KUALA LUMPUR: Sangkakan isu bayaran yang belum dijelaskan penerbit teater Terima Kasih Cinta, Boudeng Edruce sudah selesai kerana sudah tiada kedengaran lagi suara mereka yang teraniaya. Teater yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 2011 ini pernah mencetuskan kontroversi beberapa tahun lalu apabila ada pelakon yang bersuara untuk menuntut hak mereka. Namun, apabila BH Online semalam melaporkan mengenai Farahdhiya yang memuat naik status di Facebook meminta RM30,000 dijelaskan Boudeng kerana penantian penyanyi berkenaan bakal genap empat tahun pada Januari depan, ternyata isu bayaran itu masih belum selesai. Lebih mengharukan apabila dua individu yang pernah terbabit dalam teater berkenaan sudah pergi menghadap Ilahi dan bayaran yang sepatutnya diterima mereka daripada penerbit itu belum dijelaskan. Mereka yang dimaksudkan ialah Allahyarham Latif Ibrahim dan jurusolek bernama Teja. Nadia Aqilah Bajuri yang turut berlakon dalam teater berkenaan memberitahu memang tiada siapa yang terbabit dengan teater itu sudah menerima bayaran penuh daripada Boudeng. "Dia (Boudeng) memang tak pernah bagi saya tarikh atau tempoh tertentu bila dia akan jelaskan hutangnya kepada saya. Dia terus lesap begitu saja. Hal ini sudah hampir empat tahun dan hingga ke tahap saya sendiri jadi reda. "Dia bukan saja hilang tetapi lebih pelik kehidupannya masih seperti biasa, seperti tiada masalah langsung atau seperti dia tidak berhutang kepada kami," katanya. Sementara itu, Badrul Hashim, pengurus Diddy Hirdy, berkata artisnya itu hanya menerima 40 peratus saja bayaran pendahuluan daripada pihak penerbit. Diddy kini melanjutkan pengajian di United Kingdom. "Diddy sendiri memang kalau boleh mahu haknya dilunaskan tetapi bayangkan isu ini sudah berlarutan lama tetapi terus tergantung. Sebelum ini memang ada perancangan untuk melakukan sesuatu untuk menyaman pihak berkenaan. "Tapi jadi rumit pula apabila dia (Boudeng) menggunakan syarikat orang lain untuk segala urusannya. Kalau saman nanti syarikat yang tiada kena mengena itu pula jadi mangsa," katanya. Anding, menerusi aplikasi WhatsApp, memuji apa yang disuarakan Farahdhiya kepada BH Online. "Saya sendiri terfikir nak bersuara juga sepertinya kerana hal ini sudah lama terbuku," katanya.
|
ADVERTISEMENT
Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet
29-3-2024 06:13 AM GMT+8 , Processed in 0.056774 second(s), 46 queries .
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.