CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 5011|Reply: 1

RINTIS SUNGAI TEBAK – PART 02

[Copy link]
Post time 12-1-2019 11:49 AM | Show all posts |Read mode
Edited by leblues at 12-1-2019 11:49 AM

RINTIS SUNGAI TEBAK – PART 02



Kami mencuba pula kawasan rumput tenggelam berhampiran dengan tebing dan hasilnya cuma seekor Sebarau kecil menghentam sesudu saya. Riak Toman di permukaan air tidak kelihatan petang itu dan kami masih mengharapkan tangkapan tetapi tidak ada lagi yang mahu  menghentam gewang kami.  Bot yang sebuah lagi yang mudik ke hulu pula tidak memperoleh hasil yang memuaskan. Yang peliknya Faudzi yang mengilat dari tebing pulak memperoleh 4 ekor Sebarau saiz sedang-sedang.



Waktu malam kami habiskan dengan berbual kosong dan merancang untuk pagi esoknya. Selepas solat Subuh kami berpecah kepada dua kumpulan dengan menaiki 2 buah bot. Saya dan Naim menuju ke hulu, manakala bot sebuah lagi menuju ke muka kuala.


Saya menemui kawasan lapang di sungai berhampiran khemah. Kawasan ini di bawahnya adalah alur Sungai Tebak. Di kawasan lapang ini umpan sesudu kami menerima banyak sambaran dari Sebarau tetapi tidak ada yang bersaiz kasar. Kami menghabiskan masa di situ sehingga tidak ada lagi sambaran yangkami terima barulah bot kami bergerak ke hulu.





KERANDANG

Pergerakan bot kami untuk lebih jauh ke hulu terhalang oleh kayu tumbang melintang sungai. Sungai Tebak di bahagian ini semakin mengecil. Keadaan tepi tebingnya pula yang di tumbuhi rumpair melambatkan pergerakan bot kami. Di satu sudut yang agak lapang menampakkan ada riak-riak ikan dipermukaan air. Sesudu saya yang dikarau sederhana tidak pula diendahkannya.


Naim yang membuat lontaran seterusnya diekori gewangnya sehingga ke tepi bot. Jelas ikan itu adalah Kerandang. Usaha memujuknya membedal gewang kami lakukan berterusan tetapi tidak dilayan. Mungkin ikan berkenaan sudah culas bila menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan persembahan gewang kami. Apabila terasa bosan kami keluar semula dari hulu dan menuju ke muka kuala pula.





TOMAN BUJANG

Bot satu lagi yang dinaiki Zal, Salim dan Hamdan kami temui di tempat saya dan Naim banyak memperoleh Sebarau awal pagi tadi. Di situ mereka juga berjaya memancing beberapa ekor Sebarau yang mungkin baru masuk dari kuala.


Masa yang terluang di sebelah pagi kami isi secukupnya dengan menjelajah ke beberapa suak yang terletak berhampiran kuala. Beberapa ekor Toman saiz bujang masih berminat menghentam gewang yang kami suakan. Tidak ada Sebarau yang kami perolehi di suak-suak ini. Kami hanya balik ke khemah apabila terik matahari sudah terasa bahangnya.





ANJUNG BATU

Petang itu ada rancangan untuk pergi mengilat di Sungai Anjung Batu yang kedudukannya tidak berapa jauh dari Sungai Tebak. Tidak semua yang akan pergi ke sana kerana saya dan Zal mengambil peranan untuk tinggal dan memancing berdekatan khemah.


Rancangan saya adalah cuba mencari semula Kerandang yang culas pagi tadi. Kami mencuba di banyak sudut di hulu Sungai Tebak tapi ikan yang dicari tidak nampak bayang. Hampir lewat petang saya dan Zal menggunakan masa yang bersisa untuk mencuba nasib di kuala pula.





TUNGGUL KAYU BESAR

Saya ada di beritahu guide Faudzi bahawa kawasan berdekatan tunggul besar di kuala Sungai Tebak ini adalah spot yang baik mengilat Sebarau ketika paras air rendah. Tidak ada salahnya kami mencuba ketika paras air tinggi. Kami menghabiskan lebih satu jam di kawasan itu. Hasilnya hanya beberapa ekor Toman yang baru hendak belajar mengganas. Bila Toman sudah menguasai kawasan ini tidak mustahil Sebarau akan menjauhkan diri.


Kumpulan yang balik dari Anjung Batu hanya membawa beberapa ekor Sebarau bersaiz sedang. Hanya seekor sahaja Toman  yang dapat dipancing Hamdan. Sungai Anjung Batu dikatakan mempunyai permandangan yang cantik dengan dasar sungainya berbatu dan berair jernih. Jika bernasib baik semasa mengilat kita akan terjumpa kumpulan besar Sebarau sedang memburu mangsanya di muka kualanya. Itu yang pernah di alami oleh guide kami.





OPERASI KATAK

Semasa memasak untuk makan malam entah macam mana Salim ternampak ada katak berdekatan tempatnya memasak. Katak berkenaan dapat ditangkap dan dikurung dalam bag plastik. Malam itu sejumlah 4 ekor katak berjaya dicari dan ditangkap Salim. Ada rancangan katak berkenaan akan digunakan untuk mengumpan Kerandang atau Haruan pada keesokan pagi. Selepas makan malam kebanyakan masa kami habiskan dengan berbual tentang hal-hal yangberkaitan dengan trip memancing di sini dan rancangan akan datang.


Apabila hari mula cerah di pagi hari terakhir kami mula bersiap untuk turun memancing. Suasana di khemah kecoh sekejap apabila katak yang dikurung Salim semalam berjaya merobek beg plastik dan melepaskan diri. Punah harapan nak memperdaya Kerandang atau Haruan pagi itu.


Agenda memancing tetap diteruskan. Kuala sungai menjadi medan kami mengilat pagi itu. Kami menghabiskan masa hampir 2 jam mundar mandir di kawasan itu tetapi tidak ada Toman yang diperolehi kecuali Sebarau.


Kami berkemas dan keluar dari Sungai Tebak kira-kira jam 10 pagi. Tujuan kami ialah singgah untuk mengilat di beberapa suak lain dalam perjalanan pulang nanti. Antaranya ialah di Sungai Kuari. Trip yang dulu sungai ini memberi tangkapan yang bukan sedikit kerana Sebarau dan Toman yang galak menghentam gewang yang kami suakan. Kali ini paras air lebih tinggi dan ikan yang kami cari tidak kelihatan walaupun telah puas mencuba di sana sini.


Oleh : Arifin Ramli


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 12-2-2019 07:49 AM From the mobile phone | Show all posts
Sungai tebak ni kat mana? ...awat buka tajuk 1 cerita lepas tu senyap....
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 06:56 PM GMT+8 , Processed in 0.372203 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list