KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Balik kampung menjelang Aidilfitri
adalah suatu kemestian dan menjadi tradisi kepada setiap perantau terutamanya
yang berkhidmat serta bermastautin di kota raya seperti Kuala Lumpur.
Berbaki beberapa hari sahaja lagi menjelang ketibaan 1 Syawal, kebanyakan
warga kota sibuk membuat persiapan dan antara yang menarik perhatian adalah
Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral), lokasi tumpuan warga kota untuk pulang
ke desa.
Amirul Mukmin Abas, 23, yang berasal dari Pulau Pinang, berkata suasana
kemeriahan Aidilfitri dapat dilihat di KL Sentral sepanjang tempoh musim balik
kampung dan pada tahun ini keadaan lebih sesak berbanding tahun sebelumnya.
"Tiket bas dibeli sejak awal Ramadan kerana kebiasaannya, tiket bas bagi
perjalanan ke utara tanah air cepat habis dan kebanyakan yang memilih untuk
menaiki kenderaan awam adalah atas faktor penjimatan kos," katanya.
Seorang pekerja swasta, Isma Izzati Ismail, 26, berpendapat pulang berhari
raya dengan pengangkutan awam adalah satu cara untuk menikmati kemeriahan
lebaran bersama warga kota yang lain.
-- LAGI
KL SENTRAL-RAYA 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Kebanyakan kawan yang berasal dari pantai timur dan merantau ke Kuala
Lumpur ini lebih memilih untuk pulang beraya dengan pengangkutan awam. Saya
menempah tiket bas sejak minggu pertama berpuasa kerana risau tidak dapat pulang
beraya jika saya tidak beli tiket awal-awal," katanya kepada Bernama.
Bagi Medelina Kong, 21, pulang ke kampung dengan pengangkutan awam dari KL
Sentral adalah satu kebiasaan baginya dan kemeriahan di situ memberikan rasa
serta suasana hari raya.
"KL Sentral adalah permulaan perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke kampung
dengan menaiki KTM Intercity dan setiap kali saya bercuti. Saya memilih untuk
memulakan perjalanan dengan pengangkutan awam di sini," kata Medelina yang
berasal dari Taiping, Perak.
Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata warga kota yang pulang ke kampung,
yang memulakan perjalanan dari KL Sentral terdiri daripada pekerja am dan
pelajar.
-- BERNAMA
NZMS JM ROS