|
Kerajaan pertimbang beri warga emas vaksin influenza mulai 2025
https://www.freemalaysiatoday.co ... fluenza-mulai-2025/
Shahrul Shahabudin
13 May 2024, 05:56 PM
Inisiatif pemberian vaksin influenza percuma kepada warga emas termasuk bawah Program Imunisasi Kebangsaan KKM, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Menteri kesihatan berharap inisiatif ini akan dimasukkan dalam Belanjawan 2025, bawah NIP.
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempertimbangkan pemberian vaksin influenza percuma kepada individu berusia 65 tahun ke atas mulai 2025, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, inisiatif ini termasuk bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) KKM, walaupun pelaksanaannya bergantung pada kelulusan Kementerian Kewangan.
“Warga emas terdedah kepada risiko, saya harap dalam Belanjawan 2025 atau seterusnya, kita mohon masuk (vaksinasi influenza percuma) dalam NIP.
“Kita akan mohon, manfaat utk kumpulan rentan. (Kita) akan berusaha dapatkan peruntukan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan.
Tambahnya, KKM merancang memberikan vaksin kepada warga emas setiap tahun, memandangkan virus influenza terus bermutasi.
Dzulkefly juga berkata, KKM akan menyediakan vaksin kombinasi tetanus-difteria-pertusis percuma untuk wanita hamil mulai akhir tahun ini.
Katanya, ini bertujuan melindungi bayi baru lahir daripada pertusis, juga dikenali sebagai batuk kokol.
Dr Zulkifli Ismail, pengerusi jawatankuasa teknikal program Immunise4life berkata, vaksin itu boleh diberikan bagi kandungan berusia antara 27 hingga 32 minggu.
Katanya, satu dos vaksin akan diberikan bagi setiap kehamilan, terhad sekali setahun sekiranya wanita itu hamil dua kali dalam tempoh setahun.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|