|
TELUK INTAN 17 Mei - Masyarakat di sini melahirkan rasa pelik de­ngan kenaikan harga barangan secara mendadak, khususnya sayur yang dikatakan sebagai sabotaj untuk memburuk-burukkan kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Kenaikan harga sayur dikatakan berlaku di Pasar Besar Teluk Intan di sini sejak seminggu lalu dengan harga jualan berbeza-beza mengikut kaum.
Antara sayur yang dikatakan naik secara mendadak adalah sawi daripada RM2.40 sekilogram kini mencecah RM6, kobis (RM2.50 kepada RM6 sekilogram) manakala cili merah (RM6 kepada RM9 sekilogram).
Selain itu, harga pasaran sengkuang juga naik RM2.60 sekilogram, namun dijual cuma 70 sen sekilogram kepada pembeli Cina.
Begitu juga limau kasturi yang naik mendadak daripada RM3 kepada RM12 sekilogram.
Difahamkan peniaga di pasar besar di sini mendakwa kenaikan harga sayur itu disebabkan kenaikan harga baja.
Namun, kenaikan harga sayur itu disifatkan sebagai disengajakan, bertujuan untuk menimbulkan kemarahan rakyat kepada kerajaan.
Sementara itu, seorang pemimpin tempatan di sini menyatakan rasa kesal jika benar kenaikan tersebut berlaku kerana jelas bertujuan untuk memburuk-burukkan kerajaan.
Ketua UMNO Cawangan Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Muhammad Rasit berkata, ini merupakan satu tindakan sabotaj terhadap kerajaan menjelang PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini.
"Apabila harga barangan naik, sudah pasti rakyat marah, namun hakikatnya ini bukan salah kerajaan, sebaliknya hanyalah mainan politik semata-mata.
"Jadi saya berharap pihak yang berkenaan segera menyiasat perkara ini. Ini tidak seharusnya berlaku, apatah lagi di saat rakyat akan memilih wakil rakyat dalam PRK tidak lama lagi," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
|
|