kredit to :
http://www.hmetro.com.my/node/66475
Penconteng kasut
FATIN FARHANA JAPRE kagum dengan bakat dimiliki pengkarya seni kasut kanvas yang berupaya menghasilkan kasut lukisan tangan menarik mengikut kreativiti mereka. Ikuti temu bual penulis bersama seorang anak muda yang berbakat dalam bidang ini. Berbakat dalam bidang lukisan sejak kecil nampaknya tidak sia-sia apabila Zam Mahmad, 30, kini bergelar pereka grafik dan pengusaha kasut lukisan tangan secara atas talian. Menurut Zam Mahmad, ideanya tercetus menghasilkan kasut lukisan tangan apabila melihat isterinya kerap membeli kasut kanvas baru sedangkan kasut yang lama masih boleh dipakai, cuma warnanya sedikit luntur.
“Jadi ketika itu saya terfikir, kenapa perlu membazir membeli kasut baru sedangkan kasut lama itu saya boleh perbaharui dengan cara melukis lukisan tangan di permukaannya. Apabila saya siap buat lukisan tangan pada kasut isteri dan dia bawa pergi kerja, ramai rakan isteri yang membuat tempahan sehinggalah sekarang.
“Dari situ, saya mula membuka akaun Facebook dan Instagram (@contengkasut) untuk menjadikan kasut lukisan tangan saya sebagai perniagaan sampingan secara atas talian. Ketika itu, saya hanya bermodalkan RM1,000 bagi membeli peralatan melukis seperti berus lukisan, warna arkalik, kasut daripada material kanvas dan sebagainya,” kata pemegang Diploma Pereka Komputer Grafik Cosmopoint, Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, selama tiga tahun berkecimpung dalam hobi ini sudah lebih 1,000 pasang rekaan kasut lukisan tangan yang dihasilkan untuk pelanggannya. Antaranya ialah watak animasi, pemain bola sepak dan banyak lagi, tetapi bergantung kepada permintaan pelanggannya. “Satu hari saya boleh hasilkan empat pasang kasut tetapi dalam masa sebulan saya hadkan tempahan kepada hanya 30 pasang saja kerana saya mahu hasilkan corak kasut yang berkualiti tinggi dan kemas. Soal harga pula, saya tetapkan dari RM70 hingga RM200 paling maksimum, tetapi bergantung kepada jenis kasut dan rekaan yang diminta pelanggan. “Kebiasaannya, harga yang saya tetapkan termasuk dengan harga kasut dan rekaan diminta mereka. Jika pelanggan ada kasut sendiri pun boleh, tetapi dengan syarat mestilah kasut baru. Kasut yang saya sediakan ada dua jenis iaitu kasut ‘slip on’ jenama North Star dan ‘high cut’ jenama Converse. Saiz pula saiz standard Malaysia daripada saiz 4 hingga 11. “Setakat ini paling mahal saya pernah letak harga RM400 sebab pelanggan saya minta kasut Vans ‘original’ dan di kiri kanan pula dia minta saya lukis gambar potrait pemain bola sepak kegemarannya iaitu David Beckham dan Cristiano Ronaldo. Ada juga yang minta saya buat rekaan sama seperti kasut Converse edisi terhad namun saya ubah dari segi warna dan coraknya sedikit agar tidak 100 peratus sama,” katanya.
Setiap apa yang kita lakukan, pastinya berdepan pelbagai cabb. Begitu juga dengan Zam Mahmad yang berdepan masalah menentukan jarak ketika melukis pada kasut. Katanya, apabila melukis atas kertas, kita boleh agak jarak mata, hidung dan sebagainya, tetapi bila melukis di atas kasut, menentukan jarak agak bermasalah kerana permukaan kasut melengkung dan tidak rata seperti kertas. Boleh dikatakan perusahaannya secara atas talian telah meluas kerana pelanggannya bukan saja terdiri dari orang biasa bahkan artis, ahli politik juga menempah kasut daripadanya. Antaranya ialah Sari Yanti, Nad Zainal, Elfira Loy, Khairy Jamaluddin, Keith Foo dan ramai lagi. “Pendapatan sebulan saya boleh mencecah RM4,000 tetapi musim raya ini dapat rezeki lebih sedikit. Tempahan untuk raya saya hadkan hanya 40 pasang kasut saja sebab kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada golongan belia. Mereka kebanyakannya meminta rekaan mengikut filem terbaru di pawagam seperti Transformer, Frozen, Minion dan lain-lain,” kata anak keempat dari enam orang beradik ini.
“Alhamdulillah, permintaan memang sangat menggalakkan dan saya sendiri pun terkejut kerana niat asal hanya sekadar mengisi masa lapang. Kini saya lebih serius dengan kasut lukisan tangan ini di samping menjadi pereka grafik sambilan. Dari pengalaman saya, kita kena ada bakat dan minat untuk hasilkan sesuatu benda yang seni seperti ini. “Apa yang membuatkan saya terus bertahan sehingga hari ini adalah disebabkan minat kerana jika anda cepat bosan belum tentu dapat hasilkan sesuatu karya seni yang berkualiti. Terima kasih juga kepada isteri saya yang sentiasa menjadi tulang belakang dan model untuk rekaan kasut lukisan tangan terbaru saya,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
|