CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3723|Reply: 2

5 Permainan Komputer Klasik Yang Memerlukan Lebih Dari Satu Cakera Padat

[Copy link]
Post time 10-4-2015 07:58 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Nusantara77 at 10-4-2015 08:00 AM

      Berita GTA V edisi PC yang memerlukan 7 cakera DVD adalah menarik tetapi sebenarnya tidaklah mengejutkan. Saiz program permainan komputer semakin bertambah tahun demi tahun. Sebagai contoh Assasin’s Creed Unity untuk PC hadir dalam 5 cakera DVD akhir tahun lalu. Persoalannya sekarang adakah penggunaan beberapa keping DVD akan mengurangkan nikmat bermain permainan video kegemaran anda? Ini memberikan kami idea untuk menulis tentang 5 permainan komputer yang memerlukan lebih daripada satu cakera padat tetapi masih kami minati sehingga hari ini.

Final Fantasy VII



Bagi kebanyakan peminat permainan konsol Final Fantasy VII ialah permainan pertama yang memerlukan lebih daripada satu cakera padat. Dunia fantasi yang didiami Cloud Strife memerlukan tiga cakera padat untuk dimainkan. Apa yang kami rasakan menarik ketika permainan ini wujud pada tahun 1997 ialah kami kini tahu berapa lamakah lagi sebelum kami tiba ke akhir permainan. Apabila tiba ke cakera padat nombor tiga kami mula bermain lebih perlahan kerana kini kami tahu pengembaraan Cloud dan rakan-rakan beliau semakin berakhir.
Pengalaman bermain permainan yang memerlukan lebih daripada satu CD ini sebenarnya meninggalkan banyak impak yang negatif. Selepas beberapa tahun tidak bermain FF7 kami cuba memainkannya semula pada tahun 2002. Malang sekali selepas beberapa tahun mengumpul debu di rumah, salah satu CD FF VII kami sudah tercalar. Akibatnya permainan tidak boleh dihabiskan. FF VII kini wujud dalam versi muat turun untuk PlayStation 3. Sungguhpun ia masih seronok dimainkan, tanpa pertukaran CD pengalaman bermain kini terasa canggung.

Command And Conquer Red Alert 2



“Warning military software detected!” . Ini ialah bunyi pertama yang keluar dari pembesar suara PC apabila kali pertama CD C&C Red Alert 2 dimasukkan ke dalam pemacu cakera. Ini diikuti oleh “Encryption code required. You have 30 seconds to comply” yang menyebabkan anda panik mencari nombor siri dari kotak permainan. Sehingga kini kami rasakan proses memasang Red Alert 2 ke dalam PC adalah yang terbaik dalam sejarah. Anda tidak dibosankan dengan skrin peratusan pemasangan seperti yang digunakan oleh permainan lain. Sebaliknya anda diberikan  taklimat tentang sejarah alternatif dunia yang menjadi kepada pergolakan Soviet dan Allied . Lukisan skematik senjata rahsia kedua-dua pihak berbalah dipaparkan semasa proses pemasangan.
Selepas usai proses pemasangan anda perlu memasukkan CD berbeza memainkan kempen Soviet ataupun Allied. Dari pengalaman kami 70% pengguna akan memilih memasukkan CD Soviet terlebih dahulu kerana jalan cerita yang lebih menarik. Sebanyak 30% lagi pengguna memilih memainkan kempen Allied terlebih dahulu kerana mahu melihat Tanya lakonan Kari Wuhrer yang gemar memakai baju yang ketat. Akui sahaja kenyataan ini. Misi Allied membosankan dan hanya Tanya mampu memaksa anda bermain sehingga ke hujung misi!


Resident Evil 2



Sebelum Resident Evil 2 permainan di dalam genre Survival Horror hanya mempunyai satu protagonis. Dengan RE 2. anda boleh mengawal dua watak utama iaitu Clare Redfield dan Leon S Kennedy. Dua CD berbeza diperlukan untuk memainkan watak berbeza. Jalan cerita berjalan secara serentak dan anda tidak dipaksa untuk bermain sebagai Claire ataupun Leon terlebih dahulu. Dengan empat alan cerita berbeza (Leon A, B dan Claire A, B) , RE 2 terasa seperti dua permainan dalam satu. Terasa wang yang dibelanjakan untuk membeli permainan ini sangat berbaloi.
Kami tidak tahu mengapa format penceritaan dari dua watak berbeza ini tidak digunakan dengan lebih meluas. Satu-satunya permainan selain RE 2 yang menggunakan teknik ini seiingat kami ialah Devil May Cry 2 (juga dari Capcom) . Onimusha 3 Demon Blade ( sekali lagi dari Capcom) mempunyai dua protagonis berbeza tetapi jalan cerita tidak berlaku secara serentak. Pemain bertukar-tukar mengawal Jean Reno dan Takeshi Kaneshiro bukannya berterusan. Adakah teknologi permainan ini dipegang oleh Capcom dan pembangun lain enggan menggunakan teknik penceritaan serentak sebegini dalam permainan mereka?


Metal Gear Solid



Metal Gear Solid ialah permainan yang menaikkan nama Hideo Kojima. MGS juga memperkenalkan kepada dunia konsol genre permainan yang menitik beratkan teknik intipan dari aksi ganas membunuh. Seperkara lagi yang unuk mengenai MGS ialah jalan cerita sinematik menggunakan aset 3D permainan dan bukannya video yang dirakam (prerendered CGI). Bagi menceritakan kisah Solid Snake sebuah CD tidak mencukupi dan permainan ini hadir di dalam dua CD.

