg mcm tu ke..mcm fiesta/martin kan =.=
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 06:34 AM GMT+8 , Processed in 0.056254 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list