sfhzuraz Publish time 8-5-2024 02:24 PM

Jawatankuasa bertindak desak KPM kembalikan kelas Tingkatan Satu, Dua SMKKJ

Jawatankuasa bertindak desak KPM kembalikan kelas Tingkatan Satu, Dua SMKKJ

OlehSITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

08 Mei 2024 01:45pm







https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/05/08/2642454.jpg
Keputusan menjadikan sekolah tersebut kepada kolej tingkatan enam sepenuhnya mendapat bantahan waris dan ibu bapa pelajar.



SUNGAI PETANI - Jawatankuasa Bertindak Penduduk Sungai Petani mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memasukkan semula pendaftaran Tingkatan Satu dan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari pada sesi persekolahan 2025.
Pengerusinya, Makbul Ilahi Hashim berkata, desakan itu dibuat mengambil kira masalah dihadapi ibu bapa apabila terpaksa menghantar anak ke sekolah menengah lain yang lebih jauh sehingga meningkatkan kos, berisiko keciciran, ponteng sekolah sekali gus hilang minat untuk belajar.


Menurutnya, jawatankuasa tidak membantah menjadikan sekolah aliran Melayu terawal di Sungai Petani itu sebagai kolej Tingkatan Enam tetapi menuntut agar terus mengekalkan sesi pembelajaran tingkatan satu hingga enam seperti biasa sebelum ini."Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Khir Johari (SKKJ) sepatutnya terus sambung ke SMKKJ tetapi dinafikan hak kerana sejak dua tahun kebelakangan ini, tiada lagi pendaftaran Tingkatan Satu di SMKKJ menyebabkan mereka terpaksa berdaftar ke sekolah lain.

"Seperti cucu saya yang akan masuk Tingkatan Satu pada 2025, sekolah berdekatan lain juga dah penuh, ke mana mereka nak belajar?,"katanya ketika bantahan di hadapan SKKJ pada Rabu.
Hadir sama, Setiausaha Bertindak Jawatankuasa Penduduk Sungai Petani, Anwar Abu Bakar dan penasihat undang-undang bagi jawatankuasa berkenaan, Mohd Amirul Ramli.
Makbul Ilahi berkata, fasiliti SMKKJ yang mampu memuatkan lebih 2,000 pelajar juga antara faktor mahu mengekalkan Tingkatan Satu hingga Lima.
"Pada masa sama, kebitaraan sukan di sekolah tersebut juga diibaratkan umpama kilang yang menghasilkan atlet daerah, negeri dan negara adalah sesuai agar dikekalkan kemudahan berkenaan untuk dimanfaatkan keseluruhan pelajar," katanya.





https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/05/08/2642455.jpg
Antara yang menyatakan bantahan terhadap keputusan menjadikan SMKKJ kepada kolej tingkatan enam sepenuhnya dan penutupan kelas tingkatan satu sejak dua tahun kebelakangan ini.



Selain itu, waris pelajar, Mohd Zaidy Murat, 50, berkata, urusan penghantaran anak ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Ismail sejak dua tahun ini dirasakan cukup sukar kerana terpaksa berdepan kesesakan berbanding SMKKJ yang terletak lebih dekat dari rumah.
"Setakat ini van sekolah tak masuk sebab budak sikit kerana anak-anak di kawasan ini dah dipecahkan ke beberapa buah sekolah, ibu bapa terpaksa hantar dan ambil, ambil masa juga jika yang bekerja...terpaksa keluar dari tempat kerja dan uruskan mereka.
"Bayangkan jika setiap hari berulang alik, beri kesan kepada masa yang perlu diambil, kos dan tugasan di tempat kerja yang terpaksa ditinggalkan untuk uruskan anak," katanya.
Disebabkan itu, katanya, adalah sesuai jika dikekalkan kelas Tingkatan Satu hingga Lima di SMKKJ.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari yang memaklumkan bahawa keputusan menjadikan SMKKJ sebagai kolej Tingkatan Enam telah dimuktamadkan pada tahun 2021.
Menurut Mohammed Taufiq, perbincangan berhubung perkara itu sudah pun diadakan dan keputusan berkenaan dipercayai telah dipersetujui bersama beberapa pihak ketika itu.
Sebelum itu, alumni sekolah berkenaan membuat petisyen secara dalam talian bagi membantah langkah menjadikan sekolah itu kepada Kolej Tingkatan Enam.
Antara alasan dikemukakan termasuk SMKKJ yang ditubuhkan sejak 1912 merupakan lambang perjuangan penduduk tempatan menubuhkan sekolah Melayu yang setanding sekolah aliran Inggeris sebelum kemerdekaan negara.
Selain itu, penutupan aliran perdana di sekolah yang mampu menempatkan sehingga kira-kira 2,000 pelajar akan menyebabkan kesesakan di sekolah menengah berhampiran kerana perlu menampung penambahan pelajar baharu.
Jawatankuasa bertindak desak KPM kembalikan kelas Tingkatan Satu, Dua SMKKJ - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Jawatankuasa bertindak desak KPM kembalikan kelas Tingkatan Satu, Dua SMKKJ


ADVERTISEMENT