CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1621|Reply: 0

Orang kampung pun tahu 1MDB.

[Copy link]
Post time 18-3-2015 06:35 AM | Show all posts |Read mode
Orang kampung pun tahu 1MDBOleh        Mohsin Abdullah





Rata-rata isu 1MDB "diceritakan" dalam Bahasa Inggeris. Dan kerana ia satu topik yang berat memang tidak mudah untuk memahaminya dengan baik.
Apatah lagi terma yang digunakan agak ‘alien’ bagi orang yang tidak mahir dalam aktiviti ekonomi, perniagaan dan perdagangan yang dijalankan secara besar. Orang seperti saya.
Umum maklum Tun Dr Mahathir Mohamad kerap bercakap dan menulis mengenai 1MDB dalam Bahasa Inggeris dan Melayu.
Dan seperti yang kita tahu 13 Mac lalu bekas PM itu menulis lagi mengenai 1MDB dalam blognya Chedet.cc.
Beliau menulis dalam Bahasa Melayu dengan panjang lebar menghuraikan persoalan yang terus menerus menghantui 1MBD, badan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Razak dan permasalahan yang timbul.
Paling menarik kali ini, Dr Mahathir menghuraikan dengan terperinci kontroversi yang dikaitkan dengan 1MBD
Huraian dibuat menggunakan Bahasa Melayu mudah, simple tanpa perkataan besar. Persoalan dan masalah disusun satu persatu. Mengikut nombor 1 – 29. Setiap perenggan pendek dan padat.
Oleh demikian, bolehlah dikatakan orang yang sebelum ini tidak faham isu 1MDB boleh faham. Malah kemungkinan besar sudah faham apa yang heboh dipertikaikan sejak kebelakangan ini. Dalam istilah biasa, “Orang kampung pun sudah tahu”.
Dan mereka termasuklah orang Umno, ahli biasa. Bukan ketua bahagian yang bertuah mendapat penjelasan Najib berhubung isu itu sebelum ini.
Apa yang ditulis Dr Mahathir dalam blognya pada 13 Mac dengan pantas dimasukkan dalam Facebook orang Umno sendiri.
Posting Dr Mahathir turut dihantar oleh orang Umno menerusi WhatsApp kepada orang Umno, ahli biasa kepada ahli biasa. Lantas memanjangkannya kepada lebih ramai ahli Umno, rakan dan taulan.
Kita tahu tidak lama setelah posting mengenai 1MBD dibuat blog Dr Mahathir tidak dapat diakses. Ada yang mendakwa itu perbuatan “khianat”.
Pegawai Dr Mahathir Sufi Yusof, dipetik media sebagai berkata blog berkenaan “digantung” akibat kebimbangan ia boleh “crash” kerana jumlah pengunjung yang terlalu ramai.
Pun begitu ramai yang masih percaya blog berkenaan “dihack” kerana artikel Dr Mahathir mengkritik keras 1MDB dan Najib. (Blog Mahathir kini boleh diakses tanpa masalah dan posting mengenai 1MDB masih dipaparkan).
Difahamkan pihak yang menghantar tulisan Dr Mahathir menerusi WhatsApp mendakwa mereka sempat membuat “salinan “ artikel berkenaan sebelum blog Chedet tidak dapat diakses.
Walau apa pun, bolehlah disimpulkan apa yang Dr Mahathir ketengahkan mengenai 1MDB sampai kepada ramai ahli Umno di seluruh pelosok negara dan golongan akar umbi.
Menarik keadaan ini kerana akar umbi menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein ialah kekuatan Umno untuk “menangkis fitnah pembangkang.”
Kata-kata beliau disampaikan pada majlis di Melaka pada hari yang sama posting Mahathir mengenai 1MDB disiarkan dalam blog Chedet.
Namun Hishamuddin bercakap secara am dan tidak merujuk kepada 1MDB.
Bagi golongan akar umbi, setelah memahami hujah Dr Mahathir mengenai 1MDB adakah semua yang diperkatakan bekas presiden mereka itu akan diambil serius? Atau dipandang enteng?




