Ieda Moin kecewa diperalat
Selepas melahirkan cahaya mata sulung, Nur Dhia Dania yang kini berusia enam tahun, berat badan Ieda Moin, 35, naik mendadak hingga mence-cah 72 kilogram (kg) dan dia mengambil masa lima tahun untuk kembali ke berat badan idealnya iaitu 47kg.
Selain bersenam dan menjaga pemakanan, dia juga mengambil jamu keluaran tempatan. Namun, di sebalik kejayaan me-ngurangkan berat badannya dengan mengamalkan produk itu, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin berasa dipergunakan pengasas produk itu.
Katanya, selepas dia mencuba produk itu beberapa bulan dan terbukti keberkesanannya, pengasas produk berkenaan menyatakan hasrat mahu melantiknya sebagai duta. Sebelum itu, Ieda juga banyak mempromosikan produk berkenaan melalui Instagram, Facebook, akhbar dan majalah.
“Bagaimanapun, selepas produk itu mendapat sambutan dan pengasas produk itu sudah kenal ramai artis lain serta pihak media, dia mula memburukkan saya kononnya saya bermasalah. Jika tak mahu lagi bekerjasama dengan saya, jangan rosakkan nama baik saya kerana sejak remaja saya jadi artis, saya tidak pernah mencetuskan masalah de-ngan sesiapa.
“Nampaknya dia hanya memperalatkan saya untuk melariskan produknya dan saya kini tidak lagi menggunakan produknya, cukup dengan menjaga diet dan bersenam. Lebih mengecewakan saya, mereka masih menggunakan gambar saya pada produk itu.
“Sepatutnya mereka tidak perlu gunakan gambar saya lagi kerana saya tiada kena mengena lagi dengan produk itu,” katanya.
Menurut Ieda, di sebalik sikapnya yang suka berkongsi apa saja dengan peminat di laman sosial, dia tak sangka ada orang yang mengambil kesempatan terhadapnya.
“Melihatkan perubahan diri saya, peminat akan bertanya produk apa yang saya makan. Saya tak lokek untuk bercerita kerana setiap wanita mahu nampak cantik, kurus dan langsing. Saya beritahu nama produk berkenaan walaupun tidak dilantik sebagai jurucakap atau duta kerana saya hanya mahu berkongsi dengan peminat.
“Namun sikap pengasas produk itu keterlaluan kerana selepas ia laris, terus mereka lupa pada janji,” katanya.
Sudah kurus tak laris pula
Beralih kepada perkembangan seninya, kata Ieda, tawaran berlakon tidak putus meskipun dia bertubuh gempal dulu tetapi kebanyakan watak yang diterimanya sebagai ‘mak cik-mak cik’ dan pembantu rumah.
Bagaimanapun, agak pelik tawaran semakin berkurangan apabila dia sudah kurus.
“Apabila produser melihat saya kurus, mereka sanggup tarik balik tawaran kerana mungkin mereka fikir hanya orang gemuk saja sesuai membawakan watak komedi. Apa mereka ingat perempuan kurus tak boleh berlawak. Stigma itu perlu dihapuskan dan saya tak mahu kekal gemuk semata-mata untuk memenuhi kemahuan orang lain.
“Bukan saja saya tak selesa bertubuh gemuk, saya bimbang penyakit bertandang dan sebagai wanita, siapa yang tak mahu bertubuh langsing. Selepas beberapa ketika tawaran berkurangan, Alhamdulillah berkat kesabaran saya, tawaran berlakon mencurah semula de-ngan berat badan sekarang, saya didatangi tawaran membawakan watak yang tidak pernah saya bawa sebelum ini iaitu watak
penggoda dan perempuan ‘daring’.
“Watak pembantu rumah masih ada di mana terbaru saya berlakon sebagai pembantu rumah bernama Solehah dalam drama 13 episod, Selamat Pengantin Madu yang akan mengisi slot Zehra di TV3. Sekarang produser sudah ‘buka mata’ dengan menawarkan pelbagai watak,” katanya.
Ieda juga diberi peranan sebagai setiausaha berperwatakan gila-gila dalam drama bersiri Misiku Kuza 2 yang kini bersiaran serentak di Astro Ria dan Maya HD, setiap Isnin, mulai 14 Julai lalu, jam 10 malam. Ieda juga terbabit dalam telefilem raya, Klap Klip (RTM) dan Aura Boche Raya (Astro).
“Muka saya juga dah jadi macam ‘pasport’ untuk ‘gameshow’ yang mana untuk raya ini saya terbabit dalam gameshow raya TV9 bersama Zulin Aziz, Sherry Alhadad,
Nas T dan Arja Lee,” katanya.
Selain itu, Ieda juga laris sebagai pengacara majlis. Namun, dia yang menceburi kerjaya seni menerusi bidang nyanyian bersama adiknya, Eddy, mengakui gentar untuk menyanyi seorang diri di pentas.
“Kalau setakat menyanyi satu dua lagu, ok lagi. Itu pun saya terpaksa menyanyikan lagu pe-nyanyi lain kerana semua lagu saya duet dengan Eddy. Sejak berkahwin dan ada anak, Eddy tak mahu menyanyi lagi kerana dia sudah bekerja tetap dengan pendapatan yang lebih stabil.
“Sekiranya saya benar-benar nak aktif semula menyanyi, saya mesti ada rakan duet,” katanya.
Sejak musim pertama Maharaja Lawak Mega (MLM) diperkenalkan kepada penonton, ada yang mencadangkannya menyertai program itu dengan rakan baik-nya, Noorkhiriah tetapi selepas mereka berbincang, bukan semua orang boleh buat ‘stand-up comedy’.
“Mereka yang menyertai MLM adalah orang lama dan berpengalaman. Muka baru yang bertanding pun bukan calang-calang. Saya dan Noor tidak mahu memperbodohkan diri kami di pentas, jadi lebih baik kami tolak saja tawaran itu. Kalau nak gunakan tabiat melatah saya untuk menghidupkan situasi komedi, ia hanya memalukan saya balik,” katanya.
Last edited by maxim on 20-7-2014 12:27 AM
|