Nusron Wahid
JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan membawa pulang 1.8 juta rakyat negara itu yang tinggal di luar negara secara haram dalam masa terdekat ini.
Ketua Badan Nasional Penempatan dan Perlindungan Tenaga Kerja Indonesia, Nusron Wahid berkata, kerajaan akan mengeluarkan peruntukan untuk tujuan itu.
“Isu membawa pulang rakyat Indonesia yang tidak mempunyai kontrak atau tinggal tanpa izin di negara luar akan dibahaskan. Dan peruntukan sudahpun disediakan untuk tujuan itu,” kata Nuron.
Menurutnya beberapa menteri akan membincangkan usaha itu dari segi teknikal selain menimbang proses undang-undang di negara terbabit.
Menurut Nusron, 1.2 juta warga negara itu yang duduk secara haram di luar negara terdapat di Malaysia sementara bakinya di Asia Barat, Korea, Taiwan dan Hong Kong.
Beliau juga menjelaskan, jumlah pekerja Indonesia di luar negara kini ialah sekitar 6.2 juta.
Dalam pada itu, Nusron juga menjelaskan, kerajaan Indonesia akan meneruskan langkah mengekang warga negaranya daripada berangkat ke luar negara untuk bekerja secara haram.
Antaranya ialah dengan mengurangkan pembiayaan dan memudahkan syarat untuk menjadi tenaga kerja Indonesia secara rasmi.
Dia mengakui proses untuk menjadi tenaga kerja secara sah itu sangat mahal dan memakan masa yang lama. -Harian Metro
|