1MDB
Mar13th
2015
Written by chedet




1. UMNO telah mengadakan majlis penerangan tertutup yang dihadiri oleh sebahagian dari Ketua-Ketua Bahagian pada 8 Mac. Keputusan majlis mengikut akhbar ialah menyokong penuh Presiden parti.
2. Tidak diketahui tentang penjelasan oleh Presiden berkenaan kontroversi 1MDB, yang sedang dibincang dengan meluas oleh rakyat. Bahawa perkara ini dibawa oleh parti lawan, justeru itu ia adalah fitnah belaka tidak mencukupi untuk rakyat menolak tuduhan-tuduhan berkenaan 1MDB.
3. Rakyat masih tidak puas hati berkenaan 1MDB. Mereka bincang perkara ini dimana sahaja. Jika mereka tidak puas hati dan tidak sokong Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang, BN mungkin kalah. Dan jika BN ditolak, sokongan kepada Presiden oleh pemimpin bahagian UMNO tidak lagi bermakna.
4. 1MDB bukan buat hutang biasa seperti Kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta sahaja. 1MDB telah hutang berbillion Ringgit. Walaupun 1MDB bukan Kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh Kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak 1 juta Ringgit. Ada juga jaminan oleh Kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu Kerajaan tidak boleh dakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah Kerajaan.
5. Kerajaan sudah melantik Auditor General untuk memeriksa akaun 1MDB. Tetapi ini tidak akan menjawab banyak soalan yang telah dikemukakan dan dibincang oleh rakyat.
6. Dakwaan-dakwaan yang telah dibuat terhadap 1MDB bukan berbentuk tuduhan melulu. Ia disertai dengan fakta yang jelas, iaitu jumlah hutang, siapa yang mengurus, siapa yang menerima wang berbillion Ringgit, pelaburan yang dibuat, dimana wang ini disimpan, dalam bentuk apa.
7. Nama Jho Low disebut berkali-kali. Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Holywood. Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri Perdana Menteri dengan harga ratusan juta Ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh AG.
8. Pada mulanya duit Riza Aziz dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak. Kemudian dakwaan ini dinafi. Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ianya hasil dari perniagaan? Jika ya, apa perniagaan, dimana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada Kerajaan mana?
9. Pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street” oleh Riza Aziz, anak tiri Dato Sri Najib datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan. Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta Ringgit atau Dolar Amerika.
10. Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low. Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan 700 juta USD dari 1MDB.
11. Ada yang disebut berkenaan Petro Saudi yang juga menerima bayaran ratusan juta dolar dari 1MDB Benarkah Petro Saudi ini mendapat konsesi kawasan minyak dan gas di Argentina, di Turkmenistan dll. Apa buktinya? Benarkah JV dibuat dengan Petro Saudi sebelum ‘due diligence’ dibuat. Katanya sementara 1MDB melabur USD1 billion dalam JV dengan Petro Saudi, tetapi Petro Saudi tidak melabur satu sen pun. Apa jadi kepada wang IMDB dalam JV tidak jelas.
12. Apa sebabnya lebih dari 6 billion Ringgit (Dollar) disimpan di Cayman Island? Kerajaan tidak pernah simpan duit di lain negara selain pembelian bond. Apakah bond dibeli? Apa hasilnya?
13. Katanya wang sebanyak USD1 billion sudah dibawa balik dari Cayman dan disimpan dalam bank Singapura. Kononnya Bank Negara menjadi masalah kerana proses menyimpan wang yang banyak mesti melalui proses yang rumit. Bolehkan Bank Negara jelas kenapa menimbul masalah sedangkan 1MDB adalah syarikat Kerajaan yang dikuasai oleh Kementerian Kewangan. Jika mudah di Singapura kenapa susah sangat di Malaysia?
14. Urusan Kerajaan pernah dirahsia. Tetapi soal bayar balik hutang adalah public knowledge (dalam pengetahuan orang ramai). Orang ramai ingin tahu benarkah Ananda Krishnan memberi pinjam RM 2 billion untuk bayar faedah ini. Apakah faedah yang dikenakan oleh Ananda? Apa cara bayaran balik hutang Ananda? 1MDB dikatakan untung. Kenapa tidak dapat bayar faedah 2 billion Ringgit.
15. Juga diketahui umum ialah permohonan hutang sebanyak 3 billion dari Kerajaan baru-baru ini. Apakah Kabinet melulus pinjaman yang begitu besar ini? Apakah syarat yang dikenakan? Bagaimanakah hutang ini akan dibayar balik oleh 1MDB


