|
Hafiz bakal muncul dalam 12 video muzik bagi setiap lagu yang terkandung dalam album terbaru, Marhaba. Foto Ihsan Hafiz Hamidun
Zaidi Mohamad
[email protected]
KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menggembirakan Hafiz Hamidun apabila kira-kira 3,000 unit album studio keenam, Marhaba ditempah melalui sebuah gedung beli-belah dalam talian, sejak bulan lalu.
Menyambut 2021 dengan album baharu, Hafiz membawa lagu selawat Islam moden dalam album yang mula dibuka untuk tempahan pada 12 Disember lalu.
Bercerita mengenai buah tangannya itu, Hafiz berkata, album itu membabitkan pemuzik dan jurutera dari pelbagai negara dengan sebahagian daripada proses rakaman dibuat di Istanbul, Turki.
"Saya bekerjasama dengan pemuzik dan jurutera dari Turki, Mesir, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Indonesia," katanya kepada BH Online.
Sebagai penerbit utama album itu, Hafiz mempunyai harapan besar agar ia berjaya.
"Sejak 2015, saya berulang-alik dari Malaysia ke Turki, Mesir dan Indonesia untuk menyempurnakan produksi album ini.
"Perjalanan itu sungguh hebat. Saya mendapat peluang untuk bekerja dengan beberapa pemuzik dan jurutera terbaik di dunia.
"Saya bangga mengakui ini adalah projek muzik terbesar. Saya harap album ini akan dikenali sebagai karya terbaik saya," katanya.
Akui Hafiz, ketika menghasilkan Marhaba, dia selalu mengingatkan diri bahawa bingkisan itu adalah sentuhan terakhirnya.
"Jadi, saya memberi cabaran kepada diri sendiri untuk menghasilkan album ini sebaik mungkin.
"Saya tahu album ini mungkin tidak sempurna. Namun, apa yang pasti, ia adalah hasil daripada titik peluh, darah dan air mata saya," katanya.
Album Marhaba mengandungi 13 lagu seperti Ya Imam Ar-Rusli, Ahmad Ya Habibi dan Khairal Bariyyah.
Mengikut perancangan, 12 video muzik bagi setiap lagu akan dilancarkan setiap bulan mulai Januari. |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|