Jika anda pernah melawat Koh Lipe, Thailand, sedarkah anda akan kewujudan sebuah pulau kecil yang berdekatan dengannya bernama Koh Hingham? Pulau ini tidak berpenghuni dan tidak disenaraikan sebagai salah satu destinasi pelancongan rasmi Thailand.
Ini kerana ia memiliki satu fakta yang pelik: Ia dipenuhi dengan batu kerikil kecil berwarna hitam dan putih yang diselubungi oleh satu lagenda yang menakutkan.
Awas ya! Jika anda melawat pulau ini, jangan harap untuk mengambil walau satu pun batu kerikil dari pulau ini sebagai tanda kenangan. Tindakan sebegini pasti akan menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat tempatan. Ada sebabnya.
Kredit Foto: Atlas Obscura
Memetik artikel dari AtlasObscura, masyarakat tempatan di situ mempercayai bahawa pulau Koh Hingham telah disumpah oleh dewa mereka, Tarutao. Jika ada pengunjung yang berani untuk menyimpan walau satu pun batu kerikil dari pulau tersebut, mereka percaya bahawa pengunjung itu akan disumpah oleh Tarutao selama-lamanya! Namun, tidak dinyatakan pula bagaimana bentuk sumpahannya.
Setiap tahun, pihak Taman Negara Thailand akan menerima kembali berpuluh-puluh batu kerikil pulau Koh Hingham yang dipulangkan melalui pos. Ini kerana pengunjung yang berniat ingin mencabar sumpahan tersebut dengan membawa pulang beberapa biji batu kerikil didakwa tidak tahan dengan 'sumpahan' yang berlaku. Akibatnya, mereka dikatakan terpaksa memulangkan semula batu-batu kerikil pulau ini untuk menamatkan sumpahan.
Meskipun pengunjung tidak dibenarkan untuk membawa keluar batu-batu kerikil hitam yang cantik ini dari sempadan pulau Koh Hingham, tiada larangan dikenakan kepada pengunjung yang ingin bermain dengannya selagi mereka berada di dalam kawasan pulau ini. Pandai-pandailah guna kreativiti masing-masing!
Sebagai contoh, masyarakat Thailand sendiri sering membina pagoda kecil menggunakan batu-batu tersebut dan kemudiannya berdoa di hadapannya. Selain itu, ada pengunjung yang menyusun batu-batu kerikil yang berwarna hitam dan putih di situ untuk menulis mesej-mesej pendek.
Kredit foto: Atlas Obscura
Bagaimana nak ke Pulau Koh Hingham?
Oleh kerana pulau Koh Hingham tidak berada dalam senarai rasmi destinasi pelancongan Thailand, satu-satunya cara untuk ke sana adalah dengan mencari seorang nelayan tua di Koh Lipe yang arif dengan selok-belok untuk ke pulau tersebut. Kemudian, terserah kepada kelicikan atau kebijakan anda dalam berunding.
Sekiranya berjaya, anda pasti mendapat satu perjalanan menggunakan bot ke Koh Hingham. Tempoh perjalanan pula dikatakan mengambil masa selama kira-kira 20 minit. Selamat maju jaya! - CARI |