|
Bersatu akan fail notis kosongkan kerusi enam MP
https://www.malaysiakini.com/news/705797
Diterbitkan: May 17, 2024 10:42 AM
Dikemaskini: 10:42 AM
Bersatu bersedia untuk memfailkan notis kepada Dewan Rakyat untuk mengosongkan kerusi enam ahli parlimennya yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut timbalan presiden parti itu, Ahmad Faizal Azumu, keputusan berkenaan dibuat semasa mesyuarat majlis tertinggi pada Selasa.
Susulan itu, dia mengarahkan Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mengeluarkan notis itu.
“Kami telah mengadakan mesyuarat MPT yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Hasilnya, saya telah mengarahkan Setiausaha Agung Bersatu untuk mengambil tindakan berikutnya mengikut perlembagaan parti terhadap enam orang ahli parlimen yang menyokong perdana menteri.
“Ini penting kerana parti kami bukan macam Umno, boleh pecat orang ikut suka hati. Kita ada perlembagaan parti yang harus kita ikut, namun saya sudah meminta Setiausaha Agung untuk percepatkan proses berikutnya,” katanya seperti dilapor Utusan Online.
Awal minggu ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata dia masih belum menerima sebarang makluman daripada Bersatu berhubung status enam ahli parlimennya yang telah berikrar menyokong Anwar, berikutan pindaan perlembagaan parti baru-baru ini.
Enam Ahli Parlimen Bersatu itu ialah Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).
Pada April lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan kepada perlembagaan Bersatu, membolehkan parti itu bertindak terhadap enam ahli parlimen berkenaan. Di bawah perlembagaan yang baru dipinda, ahli parlimen berkenaan mesti segera mengosongkan kerusi mereka.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|