|
KISAH cinta pelakon yang juga model cantik
ini bukan lagi rahsia di kalangan peminat seni
tempatan. Namun dia mengakui belum
bersedia menamatkan zaman solonya dalam
masa terdekat.
Akui Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama
layarnya Tiz Zaqyah, dia bagaimanapun tidak
pernah menolak jika jodohnya sudah tiba.
"Bagi saya, kalau sudah jodoh tidak akan ke
mana. Sampai masanya saya juga akan
mendirikan rumah tangga seperti wanita lain.
"Cuma untuk memberikan tarikh yang sebenar
memang belum diketahui lagi.
"Apa yang boleh saya katakan, saya akan
berkahwin sebelum usia 30 tahun," kata
pelakon berusia 26 tahun ini.
Akui bintang Kusinero Cinta ini, dia
bagaimanapun kurang selesa berkongsi
perkara peribadi kepada umum.
"Lebih baik bercerita mengenai karier dan
perkara yang berkaitan dengannya. Lagipun
itu fokus utama saya buat masa kini," jelas
kekasih kepada Daniel Haziq ini.
Berkongsi perkembangan terbarunya, pelakon
kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu dia
bakal muncul dengan drama terbaru arahan
Jehan Miskin iaitu Seludup yang akan
disiarkan di Astro Prima bermula 4 Disember.
Menurut Tiz Zaqyah, Seludup merupakan
drama yang sangat mencabar dan sebuah
projek yang sangat dinantikan olehnya.
"Apabila mendapat tahu ia adalah projek
Jehan, saya memang teruja lebih-lebih lagi
selepas menonton projeknya sebelum ini,
What If.
"Saya benar-benar kagum dengan dia, jadi
saya fikir mengapa perlu saya menolak
sedangkan ini peluang terbaik untuk menimba
pengalaman daripadanya," ujarnya Seludup
drama pertamanya yang mengangkat genre
aksi.
Katanya, walaupun menerusi drama itu dia
tidak perlu melakonkan pelbagai aksi, tetapi
adegan peluknya bersama Pekin Ibrahim tetap
dirasakan sukar.
"Bukan peluk penuh perasaan, sebaliknya
peluk kerana ketakutan, pun begitu saya
masih berasa janggal sementelah ia kali
pertama saya berlakon dengannya," katanya
turut mengagumi Namron dan Raja Ilya.
Dalam pada itu, Tiz Zaqyah mengakui
terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon
teater kerana tidak yakin dengan
kebolehannya dalam bidang itu.
"Bukan takut mencuba, tetapi saya memang
kurang yakin untuk berlakon teater," katanya
lagi. |
|