KONSERT BUAT PENCINTA PUISI
Biarpun puisi kurang menjadi pilihan utama masyarakat, ia bukanlah penghalang buat penyair muda Umar Uzair untuk menganjurkan Konsert Puitika Pujangga 2017 yang membariskan ramai karyawan muda. Menerusi syarikatnya, Meja Poedjangga Malaysia, Umar yang bergelar Penyair Muda ASEAN 2015 mewakili Malaysia, bekerjasama dengan Youth Beat Event Management mengadakan konsert yang akan berlangsung di Lambang Sari, Istana Budaya pada 22 April ini, jam 8.30 malam. Selain Umar yang terbabit membaca puisi, Konsert Puitika Pujangga turut membariskan Sasterawan Negara Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah atau Kemala, Fairul Pujangga (deklamator kebangsaan), Lin Haslinaz (deklamator kebangsaan), Shirley Idris bersama teateris belia, Taufiq Izmir, Waslie Duby, Munir Kamaruzzaman dan Zack Jebat serta penampilan orkestra tradisional kumpulan Anak Kayan dari Pahang dan Rizalman Nasir (Pelukis Catan).
Umar berkata, objektif konsert ini diadakan bagi meraikan semarak seni belia dengan menggabungkan sasterawan negara, penyair, aktivis seni dan artis selain memupuk semangat positif serta kreatif dalam kalangan rakyat Malaysia. “Kita perlu Puitika Pujangga 2017 gabung karyawan muda, sasterawan negara mempamerkan rasa cinta terhadap budaya dan bahasa. Ia didatangkan dalam sebuah muzikal puisi pertama di Malaysia yang menggabungkan lagu puisi, deklamasi, teater pendek dan lukisan catan secara langsung berdurasi lebih satu jam. “Perancangan untuk konsert ini dibuat sejak September tahun lalu dan selepas melihat jadual, April adalah masa tepat untuk konsert ini diadakan,” katanya. Menurut Umar, cabaran besar adalah mengetuk pintu IB agar menerima kertas cadangan ini dan bersyukur apabila Ketua Pengarahnya, Datuk Juhari Shaarani menerimanya. “Alhamdulillah saya diberikan peluang untuk membuktikan keupayaan. Buat masa ini saya hanya menampilkan barisan penyair muda dan selepas ini mungkin akan ketengahkan nama besar seperti Prof Madya Dr Lim Swee Tin dan ramai lagi. “Saya juga merancang mengadakan konsert puisi membabitkan penyair ASEAN di IB pada tahun depan tetapi perlu membuktikan keupayaan melaksanakan konsert ini terlebih dulu,” katanya yang pernah menganjurkan Ekspresi Puisi Dunia Numera 2016 di IB dan Ekspresi Penghayatan Rukun Negara 2016 bersama 40 sekolah di Selangor.
|