PENDANG, 29 Julai (Bernama)-- Kemeriahan Aidilfitri sememangnya dirasai terutamanya di kampung dan hal ini paling jelas kelihatan dan dinikmati oleh kanak-kanak. Kesibukan ibu bapa mengurus anak-anak mereka ketika beraya merupakan suatu pengalaman menarik dan sememangnya amat menggembirakan bagi kebanyakan golongan ibu bapa terutamanya yang baru merasai pengalaman menjadi ibu bapa. Pasangan Hasnan Kadir, 55 dan isteri Hashimah Hashim, 45, merasakan kemeriahan Aidilfitri adalah salah satu perkara yang tidak dapat diperoleh di mana-mana jua melainkan ketika bersama anak tunggal kesayangan mereka, Akmal Hisham Hasnan, 12. "Anak tunggal kami biasanya akan berjalan satu kampung dengan sepupu-sepupunya dan memungut duit raya sebanyak yang mungkin...nak lawan siapa yang lagi banyak duit raya dengan kawan-kawan sekolahnya," kata Hasnan ketika ditemui Bernama hari ini. Sementara itu, lain pula ceritanya bagi Mohd Zaidi Hashim, 40, yang merasakan kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung bersama anak-anak, saudara mara dan rakan-rakan tercinta adalah suatu keistimewaan yang wajib beliau rasai setiap tahun. --LAGI AIDILFITRI-KAMPUNG 2 (AKHIR) PENDANG "Hari raya merupakan hari bahagia yang mana semua rakan taulan dan saudara mara yang dirindui sekian lama berkumpul dan saling bercerita soal pekerjaan, kehidupan seharian, bermaafan dan mengeratkan silaturahim," kata Zaidi yang merupakan penjawat awam. Dalam pada itu, Aidilfitri turut menjadi saat yang dinanti oleh golongan warga tua di kampung yang sekian lama merindukan kepulangan anak-anak yang merantau jauh ke kota. Bagi Chah Mat, 70, Aidilfitri adalah saat di mana semua anak-anak dan cucu-cucu beliau berkumpul beramai-ramai di rumahnya dan saling sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri. "Cucu makcik dan anak sulung makcik biasanya balik awal dan akan sibuk menguruskan hal masak-memasak, manakala anak kedua makcik akan sibuk memasang langsir baharu bersama suaminya, dan anak bongsu makcik dengan empat anaknya akan sibuk mengemas persekitaran rumah, membakar lemang dan makcik sangat bertuah mampu memilik keluarga yang harmoni begini," jelasnya lagi. Kebanyakan warga kota yang pulang ke kampung dilihat amat membawa kegembiraan dan kebahagian kepada ibu bapa yang menanti dengan penuh harapan. --BERNAMA NZMS NZMS DC 07/29/2014 19-04ST
|