Saya tegur Khalid kerana bebankan pelajar Unisel – Anwar (Oleh: Fiza Halim)
SHAH ALAM 29 SEPT: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sebelum ini menegur pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang membebankan pelajar Universiti Selangor (Unisel). Katanya, beliau tidak dapat menerima perkara itu sedangkan kerajaan negeri mempunyai simpanan rizab yang tinggi untuk membantu pelajar yang tidak berkemampuan. “Sebab saya menegur kepimpinan MB sebelum ini adalah saya kata dengan wang yang ada, saya tidak boleh terima pelajar ditekan, menghukum pelajar yang tidak boleh membayar yuran dan tidak boleh menduduki peperiksaan. “Kalau wang tidak ada tidak apa, saya baru dapat maklumat beberapa mahasiswa yang lambat bayar yuran akan didenda, dan kemudian tidak dibenarkan menduduki peperiksaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di program Syarahan ‘Memerangi Ekstrimis’ di Unisel Shah Alam. Anwar dalam ucapannya memaklumkan perjumpaannya dengan Menteri Besar yang baharu, Mohamed Azmin Ali di kediamannya semalam bagi membenarkan pelajar yang tidak dapat melunaskan yuran supaya dapat menduduki peperiksaan. “Semalam dengan Menteri Besar, saya sebut bahawa pelajar yang sah dia itu miskin, tidak mampu bayar yuran Universiti, pihak Universiti tidak boleh melarang dia daripada menduduki peperiksaan, Menteri Besar setuju,” tegasnya. Dalam pada itu, Anwar menekankan bahawa Pakatan Rakyat sentiasa konsisten menggunakan prinsip kepdulian rakyat, yang menjadi asas kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. Beliau juga mahu pihak Unisel memahami tujuan Pakatan Rakyat memecat Khalid dari kepimpinannya yang bermula dengan ‘Langkah Kajang’. “Saudara kena faham kenapa sebab saya tidak setuju dengan langkah pentadbiran yang dibuat Khalid. Walaupun sahabat saya, sahabat baik saya, sahabat keluarga saya, tetapi apa erti wang yang banyak, bila anak kita dinafikan,” ujarnya. Lebih 200 penuntut Unisel hadir untuk mendengar syarahan bertajuk ‘Memerangi Ekstrimisme’ yang diadakan di Lecture Theatre 2, Tingkat 4 , Universiti Selangor (UNISEL) Seksyen 7 Shah Alam. Syarahan dimulakan dengan ucapan oleh Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian disusuli dengan Prof Dr Abdullah bin Sheikh Abdul Majeed Al-Zindani. Prof Dr Abdullah merupakan undangan khas dari negara Yaman yang merupakan Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Sains Politik Al Eman Universiti ,Perunding Ekonomi kedutaan Republik Yaman di Khartoum dan Ketua Pengarah Syarikat Teknologi Gas Petroleum. Antara yang turut hadir ialah Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin, Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri, Biro Penerangan KEADILAN, Datuk Nur Manuty dan beberapa lagi pemimpin Keadilan. Syarahan ini merupakan anjuran daripada Centre for Reform, Democracy & Social Initiatives dengan kerjasama Pejabat Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Pejabat YB ADUN Seri Setia dan Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam.
|