Selepas semalaman perjalanan dari kota Bagan, akhirnya bas JJ Express yang membawa penulis tiba di daerah Taunggyi, Negeri Shan, Myanmar.
Turun seawal jam 4 pagi dengan cuaca dingin 17 darjah Celsius, penulis melihat pekan masih gelap dan kosong dan hanya bunyi salakan anjing bersahut-sahutan.
Nasib baik penulis sudah menempah penginapan lebih awal di Gypsy Inn, sebuah hostel yang terletak di tebing tasik Inle Lake.
Kredit foto: Sean Hsu
Apa sebenarnya yang ada di pekan sejuk ini? Inle Lake adalah sebuah tasik air tawar dengan keluasan sekitar 116 kilometer (km) persegi dan terletak di kawasan tanah tinggi.
Dunia dan kehidupan penduduknya banyak bergantung kepada tasik gergasi ini. Tidak hairanlah, kebanyakan aktiviti pelancongan juga berkisar sekitar tasik sahaja.
Kredit foto: Wikipedia
Jika anda hanya ada dua hari untuk menjelajah Inle Lake, ini yang wajib anda lakukan;
1. Melihat Pemandangan Tasik Di Kala Matahari Terbenam
Kredit foto: Mridula Dwivedi
Kebanyakan pelancong mengunjungi Inle Lake kerana pemandangan matahari terbenamnya yang dikatakan antara tercantik di dunia (termasuk penulis).
Sewa bot mudah didapati di jeti sekitar tebing tasik. Boleh berkongsi sehingga empat orang dan anda akan dibawa ke tengah tasik menunggu matahari terbenam. Jika cuaca mengizinkan, perjalanan anda pasti berbaloi dengan gambar-gambar yang menarik.
2. Sewa Bot Mengelilingi Tasik
Kredit foto: thewholeworldisaplayground
Penulis sendiri memilih untuk berkongsi menyewa bot dengan beberapa backpackers lain untuk seharian penuh. Jadi, bot sewa boleh diarahkan ke mana sahaja anda ingin pergi termasuklah perkampungan, kawasan menangkap ikan dan juga kedai-kedai kraf tangan tradisi.
3. Melihat Nelayan Menangkap Ikan Cara Tradisi
Kredit foto: Shutterstock
Walaupun kaedah menangkap ikan secara moden semakin meluas, majoriti nelayan di tasik ini masih mengamalkan kaedah lama. Dengan menggunakan teknik seakan akrobatik, nelayan akan mengayuh perahu dengan sebelah kaki, manakala kaki yang satu lagi akan digunakan untuk memegang bubu tradisi.
Bayangkan melihat secara langsung pemandangan unik ini dengan latar belakang lembayung senja!
4. Melihat Stupa dan Monumen Lama
Kredit foto: thewholeworldisaplayground
Terdapat ratusan stupa, kuil dan monumen terletak di seberang tasik. Dicat dengan warna merah, putih dan biru, pemandangan unik ini pasti tidak akan anda temukan di mana-mana.
Ramai backpackers melepaskan peluang ke lokasi ini memandangkan jaraknya yang agak jauh, tetapi pendapat peribadi penulis mengatakan tempat ini wajib dikunjungi.
5. Melihat Perkampungan Terapung
Kredit foto: albinger.me
Sesuai dengan gaya hidup tepi tasik, kebanyakan rumah-rumah di sini dibina di atas air dan kelihatan kukuh. Ambil peluang untuk naik ke kedai-kedai terapung (sebenarnya terpacak) seperti kedai cerut, barangan perak dan kain tenunan untuk mencuba sendiri kekukuhan binaan mereka.
Uniknya, mereka juga mempunyai kebun terapung di mana sayur-sayuran dan bunga-bungaan ditanam di tengah tasik.
6. Membeli Kraftangan Tradisi Wanita Kayan
Kredit foto: Carian Google
Terkenal dengan rantai gegelung yang menyebabkan leher mereka memanjang, orang Kayan sebenarnya bukanlah penduduk asli Inle Lake. Mereka berasal dari kawasan pergunungan di utara negara Myanmar, tetapi datang ke tasik ini untuk menjual tenunan tradisi mereka yang amat halus dan bermutu tinggi.
7. Berkeliling Pekan dengan Basikal
Kredit foto: Carian Google
Jika anda ada masa lebih, ambil peluang untuk menyewa basikal dan berkeliling di sekitar pekan ini. Masih banyak perkampungan, pasar tradisi, kebun dan pemandangan cantik yang anda boleh nikmati.
Kredit foto: pictureboss.com
BONUS: Kebetulan ketika tour bot, hujan turun dengan lebatnya jadi pengemudi bot membawa kami berlindung sementara di sebuah monesteri atau sekolah sami Buddha yang besar terletak di tengah tasik dipanggil Nga Phe Kyaung. Dahulunya tempat ini terkenal dengan aksi kucing melompat (The Jumping Cat) tetapi kini semua kucing di sini tidak lagi dilatih. Boleh lihat video The Jumping Cat di YouTube.
Kesimpulannya, untuk anda yang berminat melihat pemandangan tasik indah dan kehidupan masyarakat di perkampungan terapung, pastikan pekan dingin Inle Lake ini ada dalam itinerarimu di Myanmar! - CARI |