16. Tanah Kerajaan di Jalan Tun Razak dan Lapangan Terbang Sungai Besi telah dibeli oleh 1MDB. Apakah harga yang dibayar? Apakah tanah ini yang dikatakan asset 1MDB? Bagaimanakah dinilai harga tanah ini? Kerajaan berhak mendapat pulangan yang setimpal apabila tanah ini dijual kepada sesiapa pun. Berapakah harga satu kaki persegi. Tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000/- satu kaki persegi. 1MDB juga membeli tanah di Pulau Pinang. Apa harganya. Apa jenis pembangunan yang dicadangkan. Sudah dimulakah?
17. Jika tanah-tanah ini menjadi aset 1MDB, apakah nilai tinggi aset ini disebabkan kenaikan (revaluation) dari harga belian yang murah dan harga pasaran yang tinggi.
18. 1MDB meminjam lebih dari 10 billion Ringgit untuk beli beberapa stesyen janakuasa. Harga yang dibayar dikatakan lebih tinggi dari harga pasaran. Lesen stesyen-stesyen ini akan mati tidak lama lagi. Kenapa tidak tunggu hingga lesen mati sebelum membeli. Harga selepas mati lesen tentu amat rendah. Membeli dengan harga tinggi sebelum lesen mati amat merugikan.
19. Wang untuk membeli stesyen janakuasa dipinjam. Laporan menunjuk komisyen sebanyak lebih dari 10% dibayar kepada Goldman Sachs untuk mengurus penjualan bond.
20. Jika komisyen 10%, 1MDB akan dapat hanya 90% dari jumlah yang dihutang. Tetapi faedah perlu dibayar keatas 100% jumlah hutang. Ini menghairankan!
21. Biasanya hutang yang dijamin oleh Kerajaan dikenakan faedah 3%. Hutang yang diurus oleh Goldman Sachs dikenakan faedah sebanyak 5.9%.
22. Jumlah hutang sudah meningkat kepada 42 billion Ringgit. Faedah keatas jumlah ini, jika hanya 5% pun akan berjumlah 2.6 billion Ringgit setahun. Ini adalah satu jumlah yang amat besar.
23. Sebaliknya jumlah keuntungan dari pelaburan dalam stesyen janakuasa tidak akan mencukupi untuk membayar faedah ini. Demikian juga pelaburan untuk beli tanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak akan beri apa-apa pulangan sebelum di bangun atau dijual.
24. Sesungguhnya 1MDB menimbul banyak soalan tentang pengurusan dan kegunaannya. Dan jumlahnya juga amat besar. Rakyat berhak merasa curiga akan cara dan kegunaan wang mereka yang banyak ini.
25. Ulasan bahawa semua tuduhan adalah fitnah tidak mencukupi. Mereka yang mendakwa bahawa ada penyelewengan dalam pengurusan 1MDB berani membuat kenyataan terhadap Kerajaan dan individu-individu tertentu walaupun terdedah kepada tindakan saman malu. Tetapi mereka mendakwa mereka memiliki bukti-bukti yang jelas seperti e-mail, surat perjanjian dan bukti-bukti lain. Tarikh dan nama-nama diberi tanpa bersembunyi. Pembohongankah tuduhan mereka!!
26. Sehingga kini Kerajaan tidak menjawab secara yang masuk akal. Umpamanya 1MDB tidak punyai masalah kerana asetnya lebih dari hutang. Tetapi hanya untuk bayar faedah 2 billion, tidak ada wang sehingga tidak dapat tutup akaun ikut jadual. Kemungkinan terpaksa hutang untuk bayar faedah.
27. Sejak Arul Kanda Kandasamy mengambil jawatan CEO, banyaklah kenyataannya yang tidak munasabah yang dibuat. Kononnya wang di Cayman sudah dibawa balik. Kemudian wang ini tidak boleh bawa balik. Kemudian sudah dibawa balik tetapi disimpan di Singapura.
28. Yang diperlukan bukan audit biasa buku akaun. Yang diperlukan ialah siasatan forensik oleh polis akan tuduhan yang dbuat terhadap beberapa orang yang terlibat dengan pengurusan wang 1MDB.
29. Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi. Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua UMNO sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi orang UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihanraya.



Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 03:29 PM GMT+8 , Processed in 0.058581 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list