Hati terluka akibat ditinggalkan orang yang disayangi sudah lumrah kehidupan. Setiap orang pasti melalui pengalaman itu sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Ada yang trauma dan serik untuk melalui zaman percintaan atau menaruh harapan pada cinta kerana berasa diri tidak mampu melalui dugaan sebegitu sekali lagi.
Hati yang terluka berkali-kali mungkin membuat jiwa lara hingga ia mengambil masa berbulan atau bertahun untuk pulih semula. Namun, hati yang terluka mampu membentuk diri menjadi insan lebih baik daripada sebelumnya, menjadikan diri lebih kuat dari segi rohani.
Siapa saja yang pernah melalui dugaan putus cinta pasti faham betapa perit rasanya. Pengalaman paling ‘mengerikan’ tetapi amat berharga.
Ada yang sanggup bertindak di luar batasan kerana cinta. Pemikiran yang rasional dibuang ke tepi kerana terlalu mengikut kata hati. Tiada yang salah mengenai pepatah ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Oleh itu, setiap yang melalui dugaan perlu mengambil iktibar daripada apa saja yang berlaku dan menerimanya sebahagian qada dan qadar dengan hati terbuka.
Dalam mencari ketenangan, dekatkan diri dengan Maha Esa dan percaya Allah merancang yang lebih baik untuk kita kerana sudah tentu sebagai manusia, kita sebenarnya tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita.
Pada masa sama, kita perlu fokus membentuk pemikiran positif yang mampu membantu diri mengharungi hari mendatang dengan cekal sehingga akhirnya kesakitan lalu dapat dilupakan selamanya dan digantikan dengan kebahagiaan.
Menurut Pengasas Psych Central Dr John Grohol, yang mengkhusus dalam bidang psikologi, kesihatan mental dan sikap manusia, langkah yang diambil dalam menguruskan hati luka lebih penting berbanding perasaan terluka itu sendiri.
Apa yang penting langkah bagi melupakan kepahitan lalu dan memberi tumpuan pada masa depan.
“Menyalahkan orang lain atau keadaan antara perkara pertama yang sering dilakukan. Kita kata orang yang melakukan kesalahan pada kita, kita mahu mereka meminta maaf dan membuat pengakuan, namun meletakkan kesalahan pada orang lain mampu menambah luka,” katanya.
Memori perasaan terluka itu akan terus bermain dalam pemikiran mereka yang enggan melupakan atau memaafkan, menyebabkan mereka terus terperangkap dengan perasaan sedih dan sukar mencapai kebahagiaan dalam hidup.
Justeru, berikut lima langkah yang boleh diamalkan bagi memudahkan proses pemulihan hati yang terluka akibat kehilangan orang tersayang.
1. Buat keputusan untuk melupakan
Proses pemulihan ini tidak akan berlaku dengan sendiri sebaliknya anda perlu membuat komitmen dan keputusan untuk melupakan peristiwa pahit yang pernah singgah dalam hidup.
Membuat keputusan juga bermakna anda reda dan menerima apa yang sudah berlaku serta membuat keputusan meneruskan hidup.
2. Luahkan rasa terluka
Luahkan apa saja yang terbuku di hati supaya ia tidak terus memakan diri, tidak kira kepada teman baik, orang yang sudi mendengar ataupun menulisnya.
Berbuat demikian dapat membantu kita merenung kembali perjalanan hubungan, sama ada ia baik ataupun sebaliknya untuk diri kita. Dari situ, ia boleh membantu kita memperbaiki diri, muhasabah dan belajar melalui kesilapan supaya ia tidak diulang dalam hubungan baru pada masa depan.
3. Berhenti menjadi mangsa dan menyalahkan orang
Kita perlu bertanggungjawab atas apa saja yang berlaku dalam hidup dan tidak terus menganggap diri terlalu lemah hingga menjadi mangsa dalam hubungan cinta tidak menjadi.
Jangan membiarkan diri hanyut dalam perasaan sedih sebaliknya menganggap apa yang berlaku ‘sudah tidak ada jodoh’. Tabahkan hati dan mula merancang untuk bahagia, bukan terus-terusan menyalahkan orang lain kerana anda tidak bahagia.
4. Fokus pada masa kini
Lupakan masa lalu dan berhenti memainkan memori pahit kerana perkara yang berlaku sudah berlalu.
Masa tidak boleh diputar kembali dan perlu diingat, pengalaman tidak kira manis atau pahit menjadikan diri seseorang lebih baik daripada sebelumnya.
Apabila fokus dialihkan pada masa kini dan masa hadapan, ingatan pada perkara yang sudah berlalu akan terhakis sedikit demi sedikit hingga mampu melupakan kesedihan lampau.
5. Belajar memaafkan
Biarpun kita mungkin sukar melupakan sikap buruk orang lain pada diri kita, apabila kita memaafkan mereka, dengan sendirinya ketenangan akan terbit dalam hati kerana kita tidak lagi menyimpan perasaan negatif seperti benci dan marah.
Memaafkan orang lain sebenarnya memberi kebaikan pada diri kita sendiri kerana ia menjadikan kita lebih positif, ceria dan maju dalam hidup.
Memberi kemaafan bukan menunjukkan kelemahan sebaliknya sifat mulia ini menjadikan diri lebih kuat, tabah dan bahagia.
Ia juga memberi kesempatan kepada kita untuk melihat keadaan yang berlaku daripada perspektif mereka dan cuba memahami tindakan yang dilakukan. Selain memaafkan orang lain, kita juga perlu memaafkan diri sendiri dan menerima apa saja yang berlaku dengan hati terbuka.
Post time 10-10-2020 02:49 PMFrom the mobile phone|Show all posts
Rasa sebodoh2nya akibat cinta.. Bukan muda pn time tu dh tua... Hilang maruah segala ya.. Bahagia ke buat org cmtu at least klu nk tinggal.. Tinggal la dgn explanation ni berambus cm ak xguna.. Hutang duit ak... Ak xhalal sesen pn.. Tk bahagia la wat org cmtu