KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan anggota Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) mengesan dan menahan seorang pengguna laman sosial Facebook dengan nama 'Faisal Rohban' kerana didakwa memuat naik status berunsur hasutan.
Arahan tersebut dikeluarkan oleh Khalid menerusi laman sosial Twitternya semalam berikutan pengguna tersebut didakwa memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor kerana mengaitkan mereka dengan beberapa kes pembunuhan.
"PCIRC @PDRMsia, kesan dan tahan penama dibawah ini kerana menghasut," kata Khalid dalam entrinya, @KBAB51, semalam.
Menerusi foto yang dimuat naik Khalid, pengguna akaun tersebut mendakwa Najib dan isterinya terlibat dalam beberapa kes pembunuhan.
Antara kes pembunuhan yang dikaitkan adalah membabitkan kes model warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, penyiasat persendirian P Balasubramaniam, bekas Pengerusi Ambank Hussain Ahmad Najadi dan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais.
- mD
|