Edited by leblues at 9-1-2019 07:49 AM
Lokasi memancing yang dikatakan masih dara atau paling tidak pun hanya sekali sekala kena ‘romen’ memang wujud, namun ia memerlukan perancangan yang rapi untuk menerokanya.
Toman saiz bujang yang menghentam gewang handmade yang dibeli secara online oleh Naim.
Setelah saya dan beberapa rakan masuk ke Sungai Senteroh sedikit masa dulu. Inilah trip susulan yang kami lakukan untuk memancing di Empangan Linggiu. Khabarnya Sungai Tebak yang akan kami tujui ini adalah lokasi yang paling jauh dan sungai yang paling jarang dikunjungi oleh orang luar. Mendengarnya pun kami sudah bersemangat. Harap-harap trip ini akan cemerlang dengan tangkapan yang kami inginkan iaitu Toman dan Sebarau.
Toman ini menyambar jump frog Hamdan ketika keluar dari Anjung Batu.
Untuk mencapai tujuan tersebut kami membawa 2 buah bot fiber yang ditarik dengan troli berserta enjin sangkut melalui tepi kebun sayur yang jalannya agak teruk hingga ke tepi tasik. Selain itu bahan api juga perlu dibawa secukupnya.
Selain perjalanan ke Sungai Tebak yang jauh ini, kami juga perlu keluar mengilat di dalam sungai atau di kuala sungainya selain meninjau dan mencuba nasib di suak-suak yang terletak berhampiran.
Snap pin kepunyaan Naim yang terkangkang di ‘ngap’ Toman. Sekali henjut je gewang terus ghaib.
MERENTAS TASIK
Untuk pergi ke sungai tujuan kami perlukan guide yang mahir dengan selok belok empangan ini. Seperti trip Senteroh dulu kami mendapatkan khidmat Faudzi yang sudah biasa dengan keadaan tasik ini tidak kira sama ada semasa paras air tinggi ataupun rendah.
Anak Toman yang saya kira baru hendak belajar mengganas. Campak saja gewang terus diserbunya.
Setelah menempuh perjalanan selama dua setengah jam akhirnya kami sampai ke sungai yang kami tuju. Kami mencuba mudik ke lokasi yang paling hulu dengan tujuan mencari tapak perkhemahan yang sesuai. Semakin ke hulu, sungai ini menjadi semakin sempit dan permukaan sungainya pula dipenuhi rumpair yang boleh mengganggu kelancaran pergerakan bot.
Kawasan lapang di Sungai Tebak menjadi kawasan Sebarau memburu diet nya. Salim bernasib baik kerana sebarau ini menjumpai gewang yang di gunakannya.
Akhirnya kami keluar semula dan memilih tapak khemah yang kami anggap ‘asal boleh’ sahaja berhampiran kuala. Permukaan tanahnya tidak rata dan boleh menyebabkan kami sakit pinggang dan belakang jika tidur diatasnya. Tapi kami tidak ada pilihan lain dan terpaksa juga berkhemah di situ.
Walaupun saiz Sebaraunya kecil, jika sudah banyak seronokjuga melayannya.
HENTAMAN SANG TOMAN
Siap saja memunggah barang dari bot dan mendirikan khemah, set pancing terus kami siapkan dan saya serta Naim dengan bot yang kecil pantas menuju ke muka kuala Tebak. Kawasan berkayu menjadi pilihan kerana dilihat berpotensi sebagai tempat Sebarau dan Toman bermain.
Lorong ini dipercayai laluan ‘orang kuat ‘ turun ke sungai. Mujur khemah kami agak jauh dari sini.
Percubaan kami di kawasan itu membuahkan hasil kerana Sebarau dan Toman bujang boleh dikatakan galak menghentam gewang dan sesudu kami. Cuma nasib Naim agak kurang baik kerana pencil Imakatsu Trairaonya hilang sekelip mata apabila Toman saiz kasar menyambarnya. Kuasa ganas hentamannya menyebabkan pin yang digunakannya ternganga sekelip mata!
|