Minda kami meletup apabila Psycho Mantis membaca kad memori dan menyedari kami bermain Winning Eleven. Minda meletup sekali lagi apabila beliau dapat dikalahkan dengan menukar port pengawal ke port nombor dua. Kepada yang membeli veri cetak rompak permainan tidak dapat diteruskan kerana frekuensi Meryl dicetak pada bahagian belakang kotak permainan. Kesemua elemen yang dikatakan tadi merubah persepsi permainan komputer sebagai hobi yang pasif.
Ketika zaman belajar dahulu kami melakukan kesilapan selepas meminjam permainan ini. Kami meminjam MGS dari Blockbuster selama tiga hari. Selepas tiga hari kami memulangkan permainan tetapi terlupa mengeluarkan salah satu CD dari konsol. Selepas pulang ke kolej baru kami sedari CD yang dipinjam masih di dalam. Kami memulangkan CD ke salah satu  cawangan Blockbuster berhampiran kolej. Denda yang dikenakan menyebabkan kami terpaksa mengikat perut selama seminggu. Tetapi ianya berbaloi kerana MGS adalah permainan yang kini mencapai status legenda dan harus di main oleh penggemar permainan video. Tanpa MGS mungkin tidak Syphon Filter dan Splinter Cell tidak wujud.



Shenmue



Kami tidak menyalahkan anda seriknya anda tidak pernah bermain Shenmue. Ianya hanya dihasilkan untuk konsol Sega Dreamcast dan memerlukan 4 cakera GD Rom. Apabila muncul pada tahun 1999 ia memegang rekod permainan video paling mahal untuk dihasilkan dengan kos $47 Juta ($99 Juta mengikut nilai mata wang sekarang).  Kos yang tinggi ini wujud kerana pengarah Yu Suzuki mahu menghasilkan dunia 3D lebih realistik Shemue yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Terdapat sistem peredaran siang dan malam, sistem cuaca, sistem fizik dan setiap watak termasuk NPC yang mempunyai dialog percakapan. Kesemua ini dianggap komponen yang wajib wujud untuk permainan sekarang tetapi 16 tahun dahulu apa yang dilakukan Yu Suzuki dianggap inovasi. Sega memberikan wang yang banyak kepada Yu Suzuki kerana beliau adalah pelopor awal penggunaan 3D di dalam permainan video. Permainan arked terkemuka Virtua Cop, Virtual Fighter, Virtua Racing dan Ferrari F355 Challenge (dengan kabinet arked 3 skrin) semua menerima sentuhan Yu Suzuki. Jika ratusan wang ringgit anda lebuh di arked ketika remaja, anda boleh menyalahkan Encik Suzuki kerana menghasilkan permainan-permainan ini.

Shenmue juga bertanggang jawab mencipta antara perkara paling dibenci gamer seluruh dunia iaitu Quick Time Events. Pemain perlu menekan butang yang muncul pada skrin untuk melakukan aksi sekiranya tidak mahu mati. Di dalam siri God of War QTE digunakan dengan baik dan efektif. Di dalam Resident Evil 4 ia mengakibatkan kematian yang tidak disangka (seperti ditikam Krauser). Di dalam The Order 1886, QTE mencapai tahap nadir kerana digunakan untuk menentang musuh terakhir dengan kombinasi 3 butang.

Shemue mungkin antara permainan paling berpengaruh pernah dihasilkan kerana pengenalan beberapa game mechanic yang kini digunakan secara meluas. Malang sekali kerana ia hanya dihasilkan untuk konsol Sega Dreamcast yang gagal. Hanya 1.5 Juta unit permainan Shenmue berjaya dijual. Bandingkan dengan jualan GTA V sekarang yang sudah mencecah 45 juta unit. Shenmue II dihasilkan untuk Xbox tetapi sambutannya juga tidak menggalakkan. KIsah trilogi Shenmue tidak dapat dihabiskan kerana tiada sambutan. Sungguhpun begitu inovasi yang ditinggalkan permainan ini kekal sehingga sekarang.

Kemunculan cakera padat berkapasiti tinggi seperti Blu Ray memupuskan penggunaan lebih daripada satu CD untuk sebuah permainan yang dibeli. Dalam isu GTA V penggunaan pemacu cakera Blu Ray yang sangat rendah di kalangan pengguna PC adalah sebab mengapa tujuh cakera DVD terpaksa digunakan untuk pemasangan. Generasi masa hadapan pastinya ketawa apabila melihat generasi terdahulu menggunakan lebih dari satu cakera padat untuk bermain permainan komputer kegemaran. Di masa hadapan rasanya keperluan membeli permainan secara fizikal juga mungkin akan pupus sama sekali. Bagi kami ini mungkin sedikit mengecewakan dari aspek nostalgia. Kami masih lagi menggemari pembelian fizikal kerana dapat memegang apa yang dibayar. Tetapi seperti buku dan album muzik, zaman pembelian secara fizikal akan hanya tinggal kenangan dalam masa terdekat.
Sila nyatakan permainan kegemaran anda yang memerlukan lebih dari sekeping CD untuk dimainkan. Mari berkongsi nostalgia zaman permainan muda remaja anda di ruangan komen.
Sumber Gambar: Moby Games
kredit:www.amanz.my
                                                                                                               
                                                                                                                                                               
                        
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 10-4-2015 08:15 AM | Show all posts
command n conquer tu memang legend la...aku dulu siap kene tunggu turn nak main dgn abah aku
Reply

Use magic Report

Post time 10-4-2015 09:05 AM | Show all posts
Red Alert 2 masih menarik perhatian aku sehingga kini.. game yg tak jemu nak main.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 08:43 PM GMT+8 , Processed in 0.073022 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list